Salah satu berita tergempat minggu ini pastinya ialah tentang Counter Strike: Global Offensive (CSGO) yang kini boleh dimainkan secara percuma oleh semua pemain, atau dalam kata lain telah ditukar kepada sebuah game “free-to-play”.

Dan semestinya, penukaran ini telah mendapat reaksi yang sangat negatif daripada para pemain yang telah lama membeli game ini sebelum ini. Memetik laporan PC Gamer, sebanyak 14,327 reviu negatif telah diletak di laman CSGO di Steam pada tarikh 7 Disember sahaja. Kemudian, lebih daripada 4,000 reviu negatif lagi telah ditambah pada hari ini.

Kebanyakan pemain sangat kecewa bagaimana sebuah game yang mereka telah belanjakan seberapa banyak wang mereka, kini boleh dimainkan secara percuma sahaja oleh pemain yang tidak pernah menyokong game ini sebelum ini. Ada juga yang merasakan amat tidak gembira kerana ganjaran yang diberikan kepada para pemain yang telah membeli game ini sebelum ia menjadi percuma — iaitu hanya Loyalty Badge dan status akaun yang dinaiktaraf menjadi Prime.

Malah, ada yang melontarkan kerisauan tentang bagaimana sebuah game yang boleh dimainkan secara percuma boleh dibanjiri dengan para pemain yang menipu (cheaters) dan penggodam (hackers).

Di samping itu, ada juga yang mahukan wang mereka dikembalikan (refund) kerana kecewa dengan game ini sudah menjadi “free-to-play”.

Kebanyakan reviu negatif ini datang daripada para pemain Prime sedia ada. Untuk mendapatkan status Prime ini bukannya mudah sebelum ini. Pemain perlu memberikan nombor telefon yang sah dan telah bermain dalam jumlah masa yang banyak untuk mencapai Rank 21. Kini, semua pemain boleh membelinya serta terus dinaiktaraf dan terus boleh diletakkan dalam matchmaking Prime.

Di sebalik reviu negatif ini, banyak juga reviu positif yang diterima — pastinya ramai daripada mereka yang memuat-turun game ini buat kali pertama. 7,000 reviu positif diterima di Steam dan mencapai kemuncak pemain serentak dalam satu-satu masa paling ramai untuk tahun ini.

Apa pula pendapat korang? Adakah penukaran ke “free-to-play” untuk CSGO ini adalah satu tindakan yang bijak ataupun sebaliknya? Mengapa?

JomKomen!