Setelah sebanyak 11 game, 2 filem dan muncul dalam pelbagai media termasuk komik serta dizahirkan sebagai patung Barbie, dapatkah filem terbaru Tomb Raider ini keluar dari sumpahan filem yang berdasarkan video game?

Nama Tomb Raider tidak asing lagi kepada pemain sejak diperkenalkan lebih kurang 20 tahun yang lalu dan francais ini berjaya memberikan impak besar terutamanya kepada pengenalan awal karakter perempuan, Lara Croft di mana kebanyakkan video game ketika itu meletakkan karakter lelaki sebagai teraju utama.
Kejayaan besar Tomb Raider ini menjadikan Lara Croft sebagai satu ikon utama dalam industri video game dan berjaya mengubah landskap pembangunan video game. Bukan setakat memberi impak budaya besar kepada francais video game, status ikon Lara Croft meresap sehingga ke dunia Hollywood.
Adakah sumpahan filem video game akan menghantui filem baru Tomb Raider atau tidak? Jom baca ulasan kami!
Pengenalan terbaik untuk Lara Croft

Filem ini berfungsi sebagai stand-alone memperkenalkan Lara Croft (Alicia Vikander) sebagai seorang wanita muda yang sedang mencari makna hidup di London setelah kehilangan bapanya, Lord Richard Croft (Dominic West) selama 7 tahun.
Lara harus menelan kenyataan pahit bahawa bapanya sudah tiada lagi dan dia harus meneruskan kehidupannya seperti biasa tetapi Lara tahu dia mempunyai potensi lebih besar daripada hanya bekerja sampingan menjadi kurier makanan.
Kecerdikan Lara mendorong dia untuk mendapat tahu tentang “hobi” lain Richard Croft sebagai seorang pengembara yang menyiasat satu mitos permaisuri Himiko dipercayai boleh mengawal kuasa untuk hidup dan mati di pulau tidak diketahui dipanggil sebagai Yamatai terletak di Jepun.

Melalui penemuan ini, Lara berjaya menghubungkan titik-titik penting tentang penyiasatan pulau berbahaya Yamatai yang mungkin menyebabkan kehilangan bapanya selama ini.
Berbekalkan semangat juang dan keyakinan yang tinggi, Lara bertemu dengan seorang kapten kapal Endurance, Lu Ren (Daniel Wu) dan mereka berdua mengharungi lautan ganas Devil’s Sea sebelum tiba ke pulau Yamatai.
Tanpa pengetahuan Lara, pulau Yamatai bukan lagi pulau yang tidak berpenghuni apabila Lara ditangkap oleh ketua Trinity, Mathias Vogel (Walton Goggins) yang juga mahu mencari Himiko untuk dijadikan sebagai satu senjata untuk mengawal dunia.
Bagi pendapat saya, filem ini berjaya memperkenalkan kekuatan Lara Croft untuk melangsungkan hidup di tempat tidak dikenali yang penuh dengan pelbagai ancaman dan kebijaksaannya untuk mengatasi segala cabaran sekaligus menjadikan pengenalan watak Lara yang bakal menjadi pengembara hebat suatu hari nanti – dipertunjukkan dengan begitu teratur.
Lebih daripada simbol seks
Ini bukan pertama kali Lara Croft muncul di layar perak. Pada tahun 2001, watak ikonik Lara Croft dibawakan oleh Angelina Jolie dalam filem berjudul Lara Croft: Tomb Raider dan juga sekuel pada tahun 2003 bertajuk Lara Croft: Tomb Raider – The Cradle of Life.

Pembawakan protagonis utama Tomb Raider ini tidak lari dengan sensasi kontroversi terhadap kedua-dua pelakon Angelina Jolie dan juga Alicia Vikander terutamanya dari segi penampilan tidak sama dengan fizikal seksi dan menggiurkan Lara Croft seperti dalam video game. Namun, Lara Croft dalam filem terbaru ini lebih daripada bentuk jasadnya sahaja.

Filem Tomb Raider baru diarahkan oleh Roar Uthaug, muncul dengan nafas baru dengan memperkenalkan pemenang Oscar, Alicia Vikander sebagai Lara Croft dan mengambil inspirasi dari game reboot Tomb Raider (2013).
Kali ini, aksi dan gaya lawan Lara Croft ditonjolkan dalam filem ini tampak realistik kerana hampir kesemua aksi dilakukan oleh Vikander sendiri seperti ditenggelami banyak air dan mempratikkan seni mempertahankan diri untuk lebih menghayati watak Lara Croft.
Apa yang saya suka tentang filem ini adalah filem ini berjaya memberi fokus kepada bagaimana Lara berdepan dengan situasi genting dan berupaya menyelesaikan masalah daripada hanya bergantung kepada aspek kecantikannya sahaja berbanding filem sebelum ini.

Dalam filem ini, kita akan menyelusuri kehidupan awal Lara Croft menunjukkan terumbang-ambing tanpa arah dan penuh dengan rasa sangsi akan diri sendiri sebelum mendapat seru sebagai Croft sebenar seperti dibawakan oleh Angelina Jolie sebelum ini.
Walaupun Lara Croft adalah titik tumpuan utama dalam filem ini, Lara juga mempunyai semangat kerjasama antara Lu Ren dan juga beberapa watak pembantu lain yang membentuk karakter Lara Croft sebagai seorang pengembara geliga serta kuat.
Persamaan filem dan game
Seperti apa yang anda tahu, filem terbaru ini berasaskan kepada game reboot Tomb Raider (2013) yang menampilkan Lara Croft versi lebih cekal dan pada masa yang sama, lebih dekat kepada realiti.
Terdapat beberapa persamaan visual antara game reboot Tomb Raider dan filem terbaru seperti babak cemas Lara mengambil payung terjun dalam sebuah kapal terbang usang.
Filem ini juga akan mengambil tempat yang sama iaitu di pulau fiksyen bernama Yamatai bagi merungkai misteri kuasa permaisuri Himiko. Namun, filem ini akan lebih mendalami perhubungan antara Lara dan bapanya berbanding dengan penceritaan dalam video game menunjukkan Lara bertungkus-lumus untuk menyelamatkan kawan-kawannya di pulau itu.
Kata akhir
Pada permulaannya, jangkaan saya terhadap filem baru Tomb Raider ini adalah tidak setinggi mana pun kerana saya rasa agak kecewa menonton filem Assassin’s Creed.
Saya pergi menonton filem ini dengan jangkaan ala kadar bahawa filem Tomb Raider ini mungkin sesuai hanya sebagai filem aksi biasa sahaja yang dibintangi dengan pelakon-pelakon berbakat seperti Alicia Vikander, Daniel Wu dan Walton Goggins.
Namun, selepas saya menonton filem ini di pawagam, Alicia Vikander berjaya membawa keseluruhan penceritaan filem sebagai watak Lara Croft yang muda dan sedang dalam perjalanan untuk menjadi pengembara sebenar dan saya juga terhibur dengan aksi-aksi hebat yang dipamerkan di skrin besar.
Kesimpulannya, saya rasakan filem Tomb Raider (2018) ini antara bukti kukuh bahawa pembikinan adaptasi video game ke filem masih lagi ada harapan yang boleh menghiburkan hati pemain dan juga penonton filem yang tidak pernah bermain game Tomb Raider. Filem Tomb Raider memang seronok! Kalau hendak diberi rating, saya beri 4 bintang dari 5 bintang.
Filem Tomb Raider sudah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sekarang.
JomBaca: 3 Game Asal Tomb Raider Akan Menerima Versi Remastered Di Steam
Comments
Loading…