Sejak beberapa tahun yang lepas, kita disajikan dengan bermacam game battle royale umpama cendawan tumbuh selepas hujan — sama ada ia datang dari IP baharu atau game sedia ada yang mengadaptasi mode battle royale.
Bagi penulis secara peribadi, hanya ada sebilangan sahaja game battle royale yang benar-benar berjaya — antaranya PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), Fortnite dan Apex Legends. Apakah persamaan ketiga-tiga game ini yang membuatkan ianya berjaya?
Ketiga-tiga game ini berkongsi formula yang sama, iaitu disebalik ‘meniru’ battle royale yang pernah wujud sebelumnya, ia telah memperkenalkan sesuatu yang baharu. Ianya bukan semata-mata baharu, tetapi yang paling penting ia berguna, sesuai dan tepat untuk diperkenalkan ke dalam genre battle royale.
PUBG telah menjadi perintis kepada fenomena battle royale, memperkemas satu mod yang pernah dicipta dalam H1Z1. Kemudian, Fortnite hadir memberi saingan sebenar kepada PUBG, memperkenalkan bermacam benda baharu yang membuatkan para pemain melekat seperti battle pass, cabaran-cabaran harian (daily challenges), kosmetik yang menarik dan banyak lagi.
Seterusnya, awal tahun lalu, kita dikejutkan dengan pelancaran Apex Legends yang bukan sahaja dibangunkan secara senyap tanpa pengetahuan umum, malah merevolusikan genre battle royale dengan bermacam mekanisme baharu dalam game seperti sistem respawn, sistem ping yang bijak, dan pengalaman bermain keseluruhan yang jauh lebih bagus.
Mula Bosan
Sejujurnya, setelah menghabiskan banyak waktu bermain pelbagai game battle royale, penulis rasakan yang genre ini sudah sampai ke tahap yang tiada apa yang boleh dilakukan untuk menarik perhatian penulis untuk memainkannya lagi. Satu game akan ambil satu mekanisme baharu yang diperkenalkan game lain, dan ia akan diulang-ulang dengan citarasa masing-masing.
Penulis mula bosan dengan genre battle royale. Tapi ia berubah pada kali ini.
CoD Bangkit
Minggu lalu, kita dihidangkan pula dengan Call of Duty: Warzone. Pengenalan mode battle royale dalam francais CoD tidaklah mengejutkan kerana tahun sudah, kita mempunyai Blackout. Namun, apa yang mengejutkan ialah ianya percuma untuk dimainkan semua pemain (free-to-play).
Walau bagaimanapun, free-to-play sahaja belum cukup, Warzone harus hadir di tengah-tengah lambakan game battle royale dengan sesuatu yang baharu — formula yang penulis sebutkan tadi — untuk masuk ke dalam senarai PUBG, Fortnite dan Apex Legends sebagai game battle royale yang berjaya. Dan apa yang mengejutkan, Warzone telah terus menjadi sebuah game battle royale yang bagus, dengan menggunakan formula ini: memperkenalkan sesuatu yang baharu, berguna dan sesuai dalam persekitaran battle royale.
Mudah Faham
Secara ringkas, Warzone membawakan satu gameplay yang lebih ringkas jika dibandingkan dengan game-game batte royale yang popular lain. Ia menggabungkan elemen asas CoD dengan sedikit twist untuk disesuaikan ke dalam battle royale.
Misalnya, tiada pengubahsuaian senjata (attachment seperti scope, surpressor, dll) dalam game battle royale itu sendiri kerana semua customization ini dibuat di menu sebelum masuk ke dalam battle royale, makanya, apabila masuk ke dalam gelanggang battle royale, semuanya sudah preset.
Senang cerita, pemain tidak perlu terlalu memikirkan tentang attachment senjata apabila berada dalam battle royale. Turun dari kapal, ambil senjata dan terus memulakan aksi menembak.
Sambung di Gulag
Kemudian, kita diperkenalkan dengan sistem ‘double elimination’ yang berlaku apabila seseorang pemain itu tewas. Apabila pemain mati, kita akan dicampakkan ke dalam satu arena baharu untuk bertarung 1v1 di arena Gulag dengan pemain lain yang turut mati. Kedua-dua pemain ini (1v1) akan diberikan satu sahaja senjata yang sama, dan pemain yang menang akan kembali semula ke dalam arena battle royale, menyertai semula skuad yang sedang menanti untuk meneruskan perjuangan.
Namun, sekiranya pemain kalah 1v1 di Gulag ini, pemain akan masih berpeluang untuk hidup kembali (respawn), tetapi perlu tunggu kebijaksanaan rakan dalam skuad untuk mengumpul duit dan mencari Buy Station untuk menghidupkan semula pemain yang mati itu.
Ini salah satu elemen CoD yang diterapkan ke dalam battle royale. Di sebalik menggunakan mekanisme ambil ‘kad’ pemain yang mati kemudian cari tempat respawn, seperti dalam Apex Legends dan Fortnite, Warzone membawakan sedikit kelainan. Pemain perlu mengumpul duit (boleh dicari melalui loot, curi dari pihak lawan atau membuat Contract) dan hidupkan semula pemain itu di Buy Station.
Contract
Warzone juga telah memperkenalkan satu mekanisme baharu untuk menggalakkan para pemain untuk tidak camping dan sentiasa bergerak. Warzone mempunyai Contract yang mana ianya seperti objektif-objektif mini untuk menghabiskan masa pemain di dalam map yang luas sementara menunggu bulatan semakin mengecil. Terdapat tiga jenis Contract, iaitu Secure, Scavenger dan Bounty.
Untuk Secure, ambil Contract itu di satu tempat, dan pemain akan ditugaskan untuk secure satu kawasan seperti dalam mode Domination. Untuk Scavenger, pemain akan ditugaskan untuk membuka tiga kotak berbeza lokasi yang mana lokasi setiap kotak itu akan diketahui hanya selepas membuka kotak sebelumnya.
Kemudian, ada juga Bounty dalam Contract ini yang mana penulis rasakan ianya adalah satu misi dalam battle royale yang bijak. Apabila pemain mengambil Bounty Contract, ia akan menyuruh skuad tersebut untuk menjejak dan membunuh salah satu skuad berdekatan (yang kita tidak tahu pun yang musuh itu sebenarnya ada berdekatan). Objektif ini akan membuatkan dua skuad (sekurang-kurangnya, kalau tiada skuad ketiga atau keempat ‘menyibuk’) bertembung antara satu sama lain, membuatkan gameplay akan sentiasa beraksi.
Semua jenis Contract ini, apabila berjaya diselesaikan, sejumlah duit akan dihadiahkan, dan duit ini akan boleh digunakan di Buy Station untuk membeli Armor, Gas Mask, Airstrike, dan lain-lain serta menghidupkan semula rakan yang telah mati.
Plunder
Dalam kebanyakan game battle royale, pasti akan ada beberapa mode spin-off yang diperkenalkan, sama mode itu kekal dalam game atau dalam waktu terhad.
Dalam Warzone, selain Battle Royale, Activision menampilkan satu lagi mode, iaitu Plunder. Penulis berani katakan bahawa Plunder merupakan mode spin-off dalam dunia battle royale yang paling seronok pernah penulis dan rakan-rakan mainkan.
Plunder tetap membawakan game ke dalam map yang sama, pemain maksimum seramai 150 orang. Namun, apa yang membezakannya ialah bagaimana objektif dimainkan untuk menjadi pemenang.
Plunder tidak mempunyai bulatan yang semakin mengecil — keseluruhan map boleh diakses dari mula sampai tamat pusingan. Apabila mati, pemain akan respawn tanpa had. Pemain akan turun dari kapal dengan loadout senjata dan gajet yang sudah lengkap. Apa yang perlu kita buat setibanya di tanah ialah untuk mengumpulkan sebanyak duit yang boleh kerana skuad yang mencecah jumlah $1 juta terlebih dulu akan dinobat juara.
Apa yang membuatkan mode ini menarik ialah bagaimana strategi skuad untuk mengumpul dan menyelamatkan duit yang mereka ada. Pada setiap pusingan, akan ada beberapa lokasi untuk mendepositkan duit yang berada dalam poket kita untuk dipindahkan ke helikopter. Selagi kita belum depositkan duit kita, selagi itu duit itu akan boleh dicuri oleh skuad lawan.
Permainan bertambah tegang (dan lucu) apabila ada yang sengaja menunggu di lokasi-lokasi pemindahan helikopter untuk mencuri duit itu sebelum sempat musuh mendepositkan duit mereka. Ia satu mode yang amat menghiburkan apabila curi-mencuri antara satu skuad dengan skuad lain berlaku. Apabila skuad kita tumpas dan duit dicuri, kita akan berusaha sedaya upaya (sambil perasan geram menyelubungi) untuk mendapatkan kembali duit kita itu tadi.
Pertempuran bertambah lebih huru-hara apabila lebih daripada satu skuad berperang di satu kawasan yang sama — skuad A curi skuad B, skuad B curi skuad C, skuad C curi skuad A.
Skuad 3-Pemain
Satu sahaja yang penulis kurang gemar dengan Warzone, iaitu satu skuad yang terdiri daripada 3 pemain sahaja.
Sebagai battle royale yang meletakkan 150 pemain dalam satu-satu pusingan, Warzone tidak perlu sebenarnya mengikut langkah skuad 3-pemain Apex Legends yang hanya menampilkan 60 pemain dalam satu-satu pusingan.
Bagi penulis, skuad yang ideal untuk Warzone ialah yang terdiri daripada 4 pemain. Mapnya luas, pemain keseluruhannya ramai, dan suasana serta persekitarannya amat sesuai untuk sesebuah skuad dimainkan dengan 4 orang pemain.
Menambat Hati
Sejak azali penulis mengenali dunia gaming, francais Call of Duty tidak pernah ada tempat dalam hati penulis. Penulis tiada masalah dengan Call of Duty, cumanya ia tidak kena dengan citarasa penulis. Francais Battlefield berada di takhta nombor satu. Sentiasa.
Disebabkan Battlefield V yang membuatkan penulis kecewa dalam beberapa aspek, ditambah pula dengan kehadiran Warzone yang menghiburkan ini, kekosongan hati ini telah diisi. Sukar untuk penulis sendiri percaya, tetapi Warzone telah membuatkan penulis duduk melekat dan bermain sebuah francais Call of Duty selama berjam tanpa ada sekelumit rasa bosan.
+ Gameplay lebih ringkas
+ Gabungan elemen CoD dengan battle royale
+ Pertarungan 1v1 di Gulag
+ Sistem Contract yang bijak
+ Game mode tambahan – Plunder
– 3 pemain sahaja dalam satu skuad
Comments
Loading…