in ,

Death Stranding Director’s Cut: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setelah dua tahun pelancaran game Death Stranding pada tahun 2019, Kojima Productions telah mengambil langkah untuk melancarkan semula game Death Stranding mereka dalam bentuk Director’s Cut yang memfokuskan kepada konsol generasi baharu, Playstation 5.

Walaupun nama pelancaran semula game ini sama seperti Ghost of Tsushima Director’s Cut yang dilancarkan juga tidak lama sebelum ini, namun pengisian dan matlamatnya agak berbeza dengan Ghost of Tsushima.

Apa yang menarik, pengasas Kojima Productions sendiri, Hideo Kojima tidak bersetuju dengan nama Director’s Cut tersebut kerana menurut beliau terma Director’s Cut itu sendiri merujuk kepada content yang terpaksa dipotong sebelum pelancaran, akan tetapi content yang ada dalam Director’s Cut game ini adalah content baharu dan bukannya content yang dipotong sebelum pelancaran game asal. Penulis berpendapat kalau dinamakan ‘Extended Version’ ianya lebih sesuai.

Bagi mereka yang masih belum bermain Death Stranding yang asal, secara ringkas, Death Stranding berkisarkan tentang Sam Porters, seorang penghantar kargo di era pasca bencana di Amerika Syarikat yang ditugaskan untuk membuat penghantaran penting ke seluruh pelusuk negara, di samping menyambungkan semula rangkaian-rangkaian yang menghubungkan semula sisa-sisa manusia yang terselamat di era “Death Stranding”.

Beliau juga terpaksa berhadapan dengan makhluk-makhluk anasir ganas yang dikenali sebagai BT dan juga puak lanun kargo MULE sepanjang membuat penghantaran kargo-kargo penting ke seluruh pelosok Amerika di era pasca bencana.

Apa benda yang berbeza?

Seperti yang kita sedia maklum, dua tahun sebelum ini Death Stranding telah dilancarkan di konsol Playstation 4 dan Playstation 4 Pro sahaja. Walaupun dilancarkan juga di platform PC pada waktu tersebut, tetapi segala kebolehan grafik versi konsol yang ditonjolkan pada masa itu terhad kepada kemampuan konsol tersebut.

Namun dengan pelancaran konsol generasi baru PS5 pada penghujung 2020, Kojima Studio telah memberikan game Death Stranding satu nafas baru di platform PS5 dengan pelancaran Director’s Cut ini.

Death Stranding hadir dengan persekitaran dan panorama yang sangat menakjubkan ehsan visi daripada pengasas game ini sendiri Hideo Kojima, dengan kebolehan bermain dalam resolusi 4K 60FPS, kali ini sudah semestinya menjadi persekitaran tersebut nampak lebih hidup dan berdefinisi tinggi.

Death Stranding Director’s Cut hadir dengan tiga mode grafik iaitu Performance, Quality dan Ultrawide. Seperti mode-mode naik taraf dalam game lain, mode grafik ini juga hadir dengan fungsi yang sama di mana Performance Mode akan menjurus ke arah memberikan pengalaman bermain dalam 60FPS namun dengan resolusi yang direndahkan; Quality Mode memberikan pengalaman bermain dengan resolusi native 4K namun dengan FPS yang tidak stabil manakala Ultrawide Mode pula secara asasnya sama seperti mode Quality namun dengan tambahan format “letterbox” di bahagian atas dan bawah skrin.

Selain itu, game ini juga memanfaatkan fungsi haptic feedback dan adaptive trigger Dualsense yang memberikan tekanan ketika bertempur dan satu perasaan yang unik di bahagian tangan hasil bantuan gegaran haptic feedback yang tidak pernah mengecewakan.

Pantas, mudah dan selamat

Naik taraf grafik dalam game Death Stranding Director’s Cut ini boleh dikatakan agak ketara namun pada pendapat penulis terdapat pembaharuan lain dalam game ini yang menjadi kunci mengapa Death Stranding Director’s Cut sangat berbeza dengan versi asal game ini. Dengan kelajuan SSD terbaru dari PS5, kini anda tidak perlu menunggu lama untuk loading masuk ke dalam game. Berbanding versi PS4 yang memakan masa hingga seminit untuk loading masuk ke dalam game dari menu utama, versi Director’s Cut di PS5 hanya perlukan beberapa saat sahaja.

Selain loading time, Director’s Cut juga datang dengan beberapa alatan dan kemudahan yang baharu seperti Maser Gun, Buddy Bot dan Cargo Catapult. Bagi pendapat penulis ketiga-tiga pembaharuan ini memberikan pengalaman yang sangat berbeza dan ketara dalam Director’s Cut ini berbanding jika bermain dengan versi biasa.

Buddy Bot memudahkan pemain untuk membawa kargo tanpa perlu menyeksa diri dengan muatan yang begitu banyak. Anda hanya perlu letakkan sahaja kargo yang anda ingin bawa di atas Buddy Bot dan robot tersebut akan ikut sahaja ke mana anda pergi. Sangat mudah, bukan?

Jika itu tidak cukup memudahkan, anda sendiri juga boleh naik Buddy Bot tersebut dan biarkan robot tersebut membawa anda ke destinasi yang anda ingin pergi.

Selain Buddy Bot, kemudahan Cargo Catapult juga memainkan peranan yang penting dalam memudahkan penghantaran kargo anda. Ini kerana Cargo Catapult berfungsi sebagai penghantar jarak jauh yang membolehkan anda menembak kargo menggunakan kemudahan ini ke destinasi penghantaran anda. Konsepnya sama seperti sebuah lastik besar yang mampu melastik barang dengan jarak yang jauh.

Maser Gun juga salah satu senjata baharu yang hadir dalam siri Director’s Cut di mana ia berfungsi untuk melumpuhkan musuh dengan tembakan renjatan elektrik. Dengan adanya kesemua pembaharuan ini, ianya sangat membantu dan memudahkan pemain untuk membuat penghantaran kargo dengan lebih selesa dan selamat dan itu menjurus kepada point saya yang seterusnya.

Kemudahan yang terlalu memudahkan?

Kemudahan baharu dalam siri Director’s Cut kali ini, penulis berpendapat bahawa kemudahan-kemudahan tersebut mungkin sedikit mengubah pengalaman bermain game Death Stranding ini.

Tujuan utama game ini adalah untuk memberikan cabaran dalam penghantaran cargo namun dengan wujudnya kemudahan seperti ini ianya mungkin sedikit sebanyak membuang cabaran tersebut dan kadangkala membuatkan penghantaran terlalu mudah.

Namun kemudahan tersebut tidaklah secara keseluruhan mengubah cara anda bermain game ini kerana kemudahan tersebut juga mempunyai kebolehan yang terhad juga.

Lain-lain

Terdapat juga pembaharuan lain seperti Firing Range, Race Track, Fast Travel dan tambahan penceritaan di Ruined Factory.

Firing Range membolehkan anda untuk melatih diri menggunakan kesemua senjata di dalam game ini. Anda boleh mengakses Firing Range ini di setiap terminal yang anda singgah.

Selain itu, anda juga boleh membina Race Track di mana anda boleh menguji kebolehan memandu anda di dalam game ini. Walaupun Race Track ini terhad kepada mode time trial sahaja namun dengan melengkapkan time trial ini anda akan menerima habuan kenderaan yang boleh digunakan untuk membuat penghantaran di dalam game ini.

Tambahan penceritaan di Ruined Factory juga hanyalah sebuah tambahan yang minor sahaja dan tidak memberi kesan mendalam terhadap keseluruhan cerita.

Kini anda juga mampu membuat perubahan warna pada BB Pod anda namun ini hanya terhad kepada warna sahaja berbeza dengan Backpack pula anda hanya boleh menambah patches dan mengubah kedudukan barang sahaja. Namun ianya masih sebuah pembaharuan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Death Stranding Director’s Cut boleh penulis katakan berjaya memberikan satu pengalaman baharu jika dibandingkan dengan versi game sebelum ini dan ianya membuatkan game ini sebagai game yang lengkap.

Walaupun misi penghantaran agak berulang dan sama, namun pembaharuan yang diselitkan sedikit sebanyak memberi ruang dan variasi untuk pemain dalam membuat penghantaran kargo. Namun jalan cerita yang agak draggy dan memakan masa masih menjadi a real pain in the neck kepada semua pemain game ini.

Bagi pendapat penulis jika anda mempunyai PS5 dan ingin bermula bermain game ini maka game ini BOLEH BELI untuk anda. Jika anda juga seorang peminat game Death Stranding dari awal dan mempunyai PS5, maka game ini juga BOLEH BELI untuk anda.

Namun jika kesabaranku kau uji, sungguh kau tak peduli, maka game ini BOLEH BLAH untuk anda kerana game ini memerlukan kesabaran dan daya fikir yang tinggi dalam membuat penghantaran kargo yang sempurna.

Mungkin abang-abang posmen boleh cuba main game ini.

+ Naik taraf grafik ke 4K 60fps yang membuatkan persekitaran menjadi lebih menarik.
+ Loading time pantas
+ Penuh dengan pembaharuan
+ Alatan dan senjata baharu yang sangat membantu

– Tiada penceritaan baharu yang memberi impak
– Pembaharuan yang membuatkan gameplay menjadi sedikit tidak mencabar

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ada Apa Dengan Bigo Live, Jana Pendapatan Dan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia Championship?

Tak Serik, Ubisoft Umum Satu Lagi Game Shooter Battle Royale Percuma – Tom Clancy’s Ghost Recon Frontline