Days Gone merupakan sebuah game yang dibangunkan oleh Bend Studio dan diterbitkan oleh Sony, eksklusif untuk platform PlayStation 4.

Game single-player yang dilancarkan pada 26 April 2019 ini membawakan genre survival horror pasca-apokalips dalam persekitaran open-world. Secara ringkasnya, Days Gone membawa pemain bermain sebagai watak utamanya, Deacon St. John, salah seorang daripada segelintir manusia yang terselamat (masih lagi) dalam dunia yang dipenuhi dengan zombi.

Deacon telah kehilangan isterinya, Sarah, lebih dua tahun sebelumnya, dan game ini menyelusuri kehidupan Deacon dalam meneruskan kehidupan sehariannya.

Satu Tamparan Buat Sony

Sukar sebenarnya penulis ingin mengungkapkan ini kerana penulis secara peribadi merupakan pencinta kepada game-game eksklusif keluaran Sony. Namun, kebenaran sememangnya pahit untuk ditelan.

Days Gone merupakan tamparan yang cukup memalukan kepada Sony. Serba serbi game ini telah menyajikan satu kualiti yang sangat rendah. Sekiranya penulis duduk di dalam gua, selama setahun yang lalu, kemudian keluar dari gua dan terus bermain Days Gone, penulis pasti tidak akan percaya bahawa game ini adalah game eksklusif daripada Sony.

Open-World Yang Sepi

Kalaulah Days Gone merupakan game open-world pertama yang penulis mainkan, penulis akan berjanji bahawa penulis tidak akan bermain game bergenre ini lagi.

Secara peribadi, penulis kurang berminat dengan game-game open-world. Hanya beberapa game open-world saja yang benar-benar menambat hati penulis: antaranya Red Dead Redemption 2 dan Marvel Spider-Man. Bermain Days Gone membuatkan penulis bertambah “benci” kepada genre open-world.

Persekitarannya terasa terlalu kosong dan sunyi. Iya, kita faham bahawa ia berlatarbelakangkan dunia pasca-apokalips yang mana sebahagian manusianya sudahpun menjadi korban zombi. Namun, video game tetap harus menjadi video game — iaitu menghiburkan kita dalam apa jua cara sekalipun.

Membawakan dunia pasca-apokalips bukanlah alasan untuk membenarkan sebuah persekitaran open-world yang kurang menarik. Ya, zombi-zombinya menakutkan, dan kadang-kala ada manusia dari geng-geng lain yang cuba menyerang hendap (ambush) pemain. Tapi, itu sajalah. Aktiviti yang diulang-ulang dari mula permainan sehinggalah tamat, mengembara dari satu sudut ke satu sudut yang lain.

Penulis berani jamin, peminat tegar open-world pun boleh rasa bosan dengan persekitaran Days Gone, apatah penulis ini yang kurang gemar dengan genre seperti ini.

Penceritaan Yang Sangat Hambar

Apabila menonton sekian banyak trailer yang dikeluarkan sebelum dilancarkan, penulis meletakkan keyakinan yang tinggi kepada game ini. Kisahnya, iaitu perjalanan seorang lelaki tabah dalam menjalani kehidupan dalam dunia pasca-apokalips setelah kematian isteri tercinta semestinya satu premis cerita yang mempunyai potensi yang agak baik. Tapi, ternyata, ia menghampakan.

Babak sinematik yang memukau, naratif yang mengusik jiwa, cara penyampaian dan lontaran dialog yang menyentuh hati dari pelakon suara, perkembangan watak dan cerita serta beberapa elemen lain yang diperlukan untuk menyajikan sebuah penceritaan yang mantap dalam sesebuah karya sememangnya hilang dalam Days Gone. Itu yang benar-benar buat penulis terkejut apabila ia datang dari sebuah penerbit game yang tidak pernah mengecewakan kita dalam membawakan penceritaan yang baik.

Semakin jauh game bergerak, semakin hilang tarikan terhadap ceritanya. Ia umpama penyeksaan untuk menghabiskan story dalam Days Gone.

Tidak Padan

Dalam banyak-banyak isu yang menyelubungi game ini, penulis fikir ini adalah yang paling menyakitkan hati: iaitu babak sinematik yang tidak padan dengan gameplay.

Situasi ini berlaku paling teruk dalam misi yang ingin menangkap musuh hidup-hidup. Setelah mengejar musuh menaiki motosikal, masuk jauh ke dalam pedalaman/hutan, pemain pun berjaya menangkap dan mengikat musuh itu. Kemudian, musuh itu akan hanya ditinggalkan di tengah-tengah jalan tanpa perlu menghantar dia ke boss yang meminta dia ditangkap tadi. Apa yang terjadi selepas itu? Misi itu akan terus habis di situ dan musuh itu tadi akan terbiar terikat di tengah jalan.

Satu lagi misi yang tak selari ialah semasa babak sinematik, Deacon menyuruh Lisa, perempuan remaja yang diselamatkannya, lari sekuat hati untuk lari dari penjahat. Apa yang berlaku selepas babak sinematik itu tamat dan memasuki skrin gameplay ialah Lisa hanya berjalan dengan perlahan seperti tiada apa-apa bahaya yang mengejarnya. Padahal penjahat itu sedang mengejarnya. Kelakar.

Motosikal

Kalau ada satu isi yang bagus tentang game ini, penulis rasakan gameplay motosikal yang disajikan ke dalam Days Gone boleh dikatakan agak mencabar dan menyeronokkan.

Kalau Red Dead Redemption 2 mempunyai kuda sebagai peneman, Days Gone pula mempunyai motosikalnya. Kedua-dua game ini dan alat pengankutannya mempunyai aura yang sama.

Motosikal adalah rakan karib kita dalam game ini. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan untuk kita bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, tetapi ia turut memerlukan kita untuk menjaganya.

Perkara paling penting apabila kita ingin memulakan perjalanan jauh dalam Days Gone ialah kita perlu merancang perjalanan tersebut. Kita perlu memikirkan di mana stesen minyak yang seterusnya kerana gameplay motosikal mempunyai fungsi mengisi minyak yang perlu sering kita ambil perhatian. Jika minyak habis, terpaksalah kita menuntun motoskikal sehingga menjumpai stesen minyak berdekatan. Tiada motosikal atau kenderaan lain yang boleh kita tumpang atau curi kerana open-world pasca-apokalips dalam game ini terlalu kosong.

Ada suatu ketika, penulis tersalah mengagak kuantiti minyak yang ada, penulis terpaksa menolak motosikal itu ke stesen minyak seterusnya selama 30 minit. Yang membuatkan perjalanan menolak itu menjadi lama adalah disebabkan sepanjang-panjang perjalanan itu, ada saja zombi yang datang ingin mengokak. Penulis terpaksa hentikan motosikal, selesaikan zombi yang menyerang, sambung semula menolak motosikal — lakukannya selama 30 minit.

Sayangnya, tiada cinematic camera atau fungsi autopilot semasa menunggang motosikal seperti menunggang kuda dalam Red Dead Redemption 2. Kalau ada, pasti seronok menunggang motosikal, tukar ke cinematic camera dan autopilot, sambil pasang lagu Awie.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kalau korang mahu mencari sebuah game yang mempunyai jalan cerita yang mantap dalam persekitaran open-world yang tidak membosankan, Days Gone bukanlah game yang sesuai. Penceritaan yang terlalu perlahan di awal permainan serta open-world yang terasa kosong membuatkan game ini, bagi penulis, adalah game yang “flop” hasil terbitan Sony.

Walau bagaimanapun, sekiranya korang mahu merasa gameplay menunggang motosikal yang agak baik dalam suasana pasca-apokalips yang dipenuhi dengan serangan zombi yang mengganas, Days Gone ialah game yang korang perlukan.

+ Gameplay motosikal baik
+ Perlu rancang perjalanan
+ Zombi yang mengganas

Jalan cerita membosankan
Open-world yang kosong
Misi tidak padan antara gameplay dengan sinematik
Lakonan suara hambar
Tiada autopilot menunggang motosikal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.