Untuk menggambarkan game yang berjudul Butcher ini mudah sahaja. Bayangkan game shooter terkenal, Doom dan Quake, tapi ditukarkan menjadi sebuah game shooter-platformer-sidescroller 2D dengan grafik ala era 1990-an.
Di sebalik mengetengahkan genre platformer 2D, ia tetap menyajikan sebuah gameplay yang cukup pantas, ganas, serta banyak dengan percikan darah merata-rata dalam dunia penuh kegelapan.
Apakah Butcher berbaloi untuk dibeli? Jom kita ikuti ulasan ini.
Game Santai, Tapi Perah Otak Juga
Butcher tidak menyediakan sebarang jalan cerita atau apa-apa backstory. Masuk sahaja ke dalam game ini, kita akan terus dicampakkan ke dalam dunia merah darah yang sungguh gelap. Oleh itu, pemain tidak akan berasa keberatan untuk menghadam sebarang jalan cerita, dan boleh memainkannya secara santai-santai.
Walau bagaimanapun, itu tidaklah membuatkan penulis main terlalu relaks atau tidak menghentak-hentakkan controller. Kejadian-kejadian ini sememangnya berlaku ketika bermain Butcher.
Kata-kata makian akan terkeluar tanpa diduga kerana game ini tidak menyediakan sebarang checkpoint pada setiap level. Makna kata, dalam setiap level yang dimainkan, kita perlu habiskannya tanpa kematian langsung kerana sekiranya gagal walau sejauh mana sudah kita berjaya lepasi, kita akan mengulangi level tersebut dari mula.
Lebih memeritkan apabila semakin jauh perjalanan game ini, semakin panjang tiap-tiap level itu. Semakin panjang sesuatu level itu, makin sakit dan pedihlah apabila kita mati dan terpaksa ulang semula dari awal.
Penulis dapati pembangun bijak dalam mereka setiap level itu. Setiap level akan diletakkan dengan beberapa halangan yang apabila kita memainkannya buat kali pertama, sudah tentu kita tidak akan mampu meramalkan jenis halangan itu. Dalam kata lain, semestinya kita tidak akan dapat habiskan sesuatu level dengan hanya sekali jalan kerana ada beberapa halangan yang mengejutkan. Pastinya akan ada sekurang-kurangnya 2 atau kali jalan, barulah kita dapat mengagak halangan dan merencana gerakan untuk melepasinya.
Ketiadaan checkpoint dalam game ini sememangnya boleh membuatkan kita marah, tetapi itulah yang membuatkan kita tertarik untuk menyambung lagi dan lagi, seterusnya mahu beat the game.
Mekanisme Yang Menarik
Gameplay yang disajikan melalui mekanisme menembak dalam game ini juga agak menarik. Walaupun amat ringkas — iaitu hanya ada kawalan bergerak, menembak, membidik dan melompat — ia menampilkan gameplay yang memuaskan untuk sebuah game berskala platformer 2D.
Ditambah pula dengan skrin-skrin yang bergegar-gegar ketika aksi tegang, letupan-letupan besar dan darah yang merecik-recik — ia sebenarnya membawakan visual yang menarik bagi sebuah game dengan grafik retro. Malah, runut bunyinya juga bagus kerana terasa seperti dalam dunia Doom.
Seperti yang penulis katakan tadi, Butcher ialah satu game yang cukup ganas. Pemain bukan setakat boleh menembak musuh sehingga berkecai, malah boleh juga tikam dengan senjata tajam, tendang ke dalam kawah berapi serta campakkan mereka ke dalam mulut piranha.
Sedikit Cacamarba

Di sebalik mekanisme yang menarik, ada juga beberapa situasi di mana kita mati dan itu sebenarnya bukanlah salah kita, tetapi salah pergerakan yang terdapat dalam game itu sendiri yang agak mengelirukan.
Mekanisme yang membolehkan karakter kita turun ke tingkat bawah dengan hanya menolak stick ke bawah sebenarnya agak menjengkelkan. Di sesetengah bahagian, ia memudahkan, namun di saat-saat genting apabila dikepung musuh kiri dan kanan, pemain perlu bergerak pantas dan kadang-kala apabila tersalah turun tingkat, kita boleh jatuh mati ke kawah berapi seterusnya terpaksa bermula dari awal level.
Butcher sepatutnya mempunyai butang-butang tambahan seperti satu lagi butang berlainan untuk menurunkan karakter ke tingkat bawah, maka tidaklah akan tersilap apabila hendak berlari terus sahaja.
Selain itu, penulis juga kurang gemar game ini hanya membenarkan satu senjata api sahaja boleh digunakan pada satu-satu masa. Butcher menyajikan beberapa senjata api seperti shotgun dan assault rifle yang boleh dikutip, namun hanya satu senjata sahaja yang boleh dipegang pada satu masa.
Ia pastinya akan memberikan gameplay yang lebih menghiburkan sekiranya pemain boleh membawa dua senjata pada satu masa dan bertukar-tukar senjata ketika sedang dalam aksi mendebarkan.
Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Butcher sememangnya sebuah game yang boleh dikatakan amat sukar. Malah, dari permulaan game lagi skrin telah memaparkan dan memberi amaran: “the easiest mode is Hard“. Bagi korang yang gemar mencabar diri dengan kesukaran yang tinggi, serta dahagakan darah (dalam game) dalam aksi platformer 2D yang ganas, Butcher ialah game yang BOLEH BELI.
Butcher telahpun dilancarkan di PC (2016), PS4, Xbox One dan Switch (2017). Pada 2017, Butcher hanya dilancarkan di PS4 untuk rantau Eropah dan Amerika, dan baru sahaja hari ini, ia dilancarkan secara digital ke PlayStation Store Asia Tenggara.
Namun, kalau korang seseorang yang tidak suka dengan grafik ala era 1990-an serta inginkan game yang jauh lebih santai tanpa perlu terlalu fokus ketika bermain, game ini mungkin BOLEH BLAH untuk korang.
+ Kelihatan ganas walaupun platformer
+ Tidak berat kerana tiada jalan cerita
+ Aksi yang tegang dan sukar
+ Gameplay ringkas, menghiburkan
+ Rekaan level yang bagus
– Perlu lebih banyak butang tambahan
– Hanya satu senjata dalam satu masa
Comments
Loading…