Pada 24 Januari 2020, Menteri Belia & Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman ada mengeluarkan kenyataan tentang kerjasama yang akan dijalinkan antara kerajaan Malaysia dan Capcom, studio pembangunan game terkemuka dari Jepun.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas apakah bentuk kerjasama yang akan dijalin, sama ada Capcom akan membuka studio pembangunan di Malaysia atau akan menganjurkan kejohanan esports besar-besaran (walaupun Capcom sudahpun ada kejohanan rasmi Street Fighter di Malaysia sejak sekian lama) — itu bukanlah menjadi isu.
Apa yang membuatkan kenyataan tersebut membawa kepada penulisan artikel ini ialah bagaimana beliau mengulas lebih lanjut tentang kerjasama itu.
Syed Saddiq cukup teruja dalam mengatakan bahawa kemahuan Capcom untuk bekerjasama adalah disebabkan momentum yang diperoleh daripada perhatian besar yang diberikan kerajaan terhadap esports. Beliau mengatakan lagi pelaburan aktif yang diberikan oleh Tencent, Moonton, Alibaba Sports, malah pengumuman pembukaan studio pembangunan Sony pada tahun lalu juga adalah kesan daripada Pelan Pembangunan Esports oleh Kementerian Belia & Sukan yang diterajui olehnya.
CAPCOM !
Street Fighter, Mega Man, Resident Evil adalah antara jenama besar syarikat global Jepun ini. Kepakaran dan sumbangan mereka sudah lama terbukti.
Sejak kerajaan memberi perhatian besar kepada esports, Malaysia telah memperolehi momentum yang positif dalam industri ini pic.twitter.com/W01m2UyD4q
— Syed Saddiq 🇲🇾🌺 (@SyedSaddiq) January 24, 2020
Bagi pembaca yang mengikuti akaun Twitter penulis, mungkin ada yang perasan bahawa penulis, dan beberapa kenalan penulis lain telah tampil untuk memperbetulkan apa yang dikatakan oleh Menteri Belia & Sukan kita ini. Melihat kepada respon yang diberikan oleh orang ramai terhadap pembetulan yang dilakukan kami ini, penulis terpanggil untuk menulis artikel ini bagi memberikan penjelasan yang lebih tuntas tentang mengapa isu ini harus dibendung dan diperbetul sebelum ia menjadi semakin parah.
https://twitter.com/faiztobeng/status/1220925325959286785?s=20
Naratif Yang Tidak Tepat
Baiklah. Pertama sekali, kami telah lama memerhatikan naratif Syed Saddiq terhadap terma ‘industri esports’ yang beliau sering promosikan sejak memegang jawatan Menteri Belia & Sukan. Melihat kenyataan terbaru beliau ini, maka, cukup kata penulis. Ia semakin menjadi-menjadi, dan teguran harus diberikan secara terbuka.
Syed Saddiq sentiasa menggunakan naratif ‘industri esports’ bagi menggantikan industri yang sebetulnya digelar ‘industri gaming’ secara keseluruhan. Beliau sering merangkum segala yang berkaitan dengan gaming itu ke dalam sebuah jenama ‘esports’ yang diangkat terlalu tinggi daripada yang sepatutnya.
Ia seolah-olah industri pembangunan game itu duduk di dalam pecahan industri esports yang lebih besar. Tetapi hakikatnya, industri pembangunan game dan industri esports adalah dua sub-industri yang duduk di dalam industri gaming yang lebih besar.
Mempengaruhi Masyarakat
Apabila seorang Menteri yang diperhatikan oleh masyarakat umum seperti beliau menggunakan naratif yang tidak tepat ini, ia telah mempengaruhi pandangan umum bagaimana untuk melihat gambaran keseluruhan industri ini. Ia sememangnya telah terbukti. Lihatnya di sekeliling kalian bagaimana masyarakat arus perdana yang kurang arif dalam bidang ini, memandang esports itu adalah segala-galanya apabila bercakap tentang gaming.
Ingatlah, bukan semua tentang gaming itu adalah esports.
Penulis ada memuatnaik gambar rajah ringkas seperti di bawah di akan Twitter peribadi penulis bagi menerangkan apakah kesilapan yang sering dilakukan oleh Syed Saddiq melalui gambaran yang paling mudah:
Kepada Menteri Belia & Sukan @SyedSaddiq yang disayangi. Harap YB tak terkeliru lagi. pic.twitter.com/ovJpyFniDy
— Ahmad Faiz (@faiztobeng) January 25, 2020
Kesilapan terbesar Syed Saddiq dalam isu ini ialah bagaimana beliau mengangkat atau claim segala kejayaan dalam industri gaming yang dicapai oleh Malaysia secara amnya merupakan tempias fenomena esports yang diperjuangkan olehnya.
Tahukah kalian bahawa pembukaan studio pembangunan Sony Interactive Entertainment (SIE) tiada kena mengena dengan esports? Cuba berikan satu game yang dibangunkan oleh Sony yang boleh dikaitkan dengan esports? Sony berani membuka studio mereka di sini kerana bakat yang dimiliki oleh barisan individu pembangun yang ada di negara ini yang tidak asing dalam pengetahuan pihak Sony.
Tahukah kalian bahawa Malaysia mempunyai puluhan studio pembangunan dan ratusan individu pembangun tempatan yang telah banyak berjasa kepada game-game AAA yang terkemuka di dunia melalui outsourcing? Game-game seperti The Sims, siri FIFA, Call of Duty, Dark Souls, Bloodborne, Need for Speed, Final Fantasy, Watch Dogs, Far Cry, Uncharted, Diablo, Marvel’s Spider-Man, Mortal Kombat, dan BANYAK LAGI turut mendapat sentuhan studio tempatan melalui program outsource.
Itu belum lagi dikira bakat-bakat individu tempatan yang berjaya breakthrough menjadi orang-orang penting dalam studio-studio besar di luar negara. Mufizal Mokhtar yang pernah menjadi Pengarah Seni di Ubisoft Singapore, Aadi Salman yang kini merupakan Artis Konsep di Ubisoft Montreal dan Wan Hazmer yang merupakan Ketua Pengarah Game untuk Final Fantasy XV — mereka ini semua adalah anak jati Malaysia.

Apa projek Wan Hazmer pada ketika ini? Beliau telahpun keluar dari Square Enix, meninggalkan pengaruh yang cukup besar sehingga mampu mengasaskan Metronomik — sebuah studio yang berpangkalan di Malaysia, dibarisi oleh bakat-bakat hebat tempatan. Projek pertama Metronomik pada ketika ini ialah No Straight Roads, sebuah game aksi-muzikal yang mendapat perhatian meluas dari peminat dan pemerhati gaming seluruh dunia.
Bukan itu sahaja, Metronomik turut berjanji bahawa unsur-unsur budaya dari Malaysia akan dimasuk dan dipromosikan ke dalam No Straight Roads — antaranya yang telah diumumkan setakat ini ialah elemen dikir barat yang cukup unik.
Itu penulis hanya senarai nama-nama yang boleh dikatakan ‘sedikit mainstream’. Kalau disenarai kesemua studio tempatan lain yang tidak kurang hebatnya, artikel ini akan menjadi terlalu panjang.
Mungkin individu-individu yang mencipta nama melalui industri pembangunan game juga patut dimasukkan ke dalam buku teks sekolah sebagai hero yang dijadikan kebanggaan negara? Oh lupa, mereka ini bukan jutawan. Kita kan masyarakat materialistik. Lawak tapi tak lawak. Aihh..

Wajarkah?
Dan tahukah kalian bahawa semua studio dan individu yang disebutkan di atas, tiada satu pun yang boleh dikaitkan dengan esports? Mereka ini semuanya sudah mengorak langkah masing-masing sejak bertahun lamanya melalui pembangunan Malaysia Super Corridor (MSC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) jauh sebelum adanya Pelan Pembangunan Esports yang diilhamkan oleh Syed Saddiq.
Naiknya beliau menjadi Menteri Belia & Sukan dan terus ingin claim segala kejayaan industri gaming yang tiada kaitan apa sekalipun dengan esports sebagai sebuah kejayaan daripada momentum yang dikuasakan daripada Pelan Pembangunan Esports?
Portfolio Kementerian
Salah satu cara untuk membezakan antara industri pembangunan game dengan industri esports adalah dengan mengetahui siapakah dan kementerian manakah yang mengendalikannya di Malaysia. Mungkin ramai tidak cakna bahawa bukan semua yang berkaitan dengan game di Malaysia dikendalikan oleh kementerian di bawah Syed Saddiq.
Industri pembangunan game merupakan tanggungjawab MDEC yang berada di bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia yang diketuai oleh YB Gobind Singh Deo, manakala industri esports pula di bawah Kementerian Belia & Sukan yang diketuai oleh Syed Saddiq.
Sebab itulah acara pengumuman pembukaan studio pembangunan Sony pada November 2019 lalu, yang memfokuskan kepada industri pembangunan game (bukan esports), dihadiri oleh YB Gobind.

Kalau itu masih belum cukup untuk membuat kalian memahami tentang perbezaan dua industri ini, adakah kalian ada membaca penuh pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober 2019 lalu tentang apa saja kaitan dengan gaming? Secara ringkasnya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk industri esports yang diberikan kepada Kementerian Belia & Sukan dan RM20 juta untuk pembangunan digital yang diberikan kepada MDEC.
Masih ingat apa yang diucapkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa pembentangan itu?
Untuk industri esports: “Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf potensi tinggi esukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020. Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019.”
Untuk industri pembangunan digital: “Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi. Misalnya, pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-permainan, animasi dan seni digital.”
Data Analisis
Sekiranya kalian adalah seseorang yang bersifat analitikal, kalian boleh lihat bagaimana kebanyakan firma penganalisis yang melakukan analisis pendapatan industri gaming selalunya mengasingkan pendapatan industri pembangunan game dengan industri esports. Sebagai contoh, rangkuman analisis yang disediakan oleh WePC.com ini mengumpulkan data-data daripada NewZoo, SuperData, dan lain-lain firma analisis.
Pada tahun 2018, Malaysia kekal di tangga ke-21 di dunia dalam pendapatan industri video game. Malaysia dianggarkan mencatatkan perbelanjaan sebanyak USD654 juta iaitu kira-kira RM2.66 billion. Diingatkan sekali lagi, data pendapatan ini tiada kaitan dengan kemeriahan yang diwujudkan oleh industri esports.
Kebimbangan Dizahirkan
Semasa membincangkan topik ini di Twitter, selain kenalan-kenalan penulis, beberapa pihak yang terlibat secara langsung dalam industri pembangunan game turut menzahirkan kerisauan tentang bagaimana nama ‘esports’ dilambung tinggi apabila sesuatu kejayaan pembangunan game dicapai. Antara individu yang menzahirkan kerisauan ialah pencipta siri game SIMULACRA, Shah Rizar; Naib Presiden Divisi Kandungan Kreatif Digital MDEC, Hasnul Hadi Samsudin; dan bekas Pengarah Divisi Bakat MDEC, Imran Kunalan Abdullah.
eSports is overrepresented in both budget and exposure which is unfortunate 🤨
— shahrizar (@shahrizar) January 25, 2020
Keep the conversations going – more people understand- the better. But I know why it’s easier to say esports has game development under it – it’s a narrative that is more well known to the current masses. You are correct to show that esports is just part of the game industry.
— HasnulHadi🇲🇾 (@mistahasnul) January 25, 2020
I’m glad we’re all talking about it now. When I was a looking at this space in my younger days – not many thought that this was going to be something the future was about. Keep on keeping on!
— HasnulHadi🇲🇾 (@mistahasnul) January 26, 2020
That can only happen when reality overtakes obsessions over narratives! Cheers!🙏
— Mikaimran@اتمران (@Mikaimran6) January 26, 2020
Walaupun inisiatif esports oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu industri tempatan, penglibatan capcom serta syarikat antarabangsa yang lain hadir lebih lebih awal menerusi 'outsourcing studio', secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan kepada golongan muda & kreatif.
— Fade Fan Johnny (@JohannAffendy) January 24, 2020
This is what I've been trying to explain. Game industry is not included in esports industry. Esports industry is a subsidiary of game industry. Focus on creating a local product (game) is important to create homegrown talents (devs) to satisfy consumers who can be esports athlete https://t.co/dODa9CKWvj
— Intan Mawarni🦁 (@zarthana95) January 25, 2020
https://twitter.com/kennleandre/status/1221390450973478912?s=20
It doesn't help that the masses in Malaysia defines the current gaming boom with "esports/e-game" rather than game development in general.
We're an interesting case, but I'm doing what I can when chatting with the random uncles and bros I meet lol
— Amirul Ashraf (@meckronos) January 26, 2020
Sebagai menutup artikel ini, JomGaming ingin menegaskan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk memperkecilkan perjuangan industri esports, bukan memperkecilkan usaha semua pihak yang terlibat dalam mengangkat martabat esports termasuklah dari sekecil-kecil individu sehinggalah ke Menteri. Sesiapa yang mengikuti rapat JomGaming, sudah tentu mengenali kami sebagai pendukung kuat bermacam acara esports.
Tujuan artikel ini hanyalah untuk menegur naratif yang sering digunakan oleh Menteri Belia & Sukan ketika bercakap tentang kejayaan industri gaming di Malaysia secara keseluruhan, serta ingin memperbetulkan fahaman masyarakat umum tentang perbezaan dua industri (atau sub-industri) ini — iaitu pembangunan game dan esports.
Bergerak Seiring
Di sebalik perbezaan tersebut, kami semestinya ingin melihat kedua-dua industri ini berjalan, berlari dan terus berkembang bersama-sama dan selari dengan kredit masing-masing yang sepatutnya. Bukannya apabila satu industri mencapai suatu kejayaan, dan ia di-claim oleh industri yang satu lagi.
Ingatlah, industri pembangunan game adalah tentang mereka yang berada di belakang tabir seperti pelukis, penulis, animator, jurutera, programmer, pengarah, penerbit, pelakon — yang kerja seharian mereka adalah untuk membikin game, memasarkan, memuaskan para pemain, menjana pendapatan dari game itu dan terus mengekalkan tahap kualiti game itu.
Manakala, industri esports pula adalah satu industri yang digerakkan oleh pihak ketiga yang menganjurkan acara atau persembahan atau pertandingan, menggunakan game yang telah dibangunkan oleh pembangun video game sebagai media untuk dipersembahkan — melibatkan penganjur acara, kru-kru, pengulas, pengurus pasukan, jurulatih dan semestinya atlet esports.
Nampak macam sama, tapi bukan.
Comments
Loading…