in , , , ,

Deep Rock Galactic Adalah Cinta Pertama Aku Untuk Tahun 2022, Dan Cinta Ini Harus Dikongsi Bersama

Para pemain di PC dan Xbox mungkin merasa janggal apabila membaca tajuk di atas kerana Deep Rock Galactic (DRG) sebenarnya telahpun dilancarkan sepenuhnya pada Mei 2020 — yang mana sebelum itu telahpun memasuki fasa Early Access di Steam sejak 2018.

Sebagai seorang yang lebih gemar bermain di PlayStation, aku hanya memerhatikan saja apabila geng-geng di PC dan Xbox mula bermain DRG kerana sejak melihat trailer pertamanya, aku dapat merasakan yang game ini ada sesuatu.

Apabila DRG diumumkan sebagai salah satu daripada tiga game percuma yang ditawarkan dalam langganan PlayStation Plus untuk Januari 2022, aku berkata kepada diri, inilah masanya untuk akhirnya mencuba game ini.

Kendatipun, aku tidaklah meletakkan harapan terlalu tinggi kepada game ini selagi belum mencubanya sendiri kerana seperti kebanyakan pelanggan PS Plus lain, aku sudah masak dengan pemberian game-game sampingan percuma membosankan yang sering diapitkan bersama game-game AAA lain setiap bulan, dan aku berfikir mungkin DRG juga sama seperti game-game tersebut.

Namun, pandangan awal aku ternyata meleset sama sekali. Kini, setelah bermain lebih daripada 15 jam, aku boleh katakan yang DRG merupakan game co-op PvE 4-pemain yang paling menghiburkan pernah aku mainkan sejak sekian lama.

DRG membawakan tema penerokaan angkasa di planet-planet aneh, menggunakan empat orang kerdil. Dalam perjalanan melombong ini, orang-orang kerdil ini ditugaskan untuk mencari, menggali dan mengesktrak bermacam jenis sumber asli yang ada di dalam gua-gua planet tersebut, dan semestinya ‘tuan rumah’ tidak akan senang dengan kehadiran ‘penyedut-penyedut’ sumber asli ini.

Para pemain akan disapa dengan pelbagai jenis binatang dan tumbuh-tumbuhan yang berbahaya dalam proses melakukan kerja-kerja perlombongan ini. Labah-labah kecil, labah-labah gergasi, lipas terbang, serangga penyembur racun, obor-obor listrik, pokok-pokok berasap toksik — namakan sajalah, macam-macam ada.

Apa yang membuatkan DRG benar-benar sebuah game yang menyeronokkan adalah betapa segala aspek gameplay, setiap misi, dan sedikit kisah latar belakang (lore) lucu yang disuntik, ianya sentiasa fokus kepada satu tema — iaitu kerja-kerja penggalian sumber asli di dalam gua-gua.

Apabila difikirkan sekali imbas, “menggali dan menembak makhluk asing” bukanlah sebuah tema yang boleh membuatkan para pemain melekat berjam-jam dan akan sentiasa terhibur. Tapi percayalah, Ghost Ship Games berjaya melakukannya dengan DRG.

Objektif utama setiap kali sesebuah misi dijalankan mungkin adalah sama, namun bagaimana ia dibentuk dan diadunkan dengan bermacam jenis gameplay, variasi tugas yang berbeza, serta kekuatan musuh yang semakin menggila membuatkan aku dan rakan-rakan akan sentiasa mencari alasan terus bermain satu lagi pusingan.

Misalnya, jenis misi paling ringkas yang terawal adalah para pemain turun ke sebuah gua, cari dan gali satu atau dua batu permata yang spesifik, dan kemudiannya kembali ke pod untuk menamatkan misi.

Dalam satu misi yang lebih rumit pula, para pemain akan diturunkan bersama sebuah Drilldozer sebesar kereta kebal yang mana tugas utamanya adalah untuk mencari dan memecahkan sebuah batu permata besar yang cukup keras. Apabila enjin Drilldozer ini sudah dimulakan, ia akan bergerak dengan sendirinya ke arah objektif dan para pemain perlu melindunginya, membaiki kerosakan mesin (yang sedang bergerak itu) dan menyahkan segala macam jenis binatang yang cuba merosakkan mesin itu.

Setibanya pertengahan jalan, Drilldozer akan kehabisan minyak dan kita perlu mencari sejenis batu khas yang berada di kawasan sekeliling, gunakan sejenis laser khusus untuk mencairkannya menjadi minyak. Dalam proses pencarian minyak ini, binatang-binatang itu akan terus cuba untuk merosakkan Drilldozer yang terhenti di tengah jalan itu, dan kita perlu membahagi-bahagikan tugas untuk mencari minyak, dalam masa sama melindungi mesin penting itu.

Apabila tangki minyak sudah kembali penuh, Drilldozer akan meneruskan perjalanan dan kemuncak misi ini adalah apabila kita menemui batu permata besar itu. Dikala Drilldozer fokus menebuk batu yang begitu keras itulah segala jenis binatang buas akan menerjah untuk menghentikan mesin yang sedang bekerja dengan kapasiti penuh itu buat kesekian kalinya.

Apa yang membuatkan DRG merupakan sebuah game co-op yang berfungsi dengan baik adalah bagaimana Ghost Ship membentuk keseimbangan antara empat jenis kelas yang disediakan. Keseimbangan abiliti, senjata dan gajet yang dimiliki oleh setiap kelas adalah sangat baik, membuatkan setiap pemain ada saja kerja yang perlu dilakukan, sentiasa terlibat dengan sesi perlombongan dan tidak merasa terpinggir. Dalam kata lain, tidak akan ada mana-mana pemain yang boleh klaim dialah yang carry misi itu.

Satu hal lagi yang membuatkan aku dan rakan-rakan tidak terbantut dalam meneruskan permainan adalah disebabkan fungsi-fungsi game ini yang amat memudahkan serta kurangnya bug dan glitch yang muncul.

Ya, mungkin kita boleh katakan yang game ini sudahpun dilancarkan di PC dan Xbox sejak beberapa tahun yang lalu, membuatkan kurangnya bug dan glitch dalam versi PlayStation yang aku mainkan. Namun harus diingat, ada saja game-game lain, game AAA bahkan, yang walau berapa tahun pun sudah dilancarkan, masih ada glitch yang merencatkan permainan (game-breaking), terutamnya game multiplayer.

Antara fungsi memudahkan pemain yang aku amat sukakan, yang sesetengah game co-op PvE tidak bawakan, adalah membenarkan rakan lain yang terlambat untuk menyertaikan aku dan rakan-rakan lain yang sudahpun memulakan sesebuah misi (selagi skuad belum penuh). Ini kelihatan seperti satu ciri mudah, tapi banyak sebenarnya pembangun yang abaikan.

Apa yang aku boleh simpulkan dalam artikel kali ini adalah aku pasti akan memainkan Deep Rock Galactic sehingga puluhan jam lagi, jika tidak ratusan.

Deep Rock Galactic adalah satu contoh game di mana aku tidak akan teragak-agak untuk menyokong pembangunnya dengan membeli kandungan-kandungan tambahan (DLC) kerana daripada kandungan asasnya sahaja aku sudah cukup yakin untuk menaburkan wang aku kepada mereka.

Dan ya, aku sudah pun membeli beberapa DLC yang menawarkan skin-skin kosmetik yang menggiurkan. Macam dalam gambar di bawah.

Tahu apa yang game ini perlukan sekarang ini? Lebih banyak kandungan, lebih banyak variasi misi, lebih banyak senjata dan gajet, lebih banyak kosmetik! Mungkin juga battle pass!

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Take-Two Interactive Bakal Ambil-Alih Zynga Dengan Nilai Lebih RM53 Billion, Tertinggi Dalam Sejarah Gaming

FAR: Changing Tides: Pra-Tempah Kini Dibuka – Dunia Dilanda Banjir, Pemain Mengembara Naik Kapal Steampunk