in , , ,

Detroit: Become Human: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Dapatkah anda melihat manusia dan android hidup harmoni bersama atau akan tercetusnya peperangan antara manusia dan android?

Daripada studio Quantic Dream yang terkenal dengan game drama interaktif seperti Heavy Rain dan Beyond: Two Souls, penulis dan pengarah David Cage kini tampil dengan game terbaru beliau berjudul Detroit: Become Human.

Kali ini, Cage akan membawa pemain dalam mesin masa 20 tahun ke hadapan di bandar Detroit, Amerika Syarikat. Pada tahun 2038, teknologi android dipasarkan secara meluas oleh CyberLife bagi membantu manusia dalam segala aspek pekerjaan dan cukup patuh terhadap segala arahan manusia.

Namun, secara perlahan-lahan, kebanyakan android semakin menyimpang jauh daripada kod program asal mereka. Malahan, robot seakan manusia ini membentuk naluri kesedaran mereka tersendiri dan boleh merasakan emosi simpati, ketakutan dan keberanian saling tak tumpah seperti insan biasa.

Bagaimana ini boleh terjadi? Jom ikuti review kami Detroit: Become Human: Boleh Beli or Boleh Blah!?

JomBaca: 10 Perkara Anda Patut Tahu Tentang Detroit: Become Human

Penceritaan realistik yang menakjubkan

Walaupun kebanyakkan game hanya memfokuskan hubungan antara bapa dan anak, Detroit: Become Human lebih memfokuskan hubungan rapat antara ibu dan anak.

Sebagai seorang peminat tegar yang pernah main kesemua game Quantic Dream, studio ini memang tidak asing lagi dengan menghasilkan grafik game sememangnya lebih dahsyat dan tampil lebih realistik berbanding game mereka sebelum ini dengan menggunakan enjin motion capture terbaru. Quantic Dream sekali lagi tampil dengan performance capture yang cukup menyeluruh di mana setiap gerak geri setiap karakter baik manusia ataupun android dalam game ini dizahirkan dengan begitu cemerlang. Syabas diucapkan untuk Valorie Curry (Kara), Bryan Dechart (Connor) dan Jesse Williams (Markus) atas lakonan mantap dalam game ini!

Penyampaian grafik realistik ini sekaligus membantu pemain untuk mengamati cerita ketiga-tiga android secara lebih mendalam bagi menempuh jalan penuh liku dalam mencari tempat hakiki di mata manusia. Namun, terdapat juga beberapa plot hole jalan cerita dan plot twist tiba-tiba muncul tanpa penjelasan penuh yang membuatkan anda garu kepala.

Lebih banyak keputusan yang meruntun jiwa

Oleh sebab anda melihat tiga perspektif berbeza dalam tiga android yang mempunyai kebolehan mereka tersendiri, anda juga akan terasa berbelah-bahagi ketika mahu menentukan jalan cerita yang sesuai bagi mereka. Dalam Detroit: Become Human, Cage mengambil kembali konsep game beliau sebelum ini di mana setiap android mempunyai meter kesedaran mereka tersendiri yang boleh berubah-ubah setiap masa iaitu sama seperti meter kesihatan mental dalam Fahrenheit: Indigo Prophecy. Perubahan meter itu bergantung kepada perhubungan tiga karakter utama antara android lain dengan manusia sejagat (seperti hubungan Kara dan Alice atau Connor dan Hank) serta persepsi umum masyarakat Detroit terhadap android.

Anda akan bermain sebagai android Kara yang pernah muncul dalam demo tech sebelum ini. Dia dimiliki oleh seorang duda bernama Todd Williams yang tinggal bersama anaknya bernama Alice. Program asal android model AX400 iaitu Kara adalah untuk membantu sebuah keluarganya dari segala aspek seperti melayani Todd, mencuci pakaian, mengemas rumah dan memasak untuk seisi keluarga. Namun, keadaan rumahtangga itu jadi tidak tenteram kerana perangai Todd panas baran tanpa tentu hala mengakibatkan penderaan terhadap anak kandungnya sendiri.

Walaupun Kara diprogram untuk tetap mematuhi arahan manusia semata-mata, terdetik satu kesedaran dalam diri yang membangkitkan kepintaran buatan (artificial consciousness) Kara untuk menolak segala arahan daripada Todd dan terus mempertahankan anak kecil yang tidak bersalah. Setelah mereka berdua lari daripada persekitaran tidak sihat itu, pemain akan berdepan dengan tanggungjawab atas hubungan mereka berdua untuk Kara terus melindungi Alice di luar tanpa tempat untuk berteduh atau menjauhkan diri daripada Alice.

Seterusnya, Markus merupakan model prototaip khas diciptakan bagi menjaga pelukis terkenal Detroit, Carl Manfred. Carl ialah seorang individu kelainan upaya yang harus bergantung terhadap Markus untuk apa jua aktiviti. Walaupun Markus sedar bahawa dia hanya sekadar android, Carl mengganggap Markus sebagai anaknya sendiri dan mengajar dia untuk sentiasa mempunyai pendirian tersendiri serta tidak mempedulikan tentang apa masyarakat sedang berkata tentang teknologi android.

Namun, anak kandung Carl bernama Leo berasa tidak puas hati dengan keakraban Markus dan bapanya sendiri. Apabila tragedi melanda Markus sehingga dia diusir dari rumah pemiliknya, Markus harus bangkit dari kekejaman manusia yang hanya melihatnya sebagai sekeping plastik menyerupai manusia. Kini, Markus harus mengetuai kesemua android lain di bawah nama Jericho untuk memperjuangkan hak mereka untuk bebas dari manusia dengan melakukan demonstrasi aman atau protes ganas besar-besaran.

Oleh sebab semakin ramai android yang tidak lagi mengikuti program asal mereka, sebuah android diprogram khas oleh CyberLife untuk membantu polis. Nama android diberi ialah Connor digandingkan bersama seorang leftenan polis bernama Hank Anderson yang amat benci akan android. Meskipun hubungan mereka dingin pada permulaannya, Connor harus mengumpul bukti dan menyiasat kes-kes jenayah besar yang membabitkan android membunuh pemilik mereka.

Connor perlu mengetahui punca sebenar untuk membendung android tidak lagi mematuhi arahan manusia tersebar umpama virus sebagaimana anda lihat apa yang terjadi kepada Markus dan Kara. Keutamaaan pertama Connor adalah untuk menumpaskan kegiataan android tersimpang jauh dari kod sebenar mereka tetapi ini bergantung kepada pemain untuk jadikan Connor agresif dalam pendekatannya menjatuhkan android liar atau Connor berdolak-dalih dalam penyiasatannya bersama Leftenan Hank.

Lebih dari sekadar menekan butang secara serentak 

Kepada yang suka bermain game mencari klu misteri dalam telefon pintar, game ini amatlah sesuai bagi anda.

Detroit: Become Human belajar serba sedikit kekurangan yang dilihat dalam Heavy Rain dan Beyond: Two Souls iaitu ada sesetengah bahagian game terasa lopong untuk memberi laluan kepada sinematik game tanpa menunjukkan apa-apa interaksi dari pemain. Dalam ketiga-tiga karakter android yang saya main, setiap android mempunyai keunikan gameplay mereka tersendiri tetapi saya paling suka gameplay Connor kerana anda memasuki ‘mind palace’ (yang tertera di gambar atas) seperti Sherlock Holmes. Connor berkebolehan menganalisa keadaan sekeliling dan membentuk kembali kejadian jenayah sebelum ia berlaku dengan klu yang diperolehi setelah melihat kembali saat-saat penting semasa kejadian jenayah itu tengah dilakukan di tangan android sendiri.

Selain menekan punat butang dan menekan bahagian tengah controller DualShock 4, anda boleh menggerakkan controller anda sedikit ke kanan atau ke kiri menurut arahan game. Walaupun quick-time event (QTE) adalah satu kemestian bagi game Quantic Dream, Detroit: Become Human berjaya meletakkan aksi QTE pada babak-babak penting dan bermakna dalam game ini.

Gerakkan controller senget ke kiri untuk terus gosok, jangan tak gosok.

Bukan setakat Connor sahaja, malah Kara dan Markus juga berkebolehan untuk menilai keadaan sekeliling mereka untuk memastikan orang (atau android) mereka sayangi selamat dari ancaman anasir luar iaitu polis termasuk Connor sendiri turut menjadi ancaman Markus dan Kara.

Aksi sepantas kilat dan mencabar

Nyah kau dari sini, helikopter!

Sepanjang perjalanan cerita watak-watak utama Detroit: Become Human, keseluruhan aksi lebih mendebarkan kerana anda akan mengharungi pilihan keputusan dalam jangka masa pendek. Selain itu, keseluruhan aksi game berlaku sekelip mata dan memerlukan refleks cekap untuk menangkis halangan berturut-turut. Lebih-lebih lagi, game ini memang benar-benar mengambil pepatah “masa itu emas” kerana setiap waktu yang anda bazirkan akan mempengaruhi jalan cerita.

Dari segi kepayahan game ini, terdapat dua difficulty pemain boleh pilih iaitu Casual atau Experienced. Bagi pendapat saya, mod Casual mengurangkan efek mendalam ke dunia Detroit sebab kawalan kamera dipegang sepenuhnya oleh game itu sendiri tetapi anda lebih senang mengesan klu dan menyelesaikan permasalahan di sekeliling anda. Jika anda sukakan gameplay lebih mencabar, maka mod Experienced lebih padan untuk anda. Ini kerana anda pegang kawalan kamera sepenuhnya, jadi ini mengalu-alukan pengalaman lebih dekat seperti andalah android yang wujud di Detroit pada masa hadapan.

Terlalu banyak cabang keputusan

Game ini sesuai untuk makcik-makcik bawang seluruh dunia sebab anda akan kupas setiap lapis bawang yang ada dalam game ini.

Detroit: Become Human semestinya membuka cabang lebih besar berbanding game mereka bangunkan sebelum ini. Ini terbukti dengan kepelbagaian cabang pilihan dan pengakhiran yang berselirat seperti akar pokok yang sudah mencecah usia tua di hutan tebal Borneo. Jika anda mahu menghabiskan keseluruhan game ini lengkap dengan semua pengakhiran, proses ini memakan masa sebanyak 40 jam! Memang padu! Untuk game ini, saya mahu menasihati pembaca bahawa anda memang patut main game ini sekurang-kurangnya dua kali tapi sebenarnya dua kali pun tidak mencukupi, ini semua bergantung kepada perasaan ingin tahu anda.

Buat julung kali, Quantic Dream menyerikan lagi game bernaratif berat ini dengan memperkenalkan ‘Flowchart’ yang amat berguna untuk pemain melihat kembali pilihan mereka yang sudah dilakukan dan mendapat peluang untuk mengesan berapa banyak cabang pemilihan yang pemain boleh lalui. Carta aliran kompleks muncul setelah anda habis bermain satu bab dalam game. Setiap kali saya melihat balik carta aliran itu, saya memang terpukau dengan kepelbagaian pilihan dan kebebasan diberikan kepada pemain untuk bangunkan jalan cerita mereka tersendiri.

Tiada Photo Mode

Dapatkah bandar Detroit bangkit dari masalah kegawatan ekonomi dan akan membangun seperti apa yang diimpikan dalam game ini?

Perkara ini mungkin nampak remeh-temeh dalam penciptaan sesebuah game tetapi sejujurnya, ketiadaan Photo Mode mengecewakan saya. Detroit: Become Human dilengkapi dengan penceritaan hebat berlatarbelakangkan landskap bandar Detroit dari setiap lapisan masyarakat ditonjolkan begitu realistik dan cantik. Oleh sebab itu, jika Photo Mode wujud dalam Detroit: Become Human, pemain dapat diberi peluang keemasan untuk menangkap momen-momen hebat sepanjang game ini.

Kesimpulannya –BOLEH BELI or BOLEH BLAH

Untuk pengetahuan anda, kos untuk membeli satu android dalam game ini bernilai ~RM27,863.50 (USD$7000)

Jalan cerita Detroit: Become Human ini seakan-akan melihat kembali filem A.I Artificial Intelligence yang diarahkan oleh Steven Spielberg pada tahun 2001 tetapi perbezaannya adalah keseluruhan nasib android terletak di tangan anda. Ketiga-tiga android ini lengkap dengan jalan cerita tersendiri menyentuh tentang konflik android terkeluar dari landasan program mereka yang mahu hidup seperti manusia biasa meskipun android menghadapi jalan penuh onak dan duri.

Untuk pengetahuan anda, Detroit: Become Human merupakan game pertama Quantic Dream dilancarkan untuk PS4, jadi ini lain daripada yang lain kerana Heavy Rain dan Beyond: Two Souls tidak dikira sebab kedua-dua game ini pada asalnya dilancarkan untuk PS3.

Jika anda sukakan game naratif tanpa linear sarat dengan penceritaan mendalam dan memang suka bermain berulang-ulang kali untuk mendapatkan segala pengakhiran, sudah tentu kami akan mengesyorkan anda BOLEH BELIgame ini.

Kalau anda jenis yang tak suka main berulang-ulang untuk dapatkan pengakhiran berbeza-beza dan anda tergolong dalam pemain yang merasakan “ini bukan main video game, ini macam tengok filem!”, maka sayang sekali, game ini BOLEH BLAHbagi anda.

+ Grafik realistik seperti Jesse Williams betul-betul terkeluar dari skrin TV anda
+ Penceritaan lebih panjang dan cabang kompleks
+ Gameplay lebih laju dan mendebarkan
+ Soundtrack mantap untuk ketiga-tiga karakter utama
+ Boleh main banyak kali

 Tiada Photo Mode
 Pergerakan kamera yang boleh mengganggu konsentrasi
 Terdapat plot hole yang menjengkelkan
 Plot twist lemah
 Mengambil masa terlalu lama untuk loading

Detroit: Become Human sudah dilancarkan pada hari ini bersamaan 25 Mei eksklusif untuk PS4.

Written by Intan Zarthana

Peminat besar Dragon Age, The Last of Us dan Uncharted. Sukakan game yang ada jalan cerita yang bagus.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Acer Umumkan Siri Gaming Desktop, Laptop, Monitor Dan Aksesori – Macam-Macam Ada!

DICE Jawab Persoalan Tentang Kemungkinan Mode Battle Royale Dalam Battlefield V