Menu
in , , ,

Dah Boleh Pra-Daftar Life Makeover Sekarang Di iOS, Android – Game Berdandan, Berfesyen, Simulasi Kehidupan

Pra-pendaftaran untuk Life Makeover kini sudah dibuka di App Store dan Google Play untuk para pemain di iOS dan Android.

Game ini pernah ditampilkan oleh IGN dalam slot Summer of Gaming, sebuah laman web yang jarang membuat liputan tentang game mobile. Tapi mengapa IGN berbuat demikian?

Life Makeover merupakan game terbaharu yang dibangunkan oleh studio Archosaur Games, membawakan para pemain untuk berdandan dan berfesyen tanpa had serta menjalani kehidupan seharian secara simulasi.

Game mobile ini digambarkan sebagai game yang akan membawa pemain memasuki alam percintaan, termasuklah kepelbagaian gameplay yang bertembung dengan kisah-kisah penuh perasaan.

Para pemain boleh mencipta bentuk badan dan wajah karakter masing-masing, mereka gaya-gaya berfesyen serta menghias rumah dan berinteraksi dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Ribuan pakaian berfesyen yang boleh diterokai dalam game ini, memberi peluang kepada pemain untuk merealisasikan penampilan yang diidamkan selama ini. Sama ada pakaian untuk sesi minum petang bersama teman-teman, beristirehat di tepi pantai atau menghadiri makan malam mewah — semuanya ada untuk digayakan.

Bukan setakat memilih pakaian sedia ada, pemain juga dibenarkan untuk memotong, menjahit dan mencipta — seterusnya memperkenalkan fesyen tersendiri.

Kalau pakaian dah molek, tak sahlah kalau tak bersolek. Ubah suai karakter korang dengan solekan terkini yang lawa dengan ratusan pilihan untuk eye shadow, lipstick dan macam-macam lagi.

Untuk penampilan fizikal pula, pemain boleh mengubahsuai jenis senyuman, tona warna kulit serta bentuk badan bagi memperlihatkan keunikan dan personaliti masing-masing.

Bercakap soal rumah pula, Life Makeover sememangnya memberikan kebebasan penuh kepada pemain. Pilih lokasi rumah sendiri, cipta tema dan gaya perhiasan di dalam rumah, dan hias setiap sudut rumah tersebut. Tambah menarik, perabot dan perhiasan rumah juga boleh dicipta, diletakkan dan diwarnakan mengikut citarasa tersendiri.

Tak cukup meriah lagi? Tambah keriuhan di dalam rumah dengan membela haiwan peliharaan, bertemu dengan pemain lain secara online serta jemput mereka untuk lepak-lepak santai di rumah.

Kenapa kena ada sesi lepak-lepak? Sebab korang kena buat makan-makan. Kenapa kena ada makan-makan? Sebab macam dalam dunia sebenar, karakter korang akan berasa lapar. Bukan itu sahaja, karakter itu juga akan berasa mengantuk, gembira, sedih dan lain-lain.

Apa yang paling menarik tentang Life Makeover adalah ia dibangunkan dalam Unreal Engine 4, maka grafik yang disajikan juga cantik, seperti yang korang boleh saksikan dalam trailer di bawah:

Archosaur Games dikenali sebagai pembangun yang pernah membawakan Dragon Raja, iaitu game yang pernah memenangi anugerah Game Kompetitif Terbaik di Google Play 2020 untuk rantau Asia Tenggara.

Selain itu, antara game akan datang yang sedang dibangunkan Archosaur adalah Noah’s Heart, Avatar: Reckoning dan sebuah game belum diumumkan yang sedang dibangunkan dalam Unreal Engine 5.

Ikuti sebarang perkembangan terbaharu Life Makeover melalui akaun rasmi di Facebook, Youtube dan Discord.

Artikel ini ditaja oleh Cap. Artikel ini ditulis menurut laporan IGN dan tidak melambangkan pendapat dan pandangan JomGaming selaku wacana berita gaming Malaysia.

Written by Big Boss

Leave a Reply

Exit mobile version