Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, EA Sports telah meramalkan Argentina untuk memenangi Piala Dunia FIFA 2022 yang diadakan di Qatar.
Dan seperti yang kita semua sudah tahu, malam tadi Lionel Messi dan rakan-rakan telah menjulang trofi ikonik itu dalam satu perlawanan akhir penuh dramatik — memberikan Argentina kejuaraan ketiga selepas tahun 1978 dan 1986.
Namun, apa yang lebih menarik (dan misteri) adalah bagaimana EA Sports kini telah meramalkan juara Piala Dunia FIFA dengan tepat untuk empat kali berturut-turut.
Bagi korang yang tidak tahu, sejak Piala Dunia FIFA 2010, sebelum bermulanya kejohanan terbesar dunia itu, EA Sports akan mengeluarkan ramalan rasmi mereka mengenai siapakah yang menjuarainya.
Kesemuanya ramalan tersebut adalah tepat untuk empat edisi berturut-turut iaitu Sepanyol (2010), Jerman (2014), Perancis (2018) dan terbaharu, Argentina (2022).
Lebih menarik, ramalan untuk edisi kali ini turut meramal Lionel Messi sebagai pemain terbaik kejohanan (Golden Ball) dan Emiliano Martínez sebagai penjaga gol terbaik kejohanan (Golden Glove). Walau bagaimanapun, ramalan EA Sports terhadap Messi sebagai penjaring terbanyak (Golden Boot) tidak mengena kerana ia telah dimenangi oleh Kylian Mbappé.
Menarik sebenarnya untuk kita fikirkan bagaimana EA Sports telah berjaya meramal perkara ini dengan begitu tepat. Sama ada ia hanya “nasib” atau mereka sememangnya “sudah tahu”? Itu mereka sahaja yang ada jawapannya.
Tak sabar untuk kita nantikan, untuk edisi Piala Dunia 2026, negara manakah yang EA Sports akan ramalkan untuk menjadi juara? Tentunya menarik kerana pada ketika itu kelak, EA Sports tidak lagi memegang lesen rasmi bersama FIFA kerana masing-masing akan membawa haluan masing-masing.
Comments
Loading…