Fortnite sememangnya antara game paling popular di dunia pada masakini. Kerisauan yang timbul daripada populariti sesebuah video sudah selalu kita dengar, antaranya seperti ia bakal mengganggu pelajaran kanak-kanak atau remaja yang bermain game itu terlalu lama. 

Terbaru, satu lagi kerisauan telah muncul, dan kali ini datang daripada bekas bos EA Sports yang kini merupakan CEO Liverpool Football Club, Peter Moore.

JomBaca: Peter Moore Akan Meninggalkan EA Untuk Menjadi CEO Liverpool FC

Beliau pada masa sekarang agak risau dengan generasi muda yang lebih gemar bermain video game berbanding menonton perlawanan bola sepak, dan satu game yang beliau sebutkan ialah Fortnite.

Bercakap kepada Arabian Business (via SportsPro), Moore, 64, mengatakan remaja sekarang tidak senang untuk duduk dan menonton perlawanan bola sepak penuh selama 90 minit, dan memetik tontonan dan kehadiran yang dicatatkan di stadium oleh golongan millennial lelaki khususnya agak membimbangkan.

Dalam kata lain, pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool nampaknya bukan sahaja bertarung dengan kelab-kelab lain di atas padang, malah turut bertarung dengan Fortnite. Eh?

“Kalau kita tidak bina kehandalan teknologi sebagai sebuah kelab, kita akan kehilangan mereka,” kata Moore. “Sekarang terdapat terlalu banyak tekanan terhadap masa dan hanya ada 24 jam dalam sehari… terlalu banyak masa dihabiskan untuk bermain Fortnite.”

Moore menambah lagi bahawa kelab-kelab bola sepak sekarang perlu memikirkan apakah teknologi yang boleh digunakan bagi menarik lebih ramai golongan millennial untuk menonton perlawanan bola sepak secara penuh selama 90 minit.

Komen JomGaming: Sebagai seorang yang menghabiskan bertahun-tahun dalam industri gaming, Moore mengeluarkan kenyataan sebegini agak mengejutkan kepada penulis. Bermain video game dan menonton perlawanan bola sepak mempunyai kepuasannya yang berbeza, dan penulis sendiri masih lagi boleh membahagikan masa untuk kedua-dua aktiviti ini dengan baik. #YNWA #ThisIsOurYear

JomKomen!