Apa ceritanya game Cyberpunk 2077 ni? Jom baca!

Siri Cyberpunk pada mulanya adalah tabletop pen and paper game hasil tulisan dan rekaan Mike Pondsmith. Terdapat 2 judul telah diterbit di bawah siri Cyberpunk: Cyberpunk 2013 (1988) dan Cyberpunk 2020 (1990).
Beberapa ‘sourcebook’ telah disertakan sebagai panduan kepada pemain tentang dunia Cyberpunk yang sangat mendalam.
Selepas video gameplay 48 minit yang kitorang laporkan haritu, timbul perasaan untuk kitorang korek segala cerita dan alkisah berkenaan dunia Cyberpunk ini. Kitorang pun korek dan membaca sourcebooks ini untuk berkongsi dengan pembaca tentang dunia yang menanti kita di dalam Cyberpunk.
Selamat Datang ke Dunia Cyberpunk.
Cyberpunk adalah dunia di mana manusia mencapai teknologi yang maju terutama di dalam bidang biologi, komputer dan kejuruteraan.

Manusia mampu mengubahsuai badan mereka dengan menanam ‘chip’ di otak mereka dan menggantikan hampir semua bahagian mereka dengan organ robotik membolehkan mereka menjadi superhuman.
Bandar-bandar utama dunia dihiasi dengan tumbuhan hijau dan dikelilingi pencakar -pencakar langit. Banyak stesen angkasa lepas telah ditubuhkan, Paramedik yang bertaraf dunia.
Tetapi…
Semua hanyalah indah khabar dari rupa. Dunia Cyberpunk adalah dunia dimana kuasa korporat (Corpo) lebih berkuasa dari kerajaan persekutuan.
Bandar-bandar utama yang dihiasi dengan tumbuhan hijau hanya tertumpu di pusat bandar di mana golongan atasan tinggal. Kebanyakan bangunan samada terbiar, rosak atau musnah menjadi sarang golongan samseng dan penjenayah yang dikehendaki. Stesen-stesen angkasa lepas yang dibina disebabkan perlumbaan angkasa lepas antara corpo sehingga tercetusnya perang antara mereka di angkasa lepas dan di bumi.
Paramedik (Trauma Squad) adalah askar upahan elit yang pakar dalam operasi menyelamat (Jika anda mampu membayar mereka). Perang, konflik dan keganasan adalah “makanan ruji” manusia di dunia Cyberpunk.

Alkisah Bermula Kejatuhan Kuasa Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat…
1990 – Semuanya bermula selepas campur tangan AS dalam peperangan di Amerika Tengah (tipikal AS…lol!) dan ditambah lagi wabak penyakit yang dicipta oleh Jabatan Narkotik Amerika Syarikat untuk memusnahkan tumbuhan yang berkait dengan dadah membuatkan semangat anti-Amerika Syarikat menebal di kalangan negara di Amerika Tengah. CIA, NSA, FBI dan DEA pula bersengkongkol membentuk ‘Gang of 4’ memerintah negara masing-masing di belakang bayang-bayang presiden.

1996 – Keadaan menjadi lebih keruh apabila Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat dibunuh dan pasaran saham dunia jatuh. 1/6 rakyat Amerika menjadi golongan gelandangan dan kadar pengangguran naik mendadak. Rusuhan besar-besaran yang dipanggil ‘The Lawyer Purge’ meletus di seluruh pelusuk Amerika Syarikat mengorbankan banyak peguam. Undang- undang tentera dilaksanakan sehingga tahun 1999. Kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat juga mempengaruhi negara-negara yang lain.

1997 – Konflik di Timur Tengah menyebabkan peperangan nuklear sesama mereka. UAE musnah akibat kesan radioaktif. Bekalan minyak dunia berkurangan sebanyak 50% kesan daripada konflik ini.
2000 – Musibah menimpa negara AS dan Eropah apabila satu wabak yang dipanggil ‘Wasting Plague’ muncul secara tiba-tiba dan mengorbankan banyak nyawa. Dua tahun berikutnya, tanaman-tanaman di Kanada dan Soviet dicemari dengan virus yang bermutasi.
2003 – Perang Amerika Tengah kali ke-2 meletus. Walaupun kemenangan berpihak kepada AS, angka korban rakyat AS terlalu tinggi. Gang of 4 dibawa arus perubahan pentadbiran negara selepas perang.
Kerajaan persekutuan yang semakin lemah terpaksa bergantung kepada Corporate-Corporate (definisi ditulis dibawah) dalam urusan pentadbiran negara menyebabkan sektor swasta lebih berkuasa dari kerajaan pusat itu sendiri dan mereka mengunakan peluang ini untuk mengaut sumber bumi demi keuntungan mereka.
Dalam dunia penuh kacau-bilau ini, umat manusia mula berkumpul dan membentuk komuniti, clan, geng mereka sendiri.
Dunia Cyberpunk Berpecah Kepada Puak-Puak / Factions
Nomad

Majoriti rakyat AS yang hilang tempat tinggal akibat kejatuhan ekonomi AS pada tahun 1996 terpaksa hidup secara nomad, mengembara sekitar lebuhraya di kawasan gurun. Mereka hidup dengan ‘scavenge’ tempat- tempat yang terbiar, menyamun fasiliti – fasiliti Corpo yang berada di luar bandar ala-ala raiders dalam siri Fallout atau MadMax. Mereka bencikan Corporate dan kerajaan kerana menghalau mereka dari rumah mereka sendiri. Walaupun mereka hidup mereka secara nomad, teknologi dan senjata mereka sama hebatnya dengan musuh – musuh mereka. Sumber dan bekalan yang terhad memaksa mereka berperang sesama sendiri.
StreetPunk

Bukan tipikal budak punk yang lepak di Bukit Bintang, mereka adalah golongan kelas bawahan yang kebanyakan bersarang di pinggir bandar dan hidup secara berkumpulan yang mempunyai idola dan ideologi yang tersendiri. Peras ugut, penyalahgunaan dadah (Dorphine), membunuh demi hardware dan bergaduh adalah rutin harian mereka.
MegaCorporation

Antagonis utama dalam siri Cyberpunk. Ketika ekonomi AS lumpuh, mereka membantu kerajaan persekutuan untuk membangunkan semula ekonomi AS dengan syarat, tiada sekatan undang – undang terhadap perniagaan mereka. Disifatkan korup, tidak bermoral, tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengunakan taktik-taktik kotor seperti rasuah, peras ugut, sabotaj dan juga pembunuhan untuk tewaskan musuh-musuh mereka. Dari tahun 2003-2023, dunia telah menyaksikan empat perang besar-besaran antara Corporate demi merebut sumber asli dan kawasan di bumi dan angkasa lepas. Antara Corporate besar yang korang perlu tahu:
Arasaka Corporation – Berasal dari Jepun, Arasaka Corporation adalah salah satu corporate yang berkuasa di bumi. Dengan menceburi industri perbankan, sekuriti dan pembuatan, Arasaka mengambil peluang peristiwa ‘The Collapse’ pada tahun 1996 untuk mengembangkan perniagaan mereka di seluruh dunia. Arasaka ingin menjadikan Jepun sebagai kuasa yang terkuat di era yang baru.
PetroChem – Syarikat yang menguasai 60% pasaran dunia CHOOH2. Pada masa 2020, CHOOH2 yang berasal dari tumbuhan sintetik, mengantikan petrolium sebagai bahan api utama. Pada tahun 2007, PetroChem melancarkan perang ke atas SovOil, Corporate dari Rusia selepas SovOil membatalkan satu perjanjian mereka untuk mengali minyak di Laut Cina Selatan.

Zetatech – Syarikat yang mencipta dan membangunkan ‘Wetware’, teknologi komputer yang dikaitkan dengan otak manusia.
Militech – Corporate yang mendominasi industri ketenteraan dan pembuatan senjata di Amerika Syarikat. Militech memiliki menyediakan servis askar upahan kepada kerajaan Amerika Syarikat dan sentiasa bersaing dengan Arasaka Corporation.
Rockerboy / Rockergirl
Class ‘Bard’ di dalam dunia Cyberpunk. Mereka mengunakan musik untuk menyuarakan jiwa mereka yang terkongkong di dalam dunia Cyberpunk yang kejam. Kebanyakkan musik mereka mengkritik kerajaan dan Corpo menyebabkan mereka dibenci oleh pihak berkuasa. Rocker yang mempunyai karisma yang tinggi boleh menyebabkan rusuhan jika mereka membuat persembahan di jalanan.

Dalam demo gameplay Cyberpunk 2077 oleh CDPR, karakter Silverhand ada disebut oleh penyampai radio. Malangnya Johny Silverhand melakukan ‘tunggangan terakhirnya’ pada tahun 2076.
Polis
Tugas mereka adalah memastikan semua rakyat patuh dan diadili oleh perlembagaan yang dipanggil ‘Uniform Civilian Justice Code‘. Walaupun Polis adalah dibawah kerajaan persekutuan, kebanyakkan infrastruktur Corpo mempunyai polis yang dibiayai oleh mereka sendiri untuk menjaga keselamatan aset mereka. Disebabkan kadar jenayah yang tinggi, mereka mengunakan taktik ‘shoot then ask’ membuatkan kehadiran mereka tidak disenangi oleh orang awam.

Pada awal 2000-an, pasukan polis menubuhkan satu unit khas yang dipanggil psycho squad untuk membasmi penyakit mental ‘cyberpsychosis’. Cyberpsychosis adalah penyakit gila; kesan sampingan yang dihadapi oleh individu yang mengubah suai badan mereka secara berlebihan. Psycho squad dilengkapi oleh senjata, perisai dan alat komunikasi paling canggih untuk memerangi Cyberpsycho yang mengamuk di tengah-tengah bandar.
Apa Lagi?
OK, aku dah cerita pasal backstory dan factions dunia Cyberpunk. Dalam siri berikutnya, aku akan cerita lebih lanjut tentang dunia Cyberpunk yang sangat mendalam dan pelbagai ini. Nantikan artikel berikutnya bersama JomGaming.
Comments
Loading…