in , , , ,

Far Cry 6: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Walaupun tidak melancarkan siri ini pada setiap tahun, sepertimana Call of Duty atau Assassin’s Creed (suatu ketika dulu), Far Cry 6 telah membuktikan bahawa francais ini sudah kekeringan idea dan tepu.

Zaman keemasannya sudah berlalu, dan apabila ini terjadi, sesebuah game cenderung untuk membawakan elemen yang sama berulang-ulang, dengan harapan dapat mengembalikan kegemilangan itu. Dan inilah terjadi kepada siri Far Cry pada ketika ini.

Mengapa penulis mengatakan sedemikian? Jom ikuti review ini.

Apa Ceritanya?

Ubisoft Mula Mengacah Far Cry 6, Dibintangi Giancarlo Esposito

Far Cry 6 berlatarbelakangkan era masakini di sebuah pulau fiksyen terletak di Kepulauan Caribbean yang diberi nama Yara. Negara Yara, ketika permulaan game merupakan sebuah negara yang berada dalam krisis disebabkan pemerintahan ketenteraan diktator.

Diktator tersebut bernama Antón Castillo, disuarakan dan karakternya dimodelkan berasaskan fizikal Giancarlo Esposito. Pemerintah kejam ini sedang dalam proses untuk memperturunkan segala ilmu pemeritahan kepada anak lelakinya, bernama Diego, dilakonkan oleh Anthony Gonzalez, agar suatu hari nanti anaknya itu dapat mengambil alih tugasnya.

Apabila adanya pemerintahan diktator, tentunya ada beberapa kumpulan gerila yang ingin menentangnya. Itulah tugas pemain yang mengawal protagonis game ini, bernama Dani Rojas (boleh pilih sama ada watak ini menjadi lelaki atau perempuan) untuk bersama-sama dan menyatukan kesemua kumpulan gerila ini untuk menumbangkan rejim kuku besi Castillo.

Sayang Seribu Kali Sayang

Kita semua boleh nampak, sejak hari pertama Far Cry 6 diumumkan, modal pemasaran yang paling diketengahkan oleh Ubisoft adalah kehadiran Giancarlo Esposito. Di setiap poster, trailer dan apa sahaja promosi, Esposito akan diletakkan paling hadapan.

Jujur penulis katakan, walaupun dengan kehadiran Esposito, iaitu seorang pelakon yang dihormati ramai, juga merupakan pelakon kegemaran penulis, beliau masih tidak mampu untuk menyelamatkan game ini.

Bukannya salah Esposito. Malah beliau menunjukkan persembahan yang cukup hebat, seperti dijangka. Walau bagaimanapun, jalan ceritanya yang membuatkan game ini menghampakan. Sampai satu tahap, potensi yang ada bersama Esposito telah disia-siakan dengan trop cerita yang sudah terlalu banyak digunakan sebelum ini.

Bahkan, di sebalik Esposito digunakan sebagai muka hadapan dalam semua promosi Far Cry 6, penulis fikirkan karakternya akan muncul dengan kerap. Sayangnya tidak. Waktu skrin Antón Castillo hanyalah sedikit, tidak sebanyak dalam promosinya.

Premis dan keseluruhan plotnya terasa amat klise. Setiap plot yang disajikan amat mudah untuk diramal apakah yang berlaku seterusnya. Ditambah pula dengan watak-watak bantuan membosankan — yang tugas mereka hanyalah untuk membantu Rojas menjadi pejuang gerila yang lebih garang dan ganas.

Malah, watak Dani Rojas itu sendiri tidak mempunyai jiwa yang kuat. Kisah latar belakangnya yang tidak begitu mendalam, membuatkan penulis ingin benar habiskan game ini dengan cepat agar penulis boleh lupakan watak-watak ini dengan segera.

Bersalin Kulit Sahaja

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Far Cry 6 hanya menyajikan sebuah pengalaman yang seakan sama sahaja dengan apa yang siri ini pernah lakukan dalam game-game sebelum ini. Ia terasa seperti sebuah game yang hanya bersalin kulti dari segi penampilannya, namun isi hanyalah sama.

Ya, grafik dan visualnya kelihatan cantik, namun tiada apa yang mengejutkan yang mampu membuat kita berkata “wow, ini grafik generasi seterusnya!”. Malah, walau ia dikatakan sebagai map open-world terbesar dalam siri ini, ia masih terasa kosong.

Ya, Pulau Yara yang direka dalam game ini kelihatan sangat vibrant warnanya. Persekitaran dan suasana cuaca panas tropikal, dengan tumbuhan-tumbuhan menghijau kelihatan menenangkan, tetapi tarikan itu tidak diikat dengan gameplay dan kisah yang menarik.

Misi Membosankan

Penulis sudah cukup muak dengan misi yang menggunakan formula sama, diulang-ulang sejak mungkin 10 tahun yang dahulu.

Setiap misi dalam Far Cry 6, terutamanya misi sampingan dalam persekitaran open-world terasa sungguh membosankan. Tiada kedalaman yang membuatkan penulis rasa sesuatu pembaharuan dilakukan. Pergi serang sesuatu kem, yang motifnya amat klise, buat aksi tembak-menembak sikit dalam 10 ke 15 minit, dan tamat. Kem dan segala sumber yang ada dalam kem itu menjadi milik kumpulan gerila.

Dalam lebih 20 jam yang dimainkan untuk menghabiskan story utama game ini, penulis rasa seperti penulis bermain misi yang sama berulang-ulang dan perkembangan ceritanya tidak memberikan sebarang signifikan kepada gameplay.

Buaya Darat, Ayam Jantan

Ada satu ciri dalam game yang membuatkan penulis sedikit terasa seperti ada sesuatu yang baharu diberikan. Ianya adalah peneman dalam bentuk seekor buaya.

Dalam kebanyakan game action-adventure masakini, kita akan mempunyai seorang atau seekor peneman yang boleh membantu para pemain dari segi gameplay. Misalnya kita ada Atreus dalam God of War (2018) yang membantu Kratos.

Dalam Far Cry 6, kita boleh mengarahkan buaya ini untuk menerkam dan membaham mana-mana musuh yang diingini. Sejujurnya, dari segi penceritaan, tiada plot yang bermakna tentang hubungan protagonis dengan buaya ini, digelar Guapo. Namun apa yang penulis sukakan adalah kelibatnya yang kadang-kala melucukan apabila kita mengarahkan seekor buaya untuk menyerang musuh.

Dan tentunya, salah satu mini game menarik yang ada dalam Far Cry 6 adalah laga ayam — Cockfighting.

Ubisoft menampilkan perlawanan laga ayam dalam Far Cry 6, yang boleh dikawal oleh pemain seolah-olah bermain game fighting seperti Mortal Kombat, Street Fighter atau Tekken. Ia menjadi tular di Internet sejak hari pertama pelancaran game ini.

Punyalah animasinya kelihatan menarik dan seronok untuk dimainkan, kandungan itu nampaknya tidak disenangi oleh kumpulan pejuang hak-hak haiwan — People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) — sehingga menggesa Ubisoft untuk membuangnya.

Ketiadaan FOV

Antara setting paling penting dalam sesebuah game first-person shooter masakini adalah kebenaran untuk melaras field of view (FOV), di mana kita boleh melaraskan sejauh atau sedekat mana fokus pandangan kita ketika gameplay.

Antara setting terawal penulis cari semasa memulakan Far Cry 6 adalah FOV untuk platform PS5. Dan perkara pertama penulis dikecewakan ketika membuka game ini adalah ketidakupayaan pemain untuk melaraskan FOV.

Sejujurnya, penulis begitu sukar untuk menghabiskan game ini kerana penulis agak pening dengan FOV default game ini yang terlalu dekat.

Carian penulis di Reddit mendapati ramai pemain lain yang turut merungut dengan ketiadaan setting FOV di konsol (ada setting FOV di PC).

Mengapa Ubisoft, mengapa? Sukar sangatkan untuk menyediakan setting FOV ini? Untuk sesebuah game moden first-person shooter yang tiada kebenaran untuk melaras FOV — ia sesuatu yang tidak boleh diterima.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Penulis tidaklah mengatakan Far Cry 6 merupakan sebuah game sampah. Apa yang boleh dirumuskan adalah ia tidak menggambarkan sebuah game AAA yang keenam dari francais yang telah menempa nama yang cukup besar dalam industri.

Ia menyajikan grafik yang baik, dengan gunplay yang juga agak bagus. Namun, tiada sebarang perubahan dan penambahbaikan berbanding siri-siri sebelum ini membuatkan ia hanyalah game yang tidak rugi kalau kita terlepas untuk bermainnya.

Sekiranya korang masih tertarik dengan Giancarlo Esposito, mahu berjalan-jalan di pulau Caribbean yang menghijau dalam game yang seakan sama seperti game-game Far Cry sebelum ini, maka game ini adalah BOLEH BELI.

Walau bagaimanapun, seandainya korang mahukan sebuah game yang ada penambahbaikan yang signifikan, membawakan sesuatu elemen yang menyegarkan serta mempunyai jalan cerita yang tidak klise, maka game ini adalah BOLEH BLAH.

+ Grafik cantik
+ Laga ayam

– Mempersia-siakan Giancarlo Esposito
– Jalan cerita bosan
– Tiada penambahbaikan gameplay
– Misi sama yang berulang-ulang
– Tiada karakter yang menarik perhatian
– Tak boleh laras FOV untuk konsol

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Screenshot Pertama Detroit: Become Human Untuk Versi PC Dikongsikan

Game Star Wars Yang Dibikin Quantic Dream Dilaporkan Berjudul Eclipse, Akan Diumumkan Hujung Tahun Ini

Riot Games Bawakan Karakter Siri Netflix, Arcane Ke Dalam Among Us