Salah satu fungsi paling menarik yang ada dalam Xbox Series X nanti adalah keupayaan Smart Delivery — iaitu pemain yang membeli sesebuah game di Xbox One, akan mendapat naiktaraf percuma untuk game tersebut apabila berpindah ke Xbox Series X.
Walaupun Sony masih belum mengumumkan secara rasmi tentang fungsi seumpama ini untuk PS5, penganalisis menjangkakan yang fungsi ini tidak dapat dielakkan oleh Sony untuk konsol generasi akan datang mereka itu.
Smart Delivery ini, kita mungkin akan percaya bahawa semua game di Xbox One/Series X akan menyokong fungsi ini, namun sebenarnya Microsoft memberikan pilihan kepada pembangun sama ada ingin menggunakannya ataupun tidak. Senang kata, semua game di platform Microsoft ini dibenarkan menggunakannya tetapi keputusannya tetap terpulang kepada pembangun.
Dan Electronic Arts (EA) telah mengumumkan bahawa mereka akan menyokong penaiktarafan seumpama ini terhadap game-game keluaran mereka, tetapi ianya bersyarat.
Semasa livestream Inside Xbox, ia mengumumkan yang Madden NFL 21 akan menyokong penaiktarafan ke konsol generasi akan datang. Walau bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi EA Sports, EA telah menjelaskan lebih lanjut tentang penaiktarafan ini.
Untuk mendapatkan tawaran penaiktarafan ini, para pemain perlu membeli Madden NFL 21 di Xbox One sebelum 31 Disember 2020 dan perlu menaiktarafannya ke Xbox Series X sebelum 31 Mac 2021.
Ini semestinya berbeza dengan apa yang ditawarkan Microsoft dalam program Smart Delivery yang sememangnya tiada sebarang syarat tempoh waktu yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, rancangan asal Smart Delivery adalah membenarkan para pemain membeli game tersebut dan menaiktaraf ke Xbox Series X (perlu beli konsol itu dahulu) pada bila-bila masa.
Tiada pengumuman rasmi lagi untuk game-game EA yang lain terhadap penaiktarafan ini selain Madden NFL 21, namun pastinya EA akan menggunakan syarat yang sama. Mereka akan umumkan lebih lanjut dalam acara EA Play Live pada 12 Jun ini.
Xbox Series X dan PS5 akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
Comments
Loading…