Kejohanan tahunan bola sepak paling berprestij negara, Piala Malaysia sedang hangat dimainkan. Pada ketika kita sedang menantikan setiap perlawanan dengan penuh debaran, ada satu berita yang pasti akan menggembirakan gamer dan peminat bola sepak.

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan E-Piala Malaysia, sebuah kejohanan esports bersempena Piala Malaysia pada tahun ini. Kejohanan ini merupakan satu kerjasama bersama Gamesbond, dan akan dipertandingkan menggunakan FIFA 20 yang akan dilancarkan pada September kelak.

Menurut WTM Today, menyedari perkembangan esports semakin mendapat perhatian serius dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pihak mereka turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan industri ini.

“E-sukan kini menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja di Malaysia ketika ini dan dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia.

“Aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah ia boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan. Selain itu, kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan.”

Kata Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak pula, pihaknya telah memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“Saya percaya bahawa kerjasama dengan MFL bukan sahaja membuka dimensi baharu dalam sukan elektronik tetapi sebaliknya ia turut menunjukkan Malaysia memiliki ramai pemain-pemain berpotensi tinggi,” ujarnya.

Ketika dihubungi JomGaming untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti apakah format yang bakal diketengahkan, Fazli mengatakan yang pihak MFL akan mendedahkan dalam masa terdekat.

JomKomen!