Sony Interactive Entertainment telah memfailkan satu paten terbaharu yang mungkin kita tidak pernah terfikir sebelum ini, kemungkinan besar untuk digunakan kepada DualShock 5, controller untuk konsol generasi akan datang, PlayStation 5.
Paten ini menjelaskan tentang satu aksesori baru yang boleh dilekatkan ke DualShock, yang mana ia akan mengesan maklum balas bio (biofeedback) atau biometrik semasa pemain seperti kadar denyutan jantung atau peluh.
Aksesori ini dikatakan akan mempunyai sekurang-kurangnya satu sensor di controller yang mana ia akan sentiasa tersentuh dengan tangan pemain, seterusnya boleh mngumpulkan maklum balas bio kepada pemain.
Walaupun tidak menerangkan lebih lanjut, paten ini menyatakan apabila maklum balas bio telah dikumpul, PS5 akan melaraskan sesuatu bagi menyesuaikan pengalaman gaming pemain. Apa dan bagaimana pengalaman gaming itu dilaraskan tidak dijelaskan.
Menurut IGN, maklum balas bio bukanlah sesuatu yang asing dalam eksperimen yang digunakan dalam dunia gaming. Kebiasaannya, pembangun game menggunakan maklum balas bio untuk mencari titik paling seram dalam sesebuah game bergenre horror. Melalui kadar denyutan jantung dan peluh, mereka boleh mengesan pada babak mana pemain paling merasa takut.
Paten ini tidak menyatakan secara spesifik bahawa ia adalah untuk DualShock 5. Kemungkinan besar ia juga merupakan satu aksesori yang boleh digunakan untuk DualShock 4 kerana dalam satu butiran dalam paten ini ada menyatakan:
“ada keperluan untuk menyediakan periferal kos rendah” yang boleh “menyediakan peningkatan fungsi untuk pelbagai aplikasi yang lebih luas”.
Setakat ini, Sony masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi tentang paten ini.
PlayStation 5 akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
Comments
Loading…