Metronomik telah hadir ke persidangan Level Up KL 2019 semalam untuk berkongsi beberapa info baru tentang game pertama yang sedang dibangunkan mereka, iaitu No Straight Roads.

Menurut Aksiz, Metronomik telah mendedahkan bahawa No Straight Roads akan mempunyai budaya Malaysia yang dimasukkan ke dalamnya. Maklumat lanjut tentang penampilan budaya Malaysia ini akan mereka kongsikan lagi dalam acara kemuncak Level Up KL 2019 yang bakal berlangsung pada November ini.

No Straight Roads akan diterbitkan oleh Sold Out, sebuah syarikat penerbitan dari United Kingdom. Kata pengarahnya Wan Hazmer, game ini akan menyajikan kandungan gameplay antara 8 hingga 10 jam dan ianya akan dijual sekitar USD39.99 (~RM168) buat pasaran global. Lebih menarik, bagi pasaran Malaysia, Wan Hazmer mengesahkan yang No Straight Roads bakal dijual dengan harga mampu milik.

Bila umum boleh mencuba game ini? Disebabkan game ini telah ditunda pelancarannya ke tahun hadapan, versi demo No Straight Roads juga akan dikeluarkan kepada umum pada tahun hadapan. Kedua-dua tarikh pelancaran penuh serta keluarnya versi demo masih lagi belum diumumkan Metronomik.

Menurut Wan Hazmer lagi, keseluruhan suara latar yang dilakonkan dalam game ini dilakonkan oleh pelakon Malaysia dengan bahasa Inggeris menggunakan gaya Malaysia. Gaya ini sekaligus membuatkan game ini sangat unik dan mendapat sambutan yang sangat baik dari pemain di luar negara.

No Straight Roads akan dilancarkan ke PC dan PS4. Menurut Danial dari Gamer Matters, game ini akan dilancarkan secara eksklusif di Epic Games Store untuk platform PC, bukan lagi ke Steam seperti yang dinyatakan sebelum ini.

JomKomen!