Laman media sosial terbesar, Facebook melancarkan kempen baru memfokuskan tentang penglibatan wanita dalam industri video game serta menggalakkan lagi ramai wanita untuk berkecimpung dalam industri ini.

Kempen “Women in Gaming” baru sahaja dilancarkan pada minggu ini bertujuan untuk memberi perhatian lebih dekat mengenai peranan wanita yang kurang diberi pendedahan tentang penglibatan mereka dalam industri video game ini.

Kempen yang diterajui oleh COO Facebook, Sheryl Sandberg ini mahu wanita pelbagai kaum dari seluruh pelusuk dunia diraikan, mendorong wanita-wanita lain untuk berkecimpung dalam industri semakin maju serta bekerjasama untuk membawa nafas baru terhadap industri video game ini.

“Walaupun hampir separuh audiens gaming tergolong dalam kalangan wanita, hanya 23 peratus wanita berkecimpung dalam industri ini. Tambahan lagi, wanita berdepan dengan stereotaip dan prejudis yang menahan mereka untuk melangkah maju ke hadapan sama sahaja seperti mana-mana industri. Dan apabila mereka menjadi sasaran ugutan secara online, ianya semakin susah untuk meyakinkan wanita-wanita muda bahawa industri video game adalah industri kaya dengan peluang dan bukan sahaja industri yang menghargai kerja mereka malah mereka amat diperlukan,” kata Sandberg.

Antara wanita-wanita yang berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang bekerja dalam industri video game dalam kempen Women in Gaming

“Watak-watak wanita juga penting dalam penglibatan video game seperti Tracer dari Overwatch, Aloy dari Horizon Zero Dawn serta Chloe dan Nadine dari Uncharted adalah beberapa karakter wanita yang memecah kepompong dan ditonjolkan sebagai tunggak utama video game,” ujar Sandberg lagi.

Setakat ini, Facebook berkongsikan lebih kurang 20 video yang mengkhususkan kepada pengalaman wanita berkerjaya dalam industri video game dari pelbagai perspektif seperti CEO Rovio Kati Levoranta, pengurus jenama King Natalie Mellin dan beberapa staf Facebook Gaming.

Selain berkongsi cerita, kempen ini juga bekerjasama dengan organisasi-organisasi lain seperti European Women in Games dan Women in Games WIGJ untuk menyokong wanita bekerja dalam industri ini di peringkat persidangan dan acara video game.

Lebih-lebih lagi, anda juga boleh dapat tahu lebih banyak info terhadap bidang wanita dalam industri video game ini melalui kajian-kajian dijalankan terhadap penglibatan wanita dalam dunia video game.

Melalui hashtag #SheTalksGames, Facebook merancang untuk menambahkan lagi kandungan video kira-kira 100 video menjelang akhir tahun 2018 supaya dapat memberikan pendedahan menyeluruh tentang peranan wanita dari segala perspektif sama ada berkecimpung dalam peranan eksekutif, HR, pembangunan dan aspek teknikal, pemasaran, penerbitan serta banyak lagi.

Di Malaysia, persekitaran gaming di sini juga rancak dengan seramai 42 peratus gamers terdiri daripada golongan wanita menurut kajian Newzoo pada tahun lepas dan tergolong di tangga ke-21 dalam pendapatan gaming di dunia.

Kepada gamers wanita di luar sana, kami mahu anda berkongsikan pengalaman anda sebagai gamer dan pandangan umum terhadap minat anda. Adakah ia baik atau buruk? JomKongsi bersama kami!

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.