Jangan tuduh sembarangan!

Satu post di Reddit telah mendapat 28.4k upvote apabila ia mendakwa yang Epic Games, pembangun Fortnite, menghantar data-data para pemain kepada Kerajaan China.

Dalam pembacaannya di “terms of service” di Epic Games Store, redditor Amnail telah menemui bahawa Epic Games mempunyai hak untuk mengawasi dan menghantar data para pemain kepada syarikat induk Epic Games. Siapa syarikat induk Epic? Semestinya syarikat gergasi dari China, Tencent yang terkenal sebagai syarikat yang melakukan kerja-kerja perisikan untuk kerajaan negara Tembok Besar itu, dakwa post tersebut.

Dakwaan ini benar-benar tersebar luas, sehingga mendapat perhatian sendiri daripada pengasas Epic Games, Tim Sweeney. Dalam komennya di post Reddit tersebut, Sweeney menegaskan yang Epic tidak kongsikan data pengguna kepada Tencent atau mana-mana syarikat lain.

“Kami tidak kongsikannya, jualnya, atau menjadi orang tengah untuk tujuan pengiklanan seperti banyak syarikat lain lakukan,” kata Sweeney.

Beliau menjelaskan lagi yang syarikat induk yang dinyatakan dalam “terms of service” itu merujuk kepada Epic Games Inc — sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Sweeney turut mendedahkan yang Tencent merupakan pelabur minoriti dan tidak mempunyai akses kepada rekod pengguna Epic Games.

Dakwaan ini benar-benar telah menimbulkan kerisauan dari pelbagai pihak memandangkan Epic melalui kejayaannya bersama Fortnite, telah mempunyai data pemain yang cukup ramai. Ditambah pula lagi dengan pelancaran Epic Games Store yang memiliki beberapa game eksklusif — Epic pastinya merupakan antara pembangun video game yang mempunyai data pemain paling ramai di dunia.

Apa-apa pun, Epic dah menafikan dakwaan ini, jadi, tidak perlulah panik lagi.

JomKomen!