in , , ,

Cyberfusion 2016: 10/10 Wajib Join Lagi Acara LAN Party Rekod Dunia Ini!

Pada tahun lepas, saya terdengar pasal acara Cyberfusion melalui Facebook. Seorang rakan gamer Destiny yang pernah menyertainya di tahun-tahun lalu juga menggalakkan saya untuk mencuba. Setelah banyak berfikir dan mendapat persetujuan ibubapa (aduuh ya Mak, saya bujang tapi umur dah lanjutlah!), saya menyertai Cyberfusion 2015. Pengalaman saya adalah amat seronok sekali dan juga membuka mata saya betapa besarnya komuniti gamers di Malaysia.

Bila adanya peluang untuk menyertai Cyberfusion 2016, saya tidak membuang masa dan memasukkan nama sendiri dalam senarai.

JomBaca: Cyberfusion 2016 Kembali Lagi – Sambutan Memberangsangkan, Tiket Terlajak Laris!

Nasib baik saya cepat! Ini kerana di masa pra-pendaftaran, pengurus acara Spotgamers telah mengajak bekas Cyberfusionist untuk menarik mana-mana rakan gamers untuk serta bersama. Walaupun ruang slot ada 300 tempat, dengan cepatnya ia sudah penuh sebaik sahaja keluar pengumunan acara ini. Memang terbukti bila gamers Malaysia nak buat party, semua nak bawak geng ramai-ramai!

Selimut dan bantal? Check. Pakaian? Check. Konsol dan alatan PS4? Check. TV? Masih perlu dibalut dengan plastik. Extension cord elektrik? Dua pek.

“Liza nak pindah balik Cyberjaya ke?” tanya kakak saya.

Sambil menyumbat beg dengan makanan ringan Maretti bruschette ke dalam kereta, saya menjawab, “Tak lah! Ini 2 malam je Kak Emma!”

Snacks itu penting! Jadi saya pastikan ada banyak supaya tidak cepat habis.

Dan besar kemungkinan tidak tidur pun di malam tersebut! Cyberfusion bukan sahaja sebuah LAN party di mana gamers berjumpa dan berborak sambil nak bragging tingginya markah highscore mereka. Ada juga pelbagai aktiviti yang dijanjikan seperti ice-breaking, pertandingan mini-games, dan cabutan bertuah. Sambil mengemas, saya juga check app media sosial dengan rakan-rakan gamers, terutamanya, geng JomGaming. Kali ini kita datang sebagai satu team media gaming yang rasmi!

Cyberfusion 2016 – Hari Pertama

Tempat lokasi untuk acara 3 hari 2 malam tahun ini adalah CoInnov8, Cyberview, sebuah bangunan pejabat 4 tingkat yang berdekatan dengan MaGIC Cyberjaya, dan tidak jauh dari bangunan MDEC. Saya sampai lebih kurang 2.30pm, setengah jam sebelum masa kaunter daftar nak buka. Sambil menunggu, saya bawak keluar barang-barang besar seperti TV, beg pakaian, selimut comforter (tua, koyak, tapi janji bersih) dari kereta.

Saya nak mengintip tempat gaming di tingkat 2 dari luar kawasan, tetapi abang sekuriti mempelawa saya untuk masuk terus. Mungkin sebab para peserta Cyberfusion makin ramai atau mungkin sebab saya pakai baju tshirt hitam Cyberfusion tahun lepas yang nampak sangat macam baju staf Cyberfusion 2016? Meh, asal ada sudut selamat untuk saya simpan alat peranti gaming!

Selepas pendaftaran masuk, tag ID wajib di pakai sepanjang waktu acara!
Selepas pendaftaran masuk, tag ID wajib di pakai sepanjang waktu acara!
Sesi memasang kerusi gaming DXRacer. Wow, banyak tuh!
Sesi memasang kerusi gaming DXRacer. Wow, banyak tuh!
LAN party wajib kena ada Internet! Diorang yang dah set up meja pergi main dulu ya!

Seperti dewan MMU tahun lepas, ruang tempat LAN party penuh dengan barisan meja-meja panjang, setiap satu boleh muatkan lebih kurang 8 atau 12 gamers. Banner-banner yang bersandar di dinding dan beberapa sudut kosong menghiaskan lagi ruang tempat dengan logo dan gambar rakan penaja Cyberview dan para penaja seperti Corsair Gaming, CUDO Technologies dan DXRacer.

Betul-betul di sebelah ruang depan adalah tempat showcase penaja utama E-Blue. Syarikat dari Hong Kong ini telah menyediakan tempat showcase dengan beberapa alat peranti PC yang terbaru termasuklah keyboard, mouse, dan kerusi gaming yang bercahaya. Yang menarik sekali adalah peluang untuk memenangi kerusi gaming E-Blue melalui jumlah like di Instagram. Bestnya!

Pameran beberapa alat peranti gaming yang canggih oleh E-Blue.
Gamers juga berpeluang untuk main dengan produk-produk showcase E-Blue!

Selepas saya mendaftar dan menyusun tempat tidur di tingkat 4, para peserta makin ramai tiba. Ada yang duduk di luar bangunan dan sedang menyusun roda-roda gaming chair sebelum menolaknya masuk ke dalam lif. Ada yang dengan gembiranya menyambut rakan yang sampai dan menghulurkan baju tshirt bercorak warna team. Ada juga yang datang dengan keluarga masing-masing dan menolong mengangkut CPU berat atau skrin monitor yang amat besar.

Perasmian acara Cyberfusion 2016 dimulakan dengan dua wakil Malaysian Battlefield Team (MBT), Quekie dan Typherionn, mengumumkan kedatangan pengacara majlis, seorang jejaka bernama Prince Charming. Prince Charming, yang dengan jelasnya BUKAN Setiausaha Agung eSports Malaysia Rinie Ramli (ehem), mengalu-alukan kedatangan semua para peserta ke acara tahunan yang masih mengekalkan rekod dunia untuk acara LAN party paling lama – 48 jam!

Agaknya Rinie sesat nak sampai tapi tidak mengapa! Prince Charming boleh tolong, dengan level Charisma +101.

Prince-Bukan-Rinie juga memperkenalkan kumpulan Cyberview yang telah menyediakan ruang tempat yang lengkap dan selesa, serta Dato Latt Shariman Abdullah, Presiden Persatuan eSports Malaysia. Dato Latt memberi shoutout untuk peserta-peserta yang telah datang sejauh Kelantan dan Singapura (yaaay Arse-onist!) terutamanya mereka yang menyertai acara Cyberfusion buat pertama kali. Beliau berharap acara seperti ini dapat membantu mengembangkan lagi komuniti gaming di Malaysia dan boleh diadakan di mana-mana tempat di dalam dan luar negara.

Dato Latt Shariman berjumpa dengan peserta-peserta Cyberfusionist.

Justeru, Dato Latt pun mempelawa seorang special guest Solomon Freeman yang sedang mengendalikan acara serentak, Cyberfusion Japan 2016! Secara teleconferencing di skrin besar, Solomon menyambut para peserta Malaysia dari ruang LAN party di Jepun, dan kebanyakkan peserta Jepun memang sudah bersedia nak mulakan party! Mereka berbalas pada kamera Solomon dengan bersenyum sikit (aiks, jangan malu-malu!).

Solomon juga menyenaraikan negara-negara asal kumpulan peserta yang sangat majmuk; Amerika Syarikat, Itali, Afrika Selatan, Korea Selatan, China, Jerman dan lain-lain. Wow, nasib baik kita semua fasih bahasa gaming! Dengan adanya Cyberfusion 2016 dan Cyberfusion Japan 2016, memang ia menunjukkan kita sebagai gamers, kita semua dikaitkan tidak kira di mana jua.

Dato Latt Shariman Abdullah merasmikan pembukaan Cyberfusion 2016 dengan satu selfie dengan seramai para Cyberfusionist semungkin!

Setelah akhirnya perasmian acara, Quekie dan Typherionn ditampilkan semula untuk memulakan aktiviti ice-breaking. Setiap peserta disusun dalam beberapa kumpulan berasingan mengikut kerusi tempat ruang gaming. Ini menggalakkan pergaulan antara gamers di luar platform atau clan masing-masing. Bila aktiviti dimulakan, memang boleh nampak semangat kompetitif! Tidak kira jika clanmate atau rakan baik ada dalam group sama atau dalam group pihak lawan, gamers nak menang semua!

Selain dari itu ada juga acara gift-toss untuk semua gamers dan satu mainan bagaikan dating sim. Gelagat spontan gamers yang cuba beraksi tanpn skrip amat mencuit hati peserta-peserta yang menyaksi mereka.

No skrip, no problem! Janji dapat menang hadiah-! err, hati princess.

Saya pula mengambil masa free-and-easy ini untuk bergaul dengan rakan-rakan lama dari Cyberfusion tahun lepas. Wan AB, Razgriz Ryuzaki, aYUSmi dan Kei-end yang sudah lama tidak berjumpa. Bun Virus dan Arse-onist yang hampir-hampir tidak sempat mendapat tempat slot juga selamat sampai ke Cyberfusion 2016. Kami dan geng media JomGaming (Badd, Sarah, Adam Soya, Tobeng, Ali) adalah antara gamers konsol PS4.

Acara Cyberfusion 2016 boleh berbual dan berkongsi alat-alat gaming! Nih Sarah mencuba main PS4 dengan Xim4, keyboard, dan mouse!
Game on! Suasana LAN party selepas majlis perasmian.

Saya sangat berhasrat untuk dapat mulakan game konsol terbaru, Final Fantasy XV. Bahkan sudah bersedia dengan buku panduan strategy guide FFXV (jangan kecam saya ya, saya memang seorang penulis technical help guide!). Apa lagi memang game inilah yang paling hot sekarang! Tidak sampai habis malam pertama buku guide saya terus lenyap sebab ramai nak meminjam. Meh, bolehlah! Memang syok melihat rakan gamers akhirnya dapat jumpa jalan penyelesaian dalam game.

Yaaaay, bean bags! Bila ngantuk memang best boleh terjun sebelum tidur.

A LAN party never sleeps tapi maaf, otak dan mata saya memang dah bersedia nak pengsan lepas pukul 2 pagi, terutamanya bila dah berjam-jam main Destiny. Cyberview telah menyediakan tempat tidur di tingkat 4, tetapi kebanyakkan gamers lebih selesa “berkatil” di kerusi sendiri, di bawah meja, ataupun sekitar ruang supaya dekat dengan gaming rig mereka.

Cyberfusion 2016 – Hari Kedua

Bangun di pagi hari dengan matahari cerah tetapi air-cond terasa amat sejuk, seolah-olah satu bangunan Cyberview dah menjadi peti ais. Tidak hairanlah dengan begitu banyak alat peranti elektronik dan gaming rig, custom ataupun branded, yang patut dijaga tahap suhu cooling sepenuh masa. Nasib baik ada banyak stesen water cooler dengan air panas. Tip untuk tahun depan; bawak bekal botol thermos!

Boleh rasa bawah tapak kaki lantai sedang bergema dengan bunyi gamers berdengkur.

Cyberfusion bukan sahaja memberi peluang untuk gamers berdepan muka dengan geng sesama dari seluruh negara, tetapi boleh juga berjumpa dengan komuniti gamers dari semua lapisan platform dan genre.

Antaranya adalah acara Simulator Tournament, satu pertandingan perlumbaan sim oleh Simulator Dot Asia. Mereka telah membawa beberapa platform racing yang canggih, lengkap dengan skrin besar, stereng, dan pedal. Pertandingan ini berlangsung sepanjang acara Cyberfusion, dan gamers yang telah buktikan mereka adalah juara racing akan mendapat hadiah istimewa dari DXRacer dan Corsair.

Speed racer? Need for speed? Kalau korang ingat korang racecar driver yang hebat, buktikan!

Selain dari game sim perlumbaan, kumpulan MBT – Malaysian Battlefield Team telah menyusun beberapa mini-games untuk dimenangi dengan hadiah-hadiah yang menarik dari Cooler Master Malaysia.

Acara waktu pagi adalah mini-game High Noon. Ia berdasarkan dalam antara game yang paling laris di 2016, Overwatch! Mini-game ini berkonsepkan tema shoot-out antara dua karekter koboi, setiap satu dimainkan oleh seorang gamer. Ia melibatkan keupayaan refleks yang sangat pantas. Gamer yang berjaya masih hidup dalam semua pusingan adalah pemenang!

Jom bro, kitorang main 1v1 Overwatch! Banyak dah nak masuk!

Lepas makan tengah hari (nasi putih, ayam goreng, sayur jeruk dan air kotak teh limau) mulalah acara Indie Mayhem. MBT menyediakan satu indie game Western Press, juga bertema dua koboi lawan antara satu sama lain tetapi ada sikit perubahan.

Setiap pusingan ada dua pasangan gamers. Seorang akan bertarung sambil memakai kain penutup mata. Seorang lagi yang duduk sebelahan akan memerhati skrin besar dan beritahu butang mana harus ditekan mengikut turutan. Pasangan yang mana lagi cepat dan berkoordinasi tepat, merekalah dapat!

Dalam sesi Indie Mayhem, komunikasi itu penting! Rakan yang selalu bagi arahan mesti dah biasa buat, ahahahaaa!

Bukan sekadar pertandingan individu atau berpasangan sahaja yang disediakan. MBT membuka satu friendly match 6v6 dalam game Overwatch! Siapalah yang giat main multiplayer di PC tetapi tidak kenal Overwatch?  Dengan itu, pasukan KBC & Friends, The Broskis, Lucro Gaming, dan Potato Gaming terus menyahut cabaran MBT! Team JomGaming, Sarah pun dapat peluang menjadi shoutcaster, fuyoh gempak!

Di sebalik LAN party yang berjalan dengan begitu lancar, malangnya tertimbul pula isu Internet pada malam ke-2 Cyberfusion. Isu ini menyekat log masuk ke dalam server PlayStation Network, justeru gamers PS4 tidak dapat bermain mana-mana game online multiplayer. Rocket League, Destiny, Overwatch, Titanfall 2, banyak game kami bawak untuk LAN party terjejas. Nasib baik masih ada Final Fantasy!

Cik Johanna menyanyikan sebuah lagi masa pertandingan Cyberfusion Idol di malam ke-2.

Cyberfusion 2016 – Hari Ketiga

Seperti semalam, cuaca pagi di Cyberjaya amat cerah. Oleh kerana isu sekatan Internet masih ada, Team JomGaming mengambil kesempatan untuk bersarapan di McDonalds. Kebanyakkan dari kami pernah bekerja atau menetap di sekitar kawasan Cyberjaya di masa lalu jadi kami mengambil masa lapang ini untuk berehat.

Sebab Internet diorang tergendala, #CYBF2016 bagi Domino’s pizza untuk geng PS4. Yaaay pizza party!

Sumber gambar: Instagram @razgriz_07

Hari ini adalah hari terakhir tetapi ada lagi satu mini-game Game Beasts yang menjemput gamers untuk memenangi lebih banyak hadiah. Game ini adalah satu game beat ‘em up multiplayer yang seolah-olah bagai game lawak bergusti dan dimainkan dengan 4 orang. Sasarannya adalah menjaga tempat dalam kawasan dan menolak semua pihak lawan keluar terus. Para gamers yang menonton bergelak ketawa telatah gamers yang cuba dengan gigih untuk menolak, menendang, menarik (mengigit pun boleh!) antara satu sama lain.

Party game! Tolak pihak lawan keluar tempat kawasan. Siapa yang tinggal adalah pemenang!

Walaupun kita banyak berseronok, masa tetap berlalu dan penghujung acara Cyberfusion 2016 akhirnya tiba juga. Sikit demi sikit, perserta-peserta Cyberfusionist mula mengemas alat-alat peranti mereka. Ada yang menjaga barangan gaming rig sambil mengemas meja-meja LAN party. Ahli staf Cyberfusion juga sedang menyusun hadiah-hadiah pertandingan racing sim, mini-games, dan lucky draw ke ruang hadapan.

Kumpulan Corsair Builders menampilkan gaming rigs mereka. Bernyala-nyala lagi, fuuuuyoh!

Sumber gambar: Corsair Malaysia

MBT – Malaysian Battefield Team menyusun bermacam-macam aktiviti menarik di Cyberfusion 2016!
YouTubers Nerd Gaming Malaysia! PandaMerah (Shamin), Mr.Putera (Qamarul), Safwangba (Safwan), & Mizblurrity (Khadijah).

Majlis penutup dibuka dengan hadirnya pengacara majlis. Malangnya, Prince-Lagi-Hensem-dan-Charming tidak dapat hadir, tetapi dapat menghantar seorang wakil pengganti walaupun tidak seberapa hensem. Rinie Ramli mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli penaja dan pihak berkaitan. Beliau juga bersorak besar untuk semua gamers yang sudi hadir dan menjayakan acara terbesar dalam komuniti gaming di Malaysia.

Selepas hadiah-hadiah acara telah diberikan kepada pemenang-pemenang Cyberfusion, akhirnya majlis ditutup dengan lengkap. Ramai pasukan gamers dan clanmates mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama, bertukar kad kerja, dan berancang untuk menganjurkan acara sendiri di masa hadapan. Semasa saya keluar dari tempat parikir Cyberview, saya pun melihat sebaris deretan kereta di tepi jalan, satu konvoi menunggu untuk bergerak sama-sama sebelum balik rumah.

Gambar terakhir! Team JomGaming dengan Rinie Ramli (ESM) @ Cyberfusion 2016!

Pada tahun lepas, saya menyertai Cyberfusion 2015 dengan perasaan risau dan keluar dengan pengalaman yang sangat membuka mata saya terhadap gamers dan perkembangan gaming di Malaysia.

Tahun ini, saya dapat memerhati betapa eratnya perhubungan antara gamers, tidak kira apabila baru berjumpa untuk sesi ice-breaking ataupun setelah bekerjasama lebih 10 tahun. Kita gamers, dan sudah ada dalam naluri kita adalah cara bekerjasama, kompetitif, dan berkongsi pengalaman suka duka.

Klik Sini Untuk Album Gambar JomGaming Di Cyberfusion 2016

Terima kasih Cyberfusion 2016! Tolong buka lagi banyak slot untuk tahun 2017 ya!

Written by Liza Langkasuka

Gadis ini amat meminati game RPG dan FPS. Beliau juga bersemangat untuk mencapai tahap tertinggi di dalam game Destiny, Division, Rainbow Six: Siege dan terbaru Overwatch.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Battlefield 1: Saksikan Teaser Pertama Untuk DLC “They Shall Not Pass”

Surf World Series: Macam Game Tony Hawk’s, Tapi Di Atas Ombak!