Kita semua pasti sudah maklum bahawa antara game terbesar yang bakal dilancarkan pada tahun ini ialah siri Battlefield yang seterusnya.
Dalam laporan kewangan terbaharu, CFO EA, Blake Jorgensen telah berkongsikan beberapa perkembangan baharu untuk game shooter peperangan yang dinantikan ramai itu.
Seperti yang pernah didedahkan EA sebelum ini, Jorgensen sekali lagi mengesahkan yang Battlefield seterusnya (yang masih belum diumumkan judul rasminya) akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Malah, beliau berkata yang pembangunan game ini jauh ke hadapan daripada jadual yang ditetapkan pasukan pembangun.
Beliau menegaskan yang game ini kelak akan menampilkan “peperangan ketenteraan dalam skala penuh”, serta menggunakan kelebihan kuasa platform generasi terkini untuk membawakan pertempuran besar dan mengasyikkan dengan lebih banyak pemain daripada apa yang pernah mereka bawakan.
Ini selari dengan laporan dari orang dalam industri sebelum ini yang mengatakan Battlefield seterusnya akan membawakan 128 pemain dalam satu-satu perlawanan, satu jumlah yang tidak pernah dibawakan Battlefield sebelum ini.
Jorgensen turut meredakan sedikit persoalan para peminat apabila mendedahkan yang pengumuman rasmi tentang game ini akan diadakan sekitar musim bunga (Mac-Jun). Kalau kita perhatikan beberapa Battlefield sebelum ini, EA dan DICE kebiasaannya akan melakukan acara pendedahan pada bulan Mei.
Sama-samalah kita nantikan bilakah mereka akan mengadakan acara tersebut.
Sumber: GamesRadar
Comments
Loading…