Call of Duty: Mobile telah mencapai satu rekod yang cukup mengagumkan.

Menurut analisis yang dikeluarkan Sensor Tower, dengan 148 juta muat-turun, Call of Duty: Mobile menjadi game kedua paling banyak dimuat-turun dalam sejarah dalam bulan pertama pelancaran. Sebagai perbandingan, Pokemon Go masih lagi memegang takhta nombor satu yang mana game tersebut dikeluarkan pada 2016.

Jika dibandingkan dengan game-game shooter mobile lain, Call of Duty: Mobile jauh meninggalkan PUBG Mobile dan Fortnite. Dalam bulan pertama, PUBG Mobile hanya berjaya mencapai muat-turun sebanyak 60.7 juta, manakala Fortnite pula sebanyak 35 juta. Walau bagaimanapun, angka Fortnite ini hanya diambil dari Apple App Store, dan tiada rekod dikumpulkan dari jumlah muat-turun dari laman rasmi Epic Games di Android (Fortnite tidak dilancarkan ke Google Play Store).

Pada bulan lalu, Call of Duty: Mobile mencatatkan purata muat-turun harian sebanyak 4.9 juta, yang mana hari tertinggi dicatatkan pada 1 Oktober iaitu sebanyak 24 juta muat-turun dalam masa 24 jam.

Amerika Syarikat mencatatkan jumlah muat-turun Call of Duty: Mobile tertinggi, iaitu sebanyak 23.6 juta, manakala tangga kedua diduduki oleh India, iaitu sebanyak 16.2 juta.

Melalui pencapaian yang cukup tinggi ini, pastinya Activision sedang memikirkan bagaimana untuk memantapkan lagi Call of Duty: Mobile dengan kandungan-kandungan yang lebih baik.

JomKomen!