in , , ,

Call Of Duty: Vanguard: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Activision sepertinya tidak serik dalam melancarkan siri game Call Of Duty mereka setiap tahun. Sejak Call of Duty 2 yang dilancarkan pada tahun 2005, setiap tahun siri Call of Duty tidak pernah gagal untuk dilancarkan.

Kali ini mereka kembali dengan siri game mereka yang terbaharu, Call of Duty: Vanguard yang dibangunkan oleh Sledgehammer Games. Dengan mengambil tema pertempuran Perang Dunia Ke-2, Activision mengambil langkah yang boleh dikatakan kebelakang apabila cuba mengetengahkan game yang bertemakan historic war berbanding meneruskan ke arah peperangan moden.

Namun penulis berpendapat ianya bukanlah satu isu yang akan menjejaskan sambutan game ini oleh sebab siri Call of Duty mempunyai peminatnya yang tersendiri dan jika kita lihat ketika ini juga salah satu siri game mereka, Call of Duty: Modern Warfare dan Warzone masih lagi game yang popular dimainkan sehingga kini walaupun sudah dua tahun pelancarannya.

Apa yang membezakan Call of Duty: Vanguard dengan siri COD yang sebelum ini? Mari kita terus ke review.

Campaign yang kurang berkembang

Macam biasalah, jika kita berbicara mengenai Perang Dunia Ke-2 sudah tentu ianya akan melibatkan dua pihak, negara-negara bersekutu dan negara-negara kuasa paksi.

Dalam mode Campaign Call of Duty: Vanguard ini pula bercerita mengenai satu pasukan khas yang terdiri daripada empat individu dari negara-negara bersekutu yang berbeza melawan pihak Nazi. Pasukan ini diketuai oleh Sergeant Arthur Kingsley (Britain), Lieutenant Polina Petrova (Russia), Private Lucas Riggs (Australia) dan Lieutenant Wade Jackson (USA).

Secara ringkas misi mereka adalah untuk menghalang pihak Nazi yang diketuai oleh Hermann Freisinger daripada melaksanakan satu pelan rahsia yang bernama Project Phoenix. Apa yang menarik adalah anda tidak akan secara menerus melakukan misi tersebut, sebaliknya anda akan dibawa untuk menyelami setiap watak dengan melaksanakan misi mereka sebelum mereka diserapkan ke dalam pasukan khas Vanguard.

Mode campaign ini sangat memfokuskan imbas kembali hampir untuk keseluruhan penceritaan. Ini kerana setiap watak mempunyai satu pengalaman yang heroic ketika melaksanakan misi mereka pada masa tersebut dan dengan oleh sebab itu mereka terpilih untuk menerajui pasukan Vanguard.

Setiap karakter juga mempunyai kebolehan tersendiri bagi membantu anda melaksanakan misi dengan lebih lancar. Sebagai contoh, Polina Petrova mempunyai kebolehan bergerak secara pantas dalam keadaan yang sempit. Beliau juga mampu bergerak licik dan senyap yang sangat membantu dalam membuat serangan hendap.

Sergeant Arthur Kingsley mempunyai prospek sebagai seorang pemimpin dan berkebolehan untuk memberikan arahan. Private Lucas Riggs pula mempunyai kekuatan dalam mengedalikan bahan letupan manakala Lieutenant Wade Jackson pakar dalam peperangan di atas udara.

Walaupun mode Campaign ini dihujani dengan prospek karakter yang menarik, tetapi ianya tidak dikembangkan dengan begitu baik. Kelebihan-kelebihan karakter ini tidak begitu signifikan dan memberi kesan dalam gameplay di Campaign mode. Dari segi perjalanan cerita juga seperti kekurangan dari segi perkembangan cerita, mungkin kerana terlalu fokus elemen imbas kembali, ianya sedikit sebanyak membuat penceritaan tidak terlalu berkembang.

Mode Multiplayer menjadi nadi utama

Secara jujurnya, kekuatan utama game Call of Duty: Vanguard ini ialah pada mode Multiplayer. Bahkan bukan siri ini sahaja, malah siri Call of Duty sebelum ini juga lebih memfokuskan kepada mode Multiplayer.

Untuk makluman juga, Call of Duty Vanguard menggunakan game engine yang sama seperti siri Call of Duty: Modern Warfare yang dilancarkan pada tahun 2019. Kita dapat lihat kemeriahan dan kejayaan Modern Warfare pada mode Multiplayer-nya sehingga ini, dengan menggunakan game engine yang sama ianya juga diharapkan dapat memberikan pengalaman bermain yang sama seperti Modern Warfare.

Dengan rentak permainan yang agak pantas dan taktikal, dari segi gameplay Call of Duty: Vanguard boleh diberikan kepujian.

Selain itu, untuk memberikan pengalaman bermain yang berbeza dan realisitk berbanding Modern Warfare sebelum ini, pembangun juga memanfaatkan persekitaran map dengan menambah environmental damage ke dalam game. Persekitaran yang rapuh dapat memberi manfaat dan kekurangan kepada pemain seperti menyorok di belakang longgokan kotak kayu yang tentu sahaja dapat ditembusi peluru-peluru yang laju.

Mode-mode multiplayer sedia ada sebelum ini juga hadir di dalam siri ini dengan tambahan dua mode baru iaitu Patrol dan Champion Hill.

Mode Patrol merupakan mode yang mirip kepada Hardpoint yang memfokuskan kepada capture dan hold objective manakala Champion Hill pula merupakan mode baru di mana lapan skuad duo atau trio bertarung dalam perlawanan team deatmatch berpasukan round-robin merentas empat peta.

Apa yang menarik mengenai mode ini ialah ianya menggabungkan sedikit element dari deathmatch, battle royale dan gunfight di mana anda bersama skuad anda perlu bertarung berhadapan beberapa skuad lain untuk mengumpul dan mempertahankan bilangan nyawa anda. Pasukan yang mempunyai bilangan nyawa terbanyak di hujung permainan akan bergelar Champion Hill. Tambahan, setiap pusingan juga anda perlu membelanjakan wang yang anda terima untuk membeli senjata atau naik taraf peralatan peperangan anda.

Mode seperti ini bagi pendapat penulis mempunyai potensi besar untuk dimainkan di kejohanan esports kerana ianya satu mode yang serba lengkap jika dibuat satu kejohanan. Tambahan pula ianya satu mode yang boleh dikatakan baharu dalam Call of Duty dan lari dari kebiasaan mode seperti Battle Royale dan Team Deathmatch.

Bagi memudahkan pemain untuk memilih filter jenis mode yang mereka mahu mainkan, Sledgehammer Games telah meletakkan fungsi baharu yang dinamakan combat pacing di mana anda sebagai pemain boleh memilih antara tiga jenis combat pacing yang disediakan seperti Tactical, Assault dan Blitz.

Jika anda seorang pemain yang lebih fokus kepada permainan yang perlahan dan lebih taktikal, anda boleh memilih combat pacing Tactical di mana secara asasnya segala matchmaking map yang anda akan bermain merupakan map yang mempunyai bilangan pemain yang rendah seperti 6v6 map.

Namun jika anda lebih suka map berskala besar dan bilangan pemain yang ramai, anda boleh memilih combat pacing Blitz di mana bilangan pemain yang ramai sudah tentu menjadikan persekitaran pertempuran akan lebih pantas dan huru-hara.

Tak COD lah kalau tiada Zombie

Siri Call of Duty memang tidak asing lagi dengan mode Zombie mereka yang mempunyai kelebihan tersendiri. Setiap mode Zombie juga tidak pernah lari dari penceritaan asal siri tersebut, ianya akan cuba untuk dihubungkait supaya relevan kepada para pemain.

Jika anda sudah bosan dengan mode Multiplayer dan Campaign yang agak cliche’, maka mode Zombie ini sangat bersesuaian dengan mood anda sekarang.

Mode ini juga hadir dengan fungsi co-op di mana anda boleh bermain secara skuad bersama rakan baik atau jiran tetangga anda yang mungkin juga peminat Zombi Kampung Pisang arahan Allahyarham Mamat Khalid. Bersama-sama dengan mereka untuk menyelesaikan objektif dan membunuh zombie-zombie binasa nazi ini demi kemaslahatan umat manusia sejagat.

Mode Zombie ini juga membantu memberikan satu pengalaman yang santai bersama rakan anda dalam melaksanakan misi, bertentangan dengan mode Multiplayer yang lebih kompetitif dan seringkali membuatkan anda bersama rakan anda bertekak sesama sendiri dan mental koyak di malam hari. Kalau sudah berkahwin mungkin ada bini yang dapat tenangkan, bayangkan anda masih bujang dan duduk bersendirian maka carilah pasangan secepat mungkin.

Agak lari dari topik tapi tidak mengapa kerana penulis kurang idea untuk menambah aksara.

BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Call of Duty: Vanguard, apa lagi yang penulis boleh katakan. Ianya sudah menjadi kemestian untuk siri ini hadir dengan formula yang sama setiap tahun.

Secara jujur mode Campaign hanya seperti cukup untuk memenuhi syarat sahaja. Tidak kira betapa menariknya penceritaan mengenai misi dan pasukan khas Vanguard, ianya tetap membosankan untuk ditamatkan. Mungkin inilah risiko apabila melancarkan game yang sama setiap tahun.

Walaupun mode Campaign yang agak suram, Call of Duty: Vanguard masih boleh dipuji dengan mode Multiplayer dan Zombie. Seperti yang penulis katakan sebelum ini, kedua mode ini merupakan nadi utama pada setiap siri Call of Duty.

Walaupun hampir semua content Multiplayer sama seperti siri-siri sebelumnya, namun pengalaman bermain Multiplayer pada Call Of Duty: Vanguard tetap fresh dan menyeronokkan. Mode baharu seperti Champion Hill sedikit sebanyak menambah perisa kepada mode Multiplayer yang sedia-ada bagus.

Jadi boleh beli atau boleh blah? Jika anda seorang yang meminati siri FPS serta sering bermain mode Multiplayer, maka game ini boleh beli untuk anda. Namun jika anda bukanlah peminat game yang sedemikian, maka game ini boleh blah untuk anda.

Verdict yang agak cliche tapi inilah realitinya.

+ Mode multiplayer yang pelbagai dan menarik
+ Naik taraf weapon yang beraneka
+ Ada zombie

– Penceritaan karakter di mode Campaign yang tidak begitu dikembangkan.
– Vibe yang masih sama seperti siri Call of Duty sebelumnya.

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Sekuel PUBG Mobile, PUBG: New State Kini Dilancarkan Sepenuhnya Untuk Android, iOS

Sony Dilaporkan Mengurangkan Produksi PS5 Disebabkan Terus Kekurangan Komponen