eFootball PES 2020 merupakan game bola sepak daripada Konami untuk tahun ini, yang mana ia boleh dimainkan di PC, PS4 dan Xbox One.

Seperti biasa, dalam kekurangan siri PES dalam beberapa aspek untuk bersaing dengan game bola sepak gergasi dari EA Sports, iaitu siri FIFA — Konami tetap membawakan pelbagai pembaharuan yang di luar jangkaan, sama ada ke arah yang lebih baik mahupun sebaliknya.

Apakah penambahbaikan atau kekurangan yang ditampilkan dalam siri PES terbaru ini? Jom ikuti reviu ini!

Judul Baharu

Dari segi luaran, perkara pertama yang semestinya menarik perhatian mata kita semua ialah bagaimana Konami pada tahun ini telah menukar judul game itu sendiri. Mereka telah menambah “eFootball” di bahagian hadapan, dan secara rasminya siri PES pada tahun ini digelar “eFootball PES 2020”.

Dalam satu temuramah, pengurus jenama Eropah PES, Lennart Bobzien berkata, “kami mahu meletakkan fokus lebih besar kepada esports untuk terus maju ke hadapan.” Kata-kata ini terserlah apabila baru-baru ini mereka mengumumkan mode PES League yang ada dalam beberapa siri PES sebelum ini, akan dijenamakan semula kepada “eFootball”.

Dari mode online dalam game, eFootball akan menjadi platform kepada para pemain menonjolkan diri ke dalam kejohanan esports offline rasmi yang bakal dianjurkan Konami — sebuah kempen yang mendapat sokongan Esports Media Rights (EMR), sebuah syarikat esports yang mendapat suntikan dana daripada pemain Barcelona dan Sepanyol, Geard Pique.

Pada pandangan penulis, langkah meletakkan (baca: menukar) judul rasmi PES itu sebenarnya satu perkara yang tidak bagus. Ia seolah-olah mencemar tradisi sesebuah game yang sudah sekian lama dikenali sebegitu —  tidak kiralah apa jua alasan yang digunakan.

Konami boleh saja memantapkan kempen esports mereka dengan menambahbaik mode dalam game, penganjuran yang lebih bersepadu serta promosi yang lebih meluas. Tidak perlu terlalu tryhard untuk memberitahu satu dunia bahawa siri PES kini ingin menggegarkan dunia esports dengan meletakkan “eFootball” dalam judulnya.

Ia telah membuatkan para peminat semakin pening, menambahkan kekeliruan lagi terhadap penjenamaan game bola sepak Konami yang sering berbeza mengikut rantau pasaran: PES (seluruh dunia) dan Winning Eleven (Jepun).

Tak pernah dilakukan sebelum ini, secara tiba-tiba ada ‘eFootball’ pula di pangkal namanya. Jadi kalau dibaca penuh namanya, ia menjadi seolah-olah ‘eFootball Pro Evolution Soccer 2020’. ‘Football’ pun ada, ‘Soccer’ pun ada. Celaru.

Kamera Baru – Apa Sebenarnya Perancangan Konami?

Sejak PES 2020 mula diumumkan, Konami telah memperkenalkan satu pandangan kamera baru ketika bermain. Boleh dikatakan setiap kali pihak Konami mempromosikan PES 2020 dalam mana-mana temuramah bersama media, pasti sudut kamera baru itu akan disebut-sebut.

Sudut terbaru yang digelar ‘Stadium’ ini merupakan kamera default untuk mode-mode offline, maka pada mulanya, sebelum ia dilancarkan, semua peminat menganggap bahawa inilah sudut kamera yang akan digunakan secara rasmi dalam kejohanan-kejohanan esports. Walau bagaimanapun, anggapan ini berubah apabila game penuh PES 2020 dilancarkan dan apabila kita bermain mode-mode online, sudut kamera yang sama seperti PES 2019, iaitu ‘Dynamic Wide’, digunakan semula.

Jadi, teka-teki yang merunsingkan para pemain kompetitif pada ketika ini ialah sudut kamera yang mana satu akan digunakan dalam kejohanan-kejohanan esports kelak, terutamanya yang bakal dianjurkan oleh Konami sendiri? Sehingga artikel ini ditulis, Konami masih lagi belum mengatakan kata putus.

Kamera Mana Yang Lebih Baik?

Sudut kamera ‘Stadium’.

Mengapa isu sudut kamera ini sangat penting? Ia sememangnya penting kerana dua sudut yang menjadi perdebatan kini, ‘Stadium’ dan ‘Dynamic Wide’, merupakan dua sudut yang sungguh berbeza sehingga boleh mengubah gameplay para pemain.

Seperti yang kami katakan sebelum ini semasa mencuba demo PES 2020 di Singapura, kelebihan sudut kamera Stadium adalah lebih mirip kepada perlawanan bola sepak sebenar yang selalu kita tonton di kaca televisyen. Makna kata, tonton melalui sudut ini memang menarik, namun, untuk bermain dengan sudut ini sememangnya menyukarkan.

Sudut kamera ‘Dynamic Wide’.

Rata-rata pemain yang telah mencuba sudut baharu ini bersependapat kesukaran untuk membiasakan diri terutama ketika membuat perangkap offside dan bagi pemain yang menggunakan teknik sepakan Advance, sukar untuk mendapatkan sudut yang jitu ketika percubaan ke arah gol. Malah, untuk melakukan gerakan hantaran silang (crossing) serta menanduk bola tersebut juga amat sukar disebabkan sudut pandangnya yang menyenget.

Walaupun penulis sendiri merasakan sudut kamera ini satu perubahan yang menyegarkan ketika menyebutkannya dalam artikel Suka Duka Demo: eFootball PES 2020, namun setelah bermain dengan jumlah game yang mencukupi dalam game penuhnya, penulis telah berubah hati dan seharusnya gimik sudut kamera baru ini harus dihentikan Konami dengan segera. Kata penulis, Konami hendaklah menggunakan semula, dan mengumumkan dalam kadar segera bahawa Dynamic Wide ialah kamera rasmi untuk kejohanan esports.

Menggelecek Lebih Selesa, Tapi Sukar

Pada pendapat penulis, perkara paling utama yang perlu dititikberatkan dalam siri game bola sepak yang dikeluarkan pada setiap tahun ialah gameplay di atas padang. Kandungan-kandungan lain boleh jatuh nombor dua, tiga dan seterusnya. Dan semestinya, pada saban tahun, PES tidak pernah ketinggalan dalam menampilkan pembaharuan terhadap gameplay di atas padang.

Gameplay yang paling terasa bezanya ialah menggelecek. Untuk PES 2020, tempo pergerakan menggelecek mungkin terasa lebih perlahan, namun pemain terasa lebih bebas melakukan gelecekan-gelecekan yang diigini kerana pergerakannya lebih lembut dan lebih sensitif.

Ya, menggelecek lebih seronok seperti yang dinyatakan di atas, tapi ia bukanlah bermakna bertambah mudah. Malah, ia sebenarnya menjadi bertambah payah kerana disebabkan tempo yang perlahan itulah membuatkan pertahanan pihak lawan lebih mudah membaca gerakan menggelecek.

Dan inilah membuat penulis suka. Penulis sememangnya gemar untuk menggelecek, maka, gerakan yang lebih sukar ini membuatkan ia menjadi satu cabaran untuk belajar bagaimana untuk menumpaskan pihak lawan melalui gelecekan. Penulis masih lagi sedang mencari teknik dan taktik yang terbaik untuk melakukan gelecekan yang penuh berseni. Doakan semoga penulis menemui sentuhannya.

Hantaran & Penjaga Gol

Melakukan hantaran (passing) juga mempunyai sedikit perbezaan. Setiap tahun, Konami akan cuba untuk mengurangkan keupayaan untuk melakukan hantaran-hantaran ping-pong — dan ia semakin ditambahbaik dalam PES 2020. Pemain kini akan cuba memperlahankan tempo permainan, yang sememangnya sudahpun perlahan, untuk membuat hantaran-hantaran yang lebih bijak dan licik berbanding hantaran pantas ping-pong.

Otak pemain juga akan bekerja lebih keras kerana penjaga gol dalam PES 2020 nampaknya semakin sukar untuk ditewaskan. Dari satu tahun ke tahun yang seterusnya, Konami akan sentiasa memperbaiki keupayaan penjaga gol untuk berada dalam situasi yang sukar untuk dibolosi, dalam masa sama mengekalkan permainan yang se-realistik mungkin. Dan tahun ini, Konami mengadunkannya dengan baik sekali.

Matchday

Satu-satunya mode baru yang ditambah ke dalam PES 2020 ialah Matchday. Walaupun ia tidaklah memberi impak yang besar, tetapi ia tetap satu mode baru yang boleh dialu-alukan.

Apa sebenarnya Matchday ini? Okay, katakanlah minggu ini ada perlawanan antara Liverpool menentang Manchester United (di dunia sebenar). Maka disebabkan perlawanan ini satu perlawanan musuh tradisi yang cukup terkenal, ia akan digunakan dalam Matchday.

Masuk sahaja ke dalam mode ini, pemain akan diminta untuk memilih sama ada ingin menyokong Liverpool atau Man Utd. Kemudian, pemain perlu mengumpul mata dengan bermain secara online, dan menggunakan pasukan yang telah dipilih tadi (Liverpool atau Man Utd). Seorang pemain yang mengumpulkan mata tertinggi dari setiap pihak (Liverpool dan Man Utd) akan berentap dalam perlawanan final. 1 lawan 1.

Apa yang menariknya tentang mode ini ialah perlawanan final tersebut boleh ditonton oleh kesemua pemain yang terlibat, bagi menyokong dan bersorak kepada pasukan masing-masing. Matchday ini hanya akan berlangsung dari pukul 7 hingga 10 malam (waktu Malaysia). Pusingan kelayakan (mengumpul mata) akan berlangsung dari pukul 7 hingga 9:55, dan pada pukul 10, perlawanan final akan berlangsung.

Perlawanan dalam Matchday ini akan berubah mengikut apakah perlawanan popular di dunia sebenar yang ada pada minggu tersebut.

Nama-Nama Kelab

Siri game PES cukup sinonim dengan nama-nama kelab yang tidak rasmi sejak sekian lama, terutamanya pasukan-pasukan dari Liga Perdana Inggeris. Nama-nama seperti Man Blue, Merseyside Red, dan London FC sudah cukup sebati dalam PES sekiranya pada tahun itu kelab-kelab ini tidak mendapat lesen rasmi.

Pada tahun ini, mungkin ramai yang tidak perasan, tapi Konami telah melakukan satu langkah yang agak mengejutkan. Satu langkah yang memudahkan para pemain yang malas ingin memasukkan patch ke dalam game, yang mana seharusnya langkah ini dilakukan sejak azali lagi.

PES 2020 tidak lagi menggunakan nama-nama kelab tidak rasmi seperti yang disebut di atas, sebalik menggunakan nama sebenar kelab itu, tetapi bagi membezakan bahawa kelab tersebut tidak mendapat lesen, ia akan menambah satu huruf di belakang. Huruf tersebut ialah huruf pertama dari perkataan warna jersi home kelab tersebut.

Misalnya, Liverpool R (R untuk Red), Chelsea B, Manchester B, Arsenal R dan lain-lain.

Malah, jersi untuk kelab-kelab tidak rasmi ini juga tidaklah merepek seperti yang mereka bawakan dalam tahun-tahun sebelum ini. PES 2020 menampilkan jersi untuk kelab tidak rasmi yang boleh dikatakan tidaklah terlalu jauh berbeza dengan warna dan rekaan jersi sebenar.

Sehingga artikel ini ditulis, penulis sendiri juga masih belum memasukkan patch untuk “memperbaiki” kelab-kelab tidak rasmi ini kerana nama dan jersi mereka tidaklah terlalu menyakitkan untuk dipandang.

Pengadil “Pemalas”

Siri PES boleh dikatakan agak jarang mempunyai kekurangan yang boleh mengganggu gameplay. Tapi dalam PES 2020, ada satu kekurangan yang penulis rasakan mampu mengganggu rentak permainan, walaupun tidaklah terlalu besar.

Apa yang penulis nampak, pengadil sering tidak menunjukkan arah tangan apabila bola keluar dari padang. Maksudnya, apabila bola keluar ke tepi padang, pengadil tidak mengangkat tangan untuk menunjukkan lontaran ke dalam (throw-in) milik siapa; dan apabila bola keluar ke kawasan gol, kita tidak tahu sama ada ia sepakan gol (goal kick) atau sepakan sudut (corner kick).

Ya benar, ia tidaklah memberikan kesan kepada gameplay secara langsung, tapi bila difikirkan balik, agak janggal apabila pengadil tidak melakukan sedemikian dalam sesebuah game bola sepak.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Secara keseluruhan, PES 2020 mengekalkan tradisinya sepanjang tahun — sentiasa membawakan pembaharuan yang menyegarkan ke dalam gameplay di atas padang, namun seperti biasa, ada saja beberapa langkah di luar gameplay yang kurang menyenangkan.

+ Menggelecek lebih memuaskan
+ Perlukan hantaran bijak
+ Penjaga gol sukar ditewaskan
+ Pengenalan Matchday
+ Nama kelab tidak rasmi lebih jelas

Pertukaran judul rasmi kurang bijak
Gimik sudut kamera baru mengelirukan
Pengadil “pemalas”


Ribuan terima kasih kepada PES Malaysia kerana menaja unit PES 2020 untuk JomGaming. PES Malaysia akan mengadakan beberapa siri pertandingan PES 2020 dalam masa terdekat. Sila layari laman Facebook mereka atau PESMalaysia.com.

1 komen

JomKomen!