Menjelang beberapa bulan sebelum pelancaran PlayStation 5, Sony akhirnya telah memperlihatkan controller untuk konsol generasi akan datang itu.
Sony telah mendedahkan reka bentuk controller terbaharu mereka itu di PlayStation Blog berserta beberapa butiran yang belum pernah didedahkan sebelum ini. Di bawah ialah apa yang korang perlu tahu.
DualSense
Pertama sekali, apa yang korang perlu tahu ialah nama serba baharu yang diberikan kepada controller ini. Sejak menggunakan nama ‘DualShock’ sejak azali, Sony bakal membawakan satu nafas baharu. Controller PS5 akan dikenali sebagai ‘DualSense’.
Sony mengatakan bahawa DualSense akan menawan rasa apabila pemain berinteraksi dengan dunia maya dalam game-game PS5. Fungsi-fungsi yang ada untuk DualSense, bersama-sama dengan Tempest 3D AudioTech, akan memberikan satu perasaan keasyikan baharu kepada pemain.
Warna
Melihat gambar pertama DualSense, perkara pertama yang terus menangkap mata ialah warnanya. Sony mengumumkan bahawa bertitik tolak dari sini, mereka akan menampilkan dua tona warna kepada DualSense. Seperti yang kita dapat lihat, warna yang ditampilkan ialah hitam dan putih.
Ramai menjangka selepas pelancaran nanti, mereka akan memperkenalkan lebih banyak pilihan warna, yang mana ia akan sentiasa menggunakan dua tona warna. Mungkin, hijau-kuning, merah biru, atau putih-jingga?
Reka Bentuk
Selain itu, reka bentuk DualSense menampakkan kelainan jika dibandingkan dengan DualShock 4. Sony menyebutkan sekali lagi tentang teknologi ‘haptic feedback’ dan ‘adaptive triggers’ yang pernah mereka dedahkan sebelum ini.
Disebabkan teknologi yang canggih ini, mereka mengalami kesukaran untuk mengekalkan reka bentuk luaran yang sama seperti dulu kerana pelbagai komponen baharu perlu dimasukkan ke bahagian dalaman controller. Maka sebab itu, pemegang DualSense kelihatan sedikit tirus berbanding controller sebelum ini — dalam masa sama Sony tidak akan mengorbankan keselesaan para pemain semasa memegang dan bermain.
Light Bar
Satu lagi kelainan dari bentuk fizikal ialah kedudukan lampu atau light bar. Untuk DualShock 4, ia diletakkan di bahagian atas, manakala untuk DualSense ia diletakkan di bahagian sisi kiri dan kanan touchpad — secara langsung lebih memudahkan pemain untuk melihat warna apakah yang bernyala.
Bateri
Melalui pendedahan baharu ini, Sony lebih berhati-hati dalam menjanjikan sesuatu. Kalau kita baca dengan teliti, kenyataan tersebut tidak menyatakan yang bateri akan bertahan lebih lama berbanding controller sebelum ini, sebaliknya mereka menyatakan akan mengekalkan (maintain) ketahanan bateri yang kuat.
Berat
Sony juga tidak menyatakan sama ada DualSense akan lebih berat atau lebih ringan daripada DualShock 4, tetapi apa yang mereka katakan ialah mereka akan cuba mengurangkan berat semampunya walaupun bermacam fungsi baharu yang ditambah.
Mikrofon
Salah satu fungsi yang mendapat permintaan tinggi oleh pemain sebelum ini ialah kehadiran mikrofon di controller, dan akhirnya Sony memakbulkannya. Ya, DualSense akan dihadirkan sekali mikrofon terbina untuk para pemain agar berupaya berkomunikasi dengan segera bersama rakan-rakan.
Walau bagaimanapun, Sony mengingatkan bahawa lebih baik untuk menggunakan headset sekiranya ingin berkomunikasi dalam jangka waktu yang panjang.
Butang Create
Tiada lagi butang ‘Share’ di DualSense, sebaliknya ia akan mendapat nama baharu iaitu butang ‘Create’. Kata Sony, sama seperti Share, butang Create ini sekali lagi akan merintis sesuatu yang baharu untuk mencipta kandungan gameplay epik, dan mereka akan berkongsikan lanjut tentang fungsi ini pada waktu ia semakin hampir ke pelancaran.
Masih Ikut Jadual
Di akhir blog tersebut, ia turut menyelitkan kata-kata daripada Presiden dan CEO Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan. Beliau mendedahkan bahawa reka bentuk konsol pula akan didedahkan dalam masa beberapa bulan akan datang, dan waktu pelancarannya masih dijadualkan pada penghujung tahun 2020.
Jadi, apa pendapat korang setakat ini untuk DualSense? Teruja?
Comments
Loading…