Dontnod Umumkan Game Baru: Tell Me Why Membawakan Tema Yang Cukup Kontroversi - Identiti Transgender

Dontnod Entertainment, studio yang membawakan Life is Strange, telah mengumumkan sebuah game terbaru, diberi judul ‘Tell Me Why’.

Sekali pandang, ia seperti sebuah game story yang biasa. Namun, sebenarnya, Dontnod dengan beraninya menampilkan sebuah tema yang cukup sensitif — iaitu identiti transgender.

Tell Me Why akan menceritakan sepasang kembar seiras, Tyler dan Alyson, yang teringat semula tentang bagaimana mereka dibesarkan semasa kanak-kanak di sebuah pekan kecil di Alaska. Dalam game ini, Tyler adalah “lelaki” transgender, atau dalam bahasa mudahnya, dilahirkan sebagai seorang perempuan, tetapi telah bertukar menjadi lelaki.

Sepanjang game ini berjalan, ia akan membawa pemain untuk menerokai dan mengingati zaman kanak-kanak daripada perspektif kedua-dua karakter ini. Apa sahaja keputusan yang dipilih oleh pemain sepanjang game ini akan menentukan kekuatan ikatan antara kembar ini, dan akan menentukan masa depan kehidupan kedua-dua karakter ini. Antara Alyson dan Tyler, tiada satu karakter yang akan lebih menonjol berbanding satu karakter yang lain kerana pemain akan bermain sebagai kedua-duanya.

Dontnod sememangnya pernah membawakan tema LGBT sebelum ini dalam Life is Strange. Namun, keputusan untuk membawakannya sebagai tema cerita utama serta mempromosikannya dengan lebih ke hadapan adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

Tell Me Why adalah game pengembaraan yang memfokuskan kepada penceritaan, dikeluarkan secara berepisod. Ia akan mempunyai tiga episod dan kesemuanya akan dikeluarkan dalam jangka waktu musim panas 2020 (Jun-September).

Setakat ini, Tell Me Why hanya diumumkan untuk PC dan Xbox One. Belum diketahui lagi sama ada ia akan dilancarkan ke platform lain seperti game-game Dontnod sebelum ini ataupun tidak.

JomKomen!