in , , , ,

EA Sports Sedang Mempertimbang Menukar Nama Francais FIFA – Mungkin Takkan Ada ‘FIFA 23’

Peminat game bola sepak nampaknya bakal memasuki ke satu era yang serba baharu.

Setelah Konami menukar judul francais bola sepak mereka dari Pro Evolution Soccer kepada eFootball, EA Sports juga nampaknya sedang mengatur langkah yang serupa.

EA Sports melalui Pengurus Besarnya, Cam Weber telah mengeluarkan satu kenyataan khas yang memberikan komen terhadap “masa hadapan bola sepak”.

Weber memulakan kenyataan tersebut dengan berkongsikan angka-angka menarik tentang game terbaharu dari francais itu yang baru sahaja dilancarkan, FIFA 22. Menurutnya, sejak pelancaran, FIFA 22 telah berjaya mengumpulkan 9.1 juta pemain di seluruh dunia, 7.6 juta skuad Ultimate Team dicipta, dan 460 juta perlawanan dimainkan.

Beliau kemudian bercerita serba ringkas tentang segala pencapaian yang telah mereka kecapi sepanjang kewujudan francais tersebut, menyebutkan lesen-lesen eksklusif yang mereka ada seperti UEFA Champions League, UEFA Europa League, CONMEBOL Libertadores, Premier League, Bundesliga, LaLiga Santander, dan lain-lain.

Seterusnya beliau mengucapkan penghargaan kepada para peminat, serta menitipkan janji untuk terus memberikan yang terbaik kepada para pemain.

Di akhir kenyataan, Weber mendedahkan bahawa mereka kini sedang mempertimbangkan untuk menjenamakan semula francais game bola sepak mereka.

“Memandang ke hadapan, kami juga sedang mencari idea untuk menamakan semula game-game bola sepak global EA Sports,” ujar Weber. “Ini bermakna kami sedang mereviu perjanjian hak-hak penamaan kami dengan FIFA, yang mana ia berasingan daripada kerjasama-kerjasama rasmi dan lesen-lesen kami lain yang merentasi dunia bola sepak.”

Seperti yang kita tahu, EA Sports sejak azali telah memiliki hak untuk menggunakan nama ‘FIFA’ dalam francais game bola sepak mereka. Dalam situasi terkini ini, mereka tidak menjelaskan secara spesifik sama ada lesen ini ditarik balik oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau EA Sports sendiri yang ingin menarik diri.

Menarik untuk kita nantikan perkembangan perkara ini. Apakah tahun hadapan, tidak akan ada ‘FIFA 23’, sebaliknya sebuah judul serba baharu daripada EA?

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

GMCoin Umum Tajaan Dalam Virtual Pro League (VPL) – Liga FIFA Pro Clubs Popular Di Malaysia

No Straight Roads: Encore Edition Akan Dilancarkan Ke Steam Hujung Bulan Ini