Selepas kejayaan cemerlang Monster Hunter: World dan Resident Evil 2 Remake, tiba pula giliran Devil May Cry 5 iaitu terdiri daripada salah satu francais terkenal Capcom yang telah berusia lebih dari 15 tahun untuk kembali menyinar di 2019.

Sejak Devil May Cry 1 dilancarkan pada tahun 2001 sehingga bertukar tangan ke Ninja Theory bagi sebuah reboot DmC: Devil May Cry pada 2013, siri Devil May Cry jatuh kembali ke tangan pengarah, Hideaki Itsuno dan seluruh pasukan Capcom untuk meniup nafas baru ke dalam siri hack n’ slash dengan penampilan karakter baru, pertukaran visual memukau dan aksi combat yang sangat gempak!

Mungkinkah syaitan benar-benar menitiskan tangisan kedukaan atau kegembiraan dalam Devil May Cry 5? Jom baca Devil May Cry 5: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Devil May Cry 5 pasal apa?

Bermula dari kiri adalah tiga jejaka yang mempunyai separuh syaitan, seciput syaitan dan tak pasti syaitan ke tidak?

Jika anda tertanya-tanya kalau anda boleh main Devil May Cry 5 tanpa mengikuti game sebelum ini, saya dengan sukacita mengumumkan, YA ANDA BOLEH. Jangan risau, cerita Devil May Cry senang sahaja untuk faham berbanding Kingdom Hearts yang boleh membuatkan syaitan garu kepala. Untuk menyegarkan kembali ingatan pemain, Capcom telah menyelitkan video pendek melawati sejarah Devil May Cry sehingga setakat ini —  yang boleh ditonton di menu utama dalam DMC5.

Devil May Cry 5 melihatkan kembali Nero dengan gaya rambut baru tanpa Devil Bringer iaitu satu sumber kuasa syaitan yang wujud di bahagian lengan kirinya dalam Devil May Cry 4 yang dirampas oleh seorang individu misteri. Nero dibantu oleh Nicoletta Goldstein dengan hasil ciptaan Devil Breaker, sebuah lengan robotik yang mempunyai fungsi tersendiri disarung ke lengan kiri Nero dan juga memandu van bergerak kedai Devil May Cry.

Nico dan Nero mempunyai hubungan dinamik yang mencuit hati.

Kehilangan Devil Bringer tidak mematahkan semangat Nero untuk menghalang pencerobohan syaitan berskala besar di bandar Red Grave, malah berkobar-kobar mahu membantu Dante untuk menjatuhkan syaitan bernama Urizen. Namun, Urizen dibuktikan terlalu kuat oleh mereka berdua sehinggakan karakter baru, V terpaksa menarik Nero daripada genggaman Urizen manakala Dante ditinggalkan bagi memberi laluan kepada Nero dan V untuk larikan diri.

Kisah Devil May Cry 5 diperincikan dalam satu garis masa yang meletakkan pemain melawati cerita dari sebulan lalu ataupun berada dalam situasi berlaku dalam beberapa minit sahaja. Dari rentetan babak-babak ini, anda akan melihat bagaiamana Nero dan V bekerjasama untuk mencari Dante dan menumpaskan Urizen serta membongkar identiti siapakah V sebenarnya dan identiti gerangan yang merampas Devil Bringer Nero.

Gabungan syaitan baru dan lama

Yang mana satu jejaka idaman hatimu?

Devil May Cry 5 tidak sah tanpa aksi libas pedang, peluru berterbangan (dan topi juga berterbangan) dan memaparkan aksi kombat baru iaitu menyeru jelmaan haiwan menggunakan kuasa magik yang membolehkan pemain serang dari jarak jauh sambil dentuman lagu heavy metal bermain secara lantang dari latar belakang semasa bertempur.

Mekanik kombat boleh dikatakan lebih dimudahkan dan diseimbangkan supaya disesuaikan untuk pemain baru dan veteran. Mekanik gameplay mengambil memori indah dari game Devil May Cry terdahulu yang menekan dan membedil controller anda untuk menghasilkan serangan kombo dan gabungan kombo menghasilkan ranking SSS! Untuk Devil May Cry 5, anda boleh main tiga karakter utama iaitu Nero, Dante dan V.

Jom kita lihat keunikan karakter ini dan bagaimana ia terbentuk dalam game:

Bagi pendapat saya, Nero adalah bayangan Dante tetapi Nero ada gabungan kombat unik yang memberikan permainan berbeza daripada Dante. Nero menghunus pedang Red Queen yang membolehkan pemain melakukan serang raksasa dari jarak dekat seiras seperti pedang Rebellion milik Dante. Bahagian hulu pedang Red Queen boleh menderam yang mengeluarkan bunyi motor lalu menambah kekuatan kombat jarak dekat Nero.

Apa yang membezakan Nero dan Dante adalah penggunaan Devil Breaker yang mempunyai pelbagai bentuk dan fungsi untuk pertempuran unik. Terdapat 8 jenis lengan Devil Breaker asas yang anda boleh pakai seperti Gerbera boleh mengeluarkan laser beam, Punch Line yang boleh bertukar menjadi roket dinaiki oleh Nero serta menukarkan Nero jadi seorang peluncur berjaya dan banyak lagi.

Devil Breaker ciptaan Nico juga mengambil rekaan variasi eksklusif untuk versi Deluxe Edition seperti Mega Buster (mengikut gaya Mega Man untuk serangan jarak jauh), Sweet Surrender (boleh sembuhkan nyawa Nero) dan paling menarik adalah Pasta Breaker (untuk… makan pasta dengan garpu berputar secara automatik). Selain itu, Nero mempunyai sepucuk pistol jenis revolver bernama Blue Rose yang boleh menembak tiga peluru sekaligus dengan kebolehan Charge Shot.

Untuk penampilan pertama dalam siri Devil May Cry, V tidak mengecewakan sama sekali kerana dia adalah karakter paling mudah dimainkan berbanding Nero dan Dante. V membawakan gaya kombat yang tidak pernah diserlahkan dalam siri ini iaitu perlawanan jarak jauh dan dipacu oleh kuasa magik. Tanpa mengetahui identiti asal V, saya boleh rasakan Hideaki Itsuno mengambil inspirasi daripada game yang diarahkan oleh beliau iaitu siri Dragon’s Dogma penuh dengan aura magik.

V berkebolehan menyeru jelmaan Griffon, seekor burung legenda mitos iras-iras rupa helang dan seekor harimau kumbang dipanggil sebagai Shadow bagi menyerang musuh-musuh berdepan dengan V. Melalui pimpinan V, kedua-dua serangan jelmaan ini boleh diperkasakan lagi dengan Devil Trigger. Bukan itu sahaja, V boleh seru Nightmare iaitu berbentuk golem gergasi yang boleh ditunggang oleh V dan meranapkan semua musuh. Kemudian, V tampil dengan penghabisan elegan dengan menikam raksa menggunakan tongkat saktinya.

Kehadiran V semestinya memberi nafas baru terhadap dua karakter yang menggunakan kombat jarak dekat sebagai tunjang utama. Lebih-lebih lagi, V merupakan satu-satunya karakter yang memilih untuk menelaah buku berbanding menyindir musuh atau bos yang dia jumpa. Untuk tambah faktor lagi seronok, V boleh baca buku semasa dalam kombat yang menjana semula meter Devil Trigger.

Dante oh Dante. Devil May Cry 5 diserikan lagi dengan kepulangan Dante yang lebih berumur dan serabai tetapi tarikan menawan manusia separa syaitan masih belum pudar. Dante mengembalikan gaya klasik Devil May Cry dan digabungkan dengan gaya sesuai dengan peredaran moden. Dia juga bertanggungjawab atas babak-babak paling lawak dan menarik dalam game ini seperti menggayakan topi Dr. Faust setelah dihadiahkan oleh Nico iaitu cucu pembuat pistol Ebony & Ivory, Nell Goldstein.

Pedang Rebellion masih lagi menjadi senjata utamanya dalam game ini bersama pistol Ebony & Ivory. Namun, terdapat beberapa perubahan menarik akan mengubah pedang ikonik Dante semakin anda maju ke dalam game. Buat pengetahun anda, Dante mempunyai dua jenis Devil Trigger dalam game ini. Devil Trigger boleh menambah kuasa dan memulihkan nyawa serta menukarkan penampilan Dante. Anak Sparda ini turut mempunyai Balrog bertindak bagaikan sarung tangan bertinju untuk kombat jarak dekat dan Shotgun diasah muncung untuk tembakan jarak dekat.

4 gaya kombat Dante terdiri daripada Trickster, Swordmaster, Gunslinger dan Royal Guard kembali ke dalam game ini. Keempat-empat gaya ini boleh bertukar dengan menekan direction pad sama seperti Devil May Cry 4. Seperti biasa, Dante juga mampu menyerap kuasa bos-bos yang dikalahkan lalu bertukar menjadi senjata. Sebagai contoh, Cavaliere adalah pedang gergaji berbentuk motorsikal yang boleh ditunggang oleh Dante. Sangat-sangat gempak.

Kepulangan berhak diraikan oleh francais berusia hampir 20 tahun

Dante buat tarian poco-poco dengan topi cowboy

Bayangkanlah semasa Devil May Cry pertama dilancarkan di PS2, saya hanya baru berusia setahun jagung yang masih lagi belum mengenal erti video game. Siapa sangka idea Devil May Cry ini tercambah secara asal untuk projek Resident Evil bertukar menjadi satu game aksi yang mengambil gaya perlawanan kombo Street Fighter dan Onimusha serta disulam dengan elemen role-playing game (RPG) iaitu menggunakan Red Orb iaitu sejenis bentuk wang dikumpul pemain untuk meningkatkan skill tanpa kehadiran skill tree yang selalunya lazim muncul dalam kebanyakkan game triple A RPG.

Sepanjang saya bermain Devil May Cry 5, saya boleh merasakan bagaimana game ini dapat mengembalikan nostalgia menekan segala butang dan belajar setiap satu kombo bagi menonjolkan ranking padu. Kualiti grafik juga amat memukau dengan pacuan RE Engine yang menghidupkan dunia Devil May Cry ke tahap lebih tinggi seakan-akan Nero, Dante dan V bersama kehadiran karakter lain seperti Nico, Trish serta Lady tampak realistik.

Oleh itu, penceritaan Devil May Cry 5 dikembangkan berdasarkan apa yang dilihat oleh pemain melalui persekitaran mereka seperti dipamerkan dalam DmC. Malah, anda boleh membezakan bagaimana tiga karakter utama mempunyai lenggok berjalan tersendiri, perolakan pakaian mereka yang berubah-ubah mengikut suasana dan muzik yang disesuaikan dengan perwatakan mereka.

Secara kesimpulan…

Triple S bermakna Sis Sayang Semua!

Devil May Cry 5 adalah bukti bagaimana siri ini bangkit daripada kontroversi DmC menghantui siri ini dan berpegang asal dengan gaya hack ‘n slash asal tanpa mengurangkan mutu kualiti permainan. Malahan, saya merasakan perjalanan Devil May Cry 5 ini hampir sama seperti apa yang God of War lalui.

Terdapat beberapa perkara berkenaan game ini di mana saya merasakan agak menjengkelkan seperti tiga karakter berkongsi Red Orb dan ia memerlukan kuantiti banyak untuk habiskan upgrade kesemua bahagian skill. Perkara yang membuatkan saya sakit hati adalah Devil Breaker langsung tidak boleh ditukar semasa di dalam atau di luar kombat. Devil Breaker hanya boleh ditukar aturan jika anda menjumpai Devil Breaker yang diletak merata-rata peta oleh Nico, mengubahsuai melalui bengkel Nico atau terserempak dengan Divinity Statue. Cara lain adalah meletupkan Devil Brraker terus tetapi kaedah ini sangat membazir wang.

V berjaya rangkul anugerah nilam

Devil May Cry 5 kurang memfokuskan elemen teka-teki dan meletakkan satu cabaran menyelesaikan teka-teki kompleks sekali sahaja sehinggakan Dante menarik nafas lega (betul, saya tak tipu). Walau bagaimanapun, terdapat Secret Mission tersembunyi di sebalik persekitaran game dan hanya boleh dibuka dengan pandangan tertentu.

Sebaik sahaja anda habiskan game ini, mode Son of Sparda menampilkan nyawa raksasa lebih panjang dan memerlukan kombo lagi mantap serta mode-mode lain seperti Dante Must Die turut dimasukkan dalam game ini.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Devil May Cry 5 adalah antara satu penantian sangat berbaloi-baloi bagi peminat kipas-susah-mati Devil May Cry. Game ini memberikan resolusi penceritaan mengikut hati pemain, kombat menyeronokkan dari ketiga-tiga karakter dan babak-babak lucu yang memang buatkan anda tak kering gusi. Kalau ini apa yang anda mahukan, ternyata Devil May Cry 5 adalah BOLEH BELI dan disyorkan oleh Dante.

Kalau anda kurang minat game hack ‘n slash atau tidak gemar menekan butang secara ganas macam syaitan sehingga mengakibatkan controller terbelah dua, maka Devil May Cry 5 terletak dalam kategoriBOLEH BLAH

+ Grafik RE Engine sangat cantik sehingga membuatkan syaitan terharu
+ Gameplay sesuai untuk pemain baru dan lama
+ Tidak menghukum pemain kerana ia tidak terlalu susah untuk dimainkan
+ Gabungan kombo pelbagai jenis mengikut citarasa pemain
+ Kemasukan karakter baru yang sesuai dipadankan dengan Nero dan Dante
+ Penuh dengan easter eggs dari game Devil May Cry terdahulu
+ Hubungan kekeluargaan dan semangat kawan yang akrab

Teka-teki ringkas
Ganas dan rekaan raksasa menggelikan
Devil Breaker tidak boleh ditukar secara langsung
Pengakhiran yang boleh diteka
Asyik bankrap sebab tak cukup Red Orb untuk upgrade skill ketiga-tiga karakter

Devil May Cry 5 sudah dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!