Setelah sekian lama Steam mendominasi platform jualan game di PC, Epic Games Store muncul untuk mencabarnya.

Salah satu langkah Epic yang membuatkan lebih banyak pembangun video game untuk melancarkan game mereka di Epic Games Store adalah disebabkan pembahagian perkongsian hasil 88/12 — iaitu 88 peratus diberi kepada pembangun dan 12 peratus diberi kepada Epic Games.

Kemudian, Epic turut menekan Steam dengan menandatangani perjanjian hak eksklusif —  bermakna untuk platform PC, sesebuah game itu hanya dikeluarkan di Epic Games Store, dan tidak dilancarkan di platform lain, termasuklah Steam. Ini telah menimbulkan ketidaksenangan kepada sesetengah pihak kerana dilihat umpama Epic ingin memonoli pasaran di PC.

Game AAA terbaru yang bakal dilancarkan secara eksklusif di Epic Games Store (untuk PC) ialah Borderlands 3.

JomBaca: Rasmi! Tarikh Pelancaran Dan Platform Untuk Borderlands 3 Diumumkan Dalam Satu Trailer Terbaru

Terbaru, menjawab dakwaan ini, CEO Epic, Tim Sweeney telah mendedahkan pendirian syarikat itu. Kata beliau:

“Kalau Steam komited untuk perkongsian hasil 88% secara kekal untuk semua pembangun dan penerbit tanpa sebarang syarat besar, Epic akan terus mengadakan pengunduran daripada eksklusif (dalam masa sama menghargai komitmen rakan kongsi) dan mempertimbangkan untuk meletakkan game kami sendiri di Steam.”

Kenyataan “tanpa sebarang syarat” pastinya merujuk kepada syarat berperingkat yang dikenakan Steam terhadap game yang ingin diletakkan di platform tersebut. Steam akan membahagikan perkongsian hasil sebanyak 70/30 untuk game yang tidak berjaya terjual melebihi USD10 juta. Untuk game yang melebihi angka USD10 juta, pembahagian 75/25, manakala game yang berjaya terjual melebihi USD50 juta, akan mendapat 80/20 — sesuatu yang masih rendah berbanding di Epic Games Store yang mengenakan 88/12 tanpa sebarang syarat.

Menarik untuk kita saksikan apa yang bakal terjadi selepas ini. Apakah langkah seterusnya pihak Steam atau adakah mereka akan menjawab kenyataan Epic ini? Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Eurogamer

JomKomen!