in , , , ,

Diablo II: Resurrected: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Diablo II: Resurrected merupakan sebuah game versi remastered kepada Diablo II yang dilancarkan pada tahun 2000, serta menggabungkan sekali expansion Lord of Destruction yang dikeluarkan pada 2001.

Dibangunkan bersama antara Blizzard Entertainment dan Vicarious Visions, Diablo II: Resurrected telah dilancarkan pada 23 September 2021 untuk PC, PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series dan Switch.

Mengeluarkan sebuah game remastered bukan satu kerja yang mudah untuk menambat hati peminat setianya. Adakalanya ia terasa seperti sesuatu yang tidak perlu, manakala ada yang berupaya menggembirakan ramai.

Diablo II: Resurrected berada dalam kategori yang mana? Jom kita ikuti reviu ini.

Aura Yang Sama

Secara ringkasnya, Diablo II: Resurrected telah membawa kandungan, gameplay dan semangat yang sama dengan game asal yang dikeluarkan lebih dua dekad yang lalu, namun diasah dengan grafik yang lebih diperkemas.

Golongan otai yang telah menghabiskan beratus (atau mungkin beribu) jam bermain Diablo II suatu ketika dulu pastinya akan tersenyum bermain game remastered ini. Activision telah berjaya membangkitkan satu nostalgia yang cukup untuk para pemain veteran ini terkenangkan segala memori yang pernah dibuai bersama rakan dan ahli keluarga dahulu.

Diablo II pada tahun 2000 itu asalnya memperkenalkan kepada kita dengan lima kelas, iaitu Barbarian, Paladin, Necromancer, Amazon dan Sorceress. Kemudian, dalam expansion Lords of Destruction, ia menambah dua kelas tambahan: Druid dan Assassin.

Dalam Diablo II: Resurrected, kesemua tujuh kelas ini tersedia.

Remastered Semata-Mata

Apabila sesebuah game remastered terlalu setia dengan game asalnya, ia juga menjadi satu masalah. Diablo II: Resurrected sememangnya hanyalah sebuah versi remastered semata-mata, di mana sekali imbas seolah-olah satu-satunya ciri moden yang ditambah ke dalamnya adalah grafik yang lebih baik.

Misalnya dalam bilangan kelas karakter yang boleh dimainkan. Tujuh yang dulu itu, itulah tujuh karakter yang tersedia dalam remastered ini. Tiada terlebih, tiada terkurang.

Cross-Progression

Walaupun tidak banyak, tapi antara fungsi moden bagus yang ditambah adalah cross-progression. Fungsi ini harus dipuji di mana kebanyakan game moden, malah game AAA yang dilancarkan di pelbagai platform masih tidak mahu menampilkan fungsi ini.

Bagi yang tidak tahu, cross-progression membenarkan pemain untuk simpan progression ketika kita bermain di satu platform, dan kita boleh sambung progression tersebut di satu lagi platform lain.

Contohnya untuk Diablo II: Resurrected ini, kita mainkannya di PS5 pada tengah hari, kemudian tibanya waktu malam, kita sambung pula progression kita tadi di platform PC pula.

Namun, jangan terkeliru. Fungsi ini hanyalah cross-progression, bukannya cross-play. Bermakna, korang tidak boleh main secara online bersama-sama dengan rakan korang yang bermain di platform yang lain.

Quality of Life

Selain itu, ada juga beberapa ciri quality of life yang tidaklah terlalu besar impaknya, namun tetap ciri-ciri yang lebih memudahkan dan melancarkan pengalaman penulis bermain.

Antaranya seperti mengutip Gold secara automatik, menyusun semula (sort) secara automatik item dalam inventory dengan lebih mudah, malah game ini lebih mesra golongan istimewa seperti kehadiran mode buta warna dan lain-lain.

Tiada Local Co-Op

Penulis ingin bertanyakan kepada golongan otai yang bermain Diablo II yang asal. Apa yang membuatkan game ini dulu benar-benar menyeronokkan? Ya, dengan adanya local co-op di mana kita boleh main bersama rakan atau ahli keluarga yang duduk di sebelah.

Dan jangan terkejut, local co-op tiada dalam Diablo II: Resurrected.

Ya, penulis faham, Diablo II: Resurrected sudahpun menampilkan fungsi online co-op. Ia sememangnya satu nilai tambah yang sangat baik. Malah, mungkin kebanyakan daripada kita akan lebih kerap bermain secara online berbanding local, lebih-lebih di zaman pandemik ini.

Namun, kehadiran ciri baharu tidak seharusnya mengakibatkan ciri teras yang menjadi kekuatan kepada game asal dibuang. Bilangan pemain yang lebih gemar bermain co-op secara online tidak semestinya tiada pemain yang ingin kembali bermain dan berhibur bermain Diablo II bersama rakan yang duduk bersebelahan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kepada pemain senior yang pernah menghabiskan waktu muda-mudi dulu dengan Diablo II, Diablo II: Resurrected sememangnya sebuah game yang BOLEH BELI. Game remastered ini mampu menggali, membangkitkan, dan menghidupkan semula segala kenangan yang pernah dipahat melalui gameplay dan kandungan yang sama seperti game asalnya.

Walau bagaimanapun, agak sukar untuk penulis syorkan game ini kepada golongan baharu atau gamer masakini. Grafik dan animasinya masih lagi berasaskan klasik dan gameplaynya yang tiada unsur atau mekanisme moden berkemungkinan mampu untuk membuatkan korang menguap. Tentunya satu game yang BOLEH BLAH untuk korang.

Tetapi sekiranya gamer generasi baharu yang ingin mencuba, ingin menambah pengetahuan gaming dan mahu merasai salah satu game terbaik ketika era dua dekad yang lalu — Diablo II: Resurrected adalah sebuah game yang paling sesuai untuk berjalan merentasi masa.

+ Aura dan semangat yang dikekalkan
+ Membangkitkan semula nostalgia
+ Beberapa quality of life yang ditambah
+ Cross-progression

– Tiada penambahan kandungan
– Tiada local co-op

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Game Percuma PlayStation Plus Oktober 2021 – Hell Let Loose, Castlevania Requiem, Mortal Kombat X, PGA Tour 2K21

eFootball 2022 Kini Game Paling Rendah Rating Dalam Sejarah Di Steam