Semalam, Astro Malaysia telah melancarkan sebuah rancangan televisyen baru yang akan ditampilkan dalam saluran gaming 24 jam mereka, eGG Network. 

Digelar sebagai The pindaPanda Show, rancangan TV tersebut bakal membawa para penonton menyelami kehidupan gadis gamer berasal dari Bhutan, Pinda Rika Dorji sebagai seorang pemain esports dan juga Youtuber terkenal.

Rancangan yang akan bersiaran sebanyak 6 episod itu akan menceritakan kehidupan harian, makanan kegemaran, serta hobi beliau dalam mengejar impian dalam industri esports. Ia juga bakal membawa para penonton pulang ke kampung halaman Pinda di Bhutan, memperkenalkan kenalan dan keluarganya di sana.

Bagi mereka yang tidak mengenali, Pinda telah datang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan awam. Semasa di ibu kota ini, Pinda telah menemui cintanya dalam esports dan terus berjinak dalam bidang ini, yang mana beliau seterusnya menjadi personaliti dan hos terkenal di eGG Network.

“Kami sangat teruja untuk melihat maklumbalas dari peminat esports terhadap eGG Network. Bagi mengembangkan lagi kandungan kami, kami sangat berbesar hati untuk mempersembahkan sebuah rancangan serba baru ‘The pindaPanda Show’, menampilkan hos berbakat kami,” kata Naib Presiden Sports Business di Astro, Lee Choong Khay dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

The pindaPanda Show akan bersiaran pada setiap hari Rabu, 9 malam, bermula 3 Mei 2017 di saluran 808 Astro.

JomKomen!