Facebook telah mengambil-alih Beat Games, studio yang membangunkan game VR yang menggabungkan Star Wars dengan Guitar Hero, Beat Saber.

Pengambil-alihan ini diumumkan oleh Pengarah Kandungan Facebook, Mike Verdu, dalam satu blogpost. Menurut beliau, Beat Games akan menyertai Oculus Studios sebagai pembangun yang beroperasi secara bebas, dan kekal berpangkalan di Prague, Republik Czech.

“Sebuah studio indie bergabung tenaga dengan rakan yang berfikiran sama, dan bersama-sama mereka mencari cara baru untuk membawa VR ke satu tahap yang lebih tinggi,” kata Verdu.

Satu persoalan yang merisaukan apabila Facebook mengumumkan pengambil-alihan ini ialah apakah akan ada kesan terhadap Beat Saber yang dilancarkan di platform selain Oculus (seperti PS4). Jawapannya tidak. Beat Games akan tetap menyokong dan memberikan kandungan baru untuk kesemua platform yang Beat Saber telah dilancarkan sebelum ini.

Apakah hasil yang bakal diterjemahkan melalui pengambil-alihan ini kepada pembangunan game VR khususnya? Sama-sama kita nantikan.

JomKomen!