Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

JByte_Aieman.

Mungkin itulah yang dipegang oleh keluarga Aieman Shaffrie Salleh huddin, seorang pemain PES muda berbakat atau “wonderkid” yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Aieman pada ketika ini merupakan nama yang sedang hangat disebut-sebut dalam komuniti PES di Malaysia. Aieman bukan sahaja masih lagi muda dan mempunyai potensi yang besar serta sudah mula memberikan tentangan yang sengit kepada pemain-pemain senior PES tempatan, malah pemain berusia 16 tahun ini memiliki sokongan yang cukup padu daripada kedua-dua ibu bapanya.

Penulis pertama kali bertemu dengan Aieman pada hujung minggu lalu semasa pertandingan wildcard yang dianjurkan PES Malaysia untuk memilih dua daripada empat wakil Malaysia yang akan dihantar ke Bangkok, Thailand dalam PES SEA Finals 2019 nanti. Dan penulis sempat berbual dengan Aieman dan ibunya Puan Ruhaidah Moonajat– bersembang mengenai minat dan prestasi Aieman dalam kancah esports PES serta bagaimana sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapanya.

Apa yang membuatkan penulis benar-benar kagum ialah bagaimana mendalamnya pengetahuan Puan Ruhaidah terhadap industri esports amnya, dan komuniti PES di Malaysia khasnya. Beliau mendedahkan bahawa Aieman baru sahaja menyertai komuniti dan pertandingan-pertandingan PES pada bulan Disember 2018 — kira-kira baru dua bulan sahaja (semasa artikel ini ditulis).

Dalam masa dua bulan ini sahaja, Puan Ruhaidah sendiri sudah mengenali beberapa nama besar atau pemain handalan dalam arena PES tempatan serta sudah tahu selok-belok kancah esports PES.

Kasih seorang ibu.

Sokongan dan dorongan yang diberikan kedua-dua ibu bapa Aieman cukup menakjubkan. Mereka akan bawa dan menemani Aieman dalam sesi latihannya bersama pasukan JByte — clan yang sudahpun melamar Aieman. Situasi yang sama juga berlaku apabila Aieman menyertai mana-mana pertandingan. Malah, sekiranya Aieman kalah awal dalam satu-satu pertandingan, mereka akan tetap tunggu sehingga perlawanan final, kerana mahu memberikan peluang kepada anak emasnya ini untuk belajar dan memerhatikan pemain-pemain handalan PES berentap di pentas akhir itu.

Bagi korang yang tak tahu, pertandingan wildcard yang penulis sebutkan di atas tadi berlangsung di Sungai Buloh, Selangor, dan mereka sekeluarga dengan gigihnya datang jauh dari Kota Tinggi, Johor, tinggal selama dua hari di Selangor untuk memberi peluang kepada Aieman menyertai pertandingan PES tahunan terbesar tempatan itu.

Puan Ruhaidah cukup mengerti tentang betapa masih mentahnya Aieman dalam kancah esports PES ini, maka sebab itulah beliau kerap menghantar anaknya itu ke tempat latihan dan menyertai pelbagai pertandingan. Beliau sedar tentang bagaimana dengan menyertai lebih banyak pertandingan, maka melalui cara itulah Aieman dapat menimba pengalaman serta memantapkan lagi permainan.

Riak wajah Puan Ruhaidah kelihatan cukup berbangga taktala menceritakan detik-detik Aieman menjuarai pertandingan pertamanya di kampung halaman Kota Tinggi.

Aieman semasa pertandingan wildcard anjura PES Malaysia di Sungai Buloh, Selangor. Ihsan Puan Ruhaidah.

Ikuti perbualan lanjut penulis bersama Puan Ruhaidah dan Aieman di bawah:

JG: Sejak bila nampak Aieman mula minat dengan esports dan PES? Memang dari kecil minat main game?

Puan Ruhaidah: Minat Aieman dengan esports sejak PES 2017 lagi. Tapi main di rumah suka-suka saja. Sebab saya sentiasa ingatkan dia tentang pelajaran dan peperiksaan PT3.

JG: Dari mana tahu tentang pertandingan PES yang disertai? Siapa perkenalkan/ajak masuk pertandingan buat kali pertama?

Puan Ruhaidah: Pada penghujung tahun 2018 di Kota Tinggi ada buat street soccer dan tournament PES 2019. Dari sinilah bermulanya minatnya terus menyala-nyala sebab dia jadi juara di situ. Seminggu selepas itu dia dilamar terus oleh JByte Studio Gaming, pengurusnya Encik Awisy Nordin. Sekarang Aieman bernaung bawah JByte dan Azri Jepon sebagai jurulatih kepada Aieman. Hingga sekarang baru 2 bulan lah Aieman melibatkan diri dalam esports dan setiap tournament mini dan besar saya suruh dia masuk untuk melatih dan mencari pengalaman supaya berani dan kuatkan mental. Pengurusan JByte yang carikan tournament untuk Aieman, sama ada mini atau yang paling besar di Sungai Buloh semalam (23 & 24 Februari). Setakat 2 bulan ini, jumlah mata yang dikumpul Aieman di ranking PES Malaysia sudah ada 28 mata.

JG: Apa pandangan Puan Ruhaidah tentang ibu bapa yang masih memandang esports ini sebagai satu hobi yang sia-sia? Apa yang ingin dikatakan kepada mereka untuk sama-sama berikan sokongan kepada anak-anak muda yang berminat untuk menceburi bidang ini?

Puan Ruhaidah: Bagi saya, sebagai ibu bapa, kita sepatutnya memberi sokongan kerana esports ini boleh memberi peluang kepada mereka untuk pergi ke peringkat lebih tinggi dan dapat membina kerjaya di masa hadapan. Di samping itu, esports juga dapat memberi sumber pendapatan jika kita terus maju ke hadapan. Ia juga dapat mengelakkan anak-anak kita daripada gejala-gejala negatif dan tidak sihat. Ibu bapa harus buang sikap negatif yang mengatakan esports ini buang masa dan tidak mendatangkan faedah.

JG: Apa harapan Puan Ruhaidah untuk tengok industri esports amnya, dan komuniti PES khususnya untuk berkembang dalam masa akan datang? Ada kekurangan yang Puan rasa boleh dipertingkatkan?

Puan Ruhaidah: Pihak kerajaan terutamanya memainkan peranan dalam bekerjasama dengan pihak pendidikan/sekolah supaya menjadikan salah satu sukan atau kokurikulum di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi supaya dapat mencungkil bakat-bakat muda dan corak permainan yang lebih efektif. Sekarang ini mungkin esports di Malaysia ini masih kurang sambutan berbanding dengan negara serantau lain seperti Thailand, Indonedia dan Vietnam. Mereka sudah melangkah jauh ke hadapan. Pihak kerajaan dan pihak lain harap dapat memainkan peranan penting dalam memajukan esports di Malaysia — berganding bahu menganjurkan tournament-tournament besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Aieman di JByte Gaming Studio. Ihsan Puan Ruhaidah.

JG: Siapa yang perkenalkan pertama kali game PES kepada Aieman? Bila?

Aieman: Orang yang memperkenalkan PES kepada saya ialah abang saya. Waktu itu saya berumur 6 tahun.

JG: Apa yang seronok sekali apabila dapat sertai pertandingan dan kenal dengan rakan-rakan baru? 

Aieman: Saya dapat menambah pengalaman dan menguatkan lagi ketahanan mental saya. Selain itu, saya dapat mempelajari cara mereka bertahan dan menyerang dari abang-abang yang otai dan nama saya dikenali oleh mereka.

JG: Siapa pemain yang Aieman teringin sangat satu hari nanti nak kalahkan?

Aieman: Setakat ini saya pernah bermain dan belajar bersama Abang Keron dan Haikal [dua pemain Malaysia yang sekarang ini bermain di liga esports Thailand]. Satu hari nanti saya teringin untuk bertemu dengan Rizky Faidan [pemain PES handalan dari Indonesia] dan mengalahkan beliau. Insyaallah.

Penulis bergambar kenangan bersama Puan Ruhaidah (tengah) dan Aieman (kanan).

JomGaming ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Aieman dalam kerjayanya menjadi pemain PES ternama di Malaysia, dan terus melangkah ke peringkat antarabangsa. Kami juga berharap agar ibu bapa di luar sana menjadikan semangat yang ditunjukkan oleh Puan Ruhaidah dalam memberikan sokongan kepada Aieman sebagai titik mula kepada dorongan yang lebih besar daripada ahli keluarga.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.