Bersempena D23 Expo, Dinsey akan mengadakan satu acara livestream khas yang akan memaparkan game-game yang akan diterbitkan mereka.
Dipanggil ‘Disney & Marvel GAMES SHOWCASE‘, acara ini akan memperlihatkan beberapa kandungan daripada Disney & Pixar Games, Marvel Games, Lucasfilm Games, dan 20th Century Games termasuklah game-game seperti Disney Dreamlight Valley, Marvel’s Midnight Suns, LEGO Star Wars: The Skywalker Saga serta game Marvel yang sedang dibangunkan Skydance New Media.
Acara ini akan berlangsung pada 10 September 2022, jam 4 pagi (waktu Malaysia) yang boleh ditonton di Youtube, Facebook dan Twitter.

Tarikan utama acara ini tentunya game Marvel yang sedang dibangunkan Skydance New Media, iaitu studio yang diasaskan dan diketuai oleh Amy Hennig.
Dalam pengumuman sebelum ini, game yang sedang dibikin itu disifatkan sebagai sebuah game yang berteraskan naratif, blockbuster action-adventure, serta menampilkan jalan cerita dan pendekatan asli dalam Marvel Universe.
Menurut Marvel lagi, bagi mencipta pengalaman interaktif yang serba baharu ini, Skydance telah mengumpulkan para pembangun yang mempunyai berdekad pengalaman dalam membangunkan game AAA, serta perunding kreatif yang datang dari latar belakang filem, televisyen dan komik.
Selain game Marvel, Skydance turut sedang membangunkan sebuah lagi game Star Wars.
Amy Hennig cukup dikenali sebagai salah seorang penulis yang mencipta siri game Uncharted, sebelum keluar dari Naughty Dog pada tahun 2014. Kemudian, pada 2019, Hennig dan bekas eksekutif EA, Julian Beak telah membuka Skydance New Media — dan ini merupakan projek pertama mereka selepas penubuhan studio tersebut.
Comments
Loading…