Tahun lalu, ketidakhadiran Sony Interactive Entertainment melalui jenamanya PlayStation ke E3 2019 merupakan antara berita tergempar dalam industri gaming sepanjang tahun 2019.
Terkini, Sony sekali lagi tidak akan hadir ke konvensyen gaming terbesar dunia itu, menjadikan mereka tidak akan hadir ke acara itu untuk dua tahun berturut-turut.
Bercakap kepada GamesIndustry.biz, Sony mengatakan:
“Kami mempunyai penghormatan yang tinggi kepada ESA [penganjur E3] sebagai sebuah organisasi, tapi kami tidak merasakan visi E3 2020 adalah tempat yang tepat untuk apa yang kami akan fokuskan dalam tahun ini.”
Sony mendedahkan lagi bahawa di sebalik menghadirkan diri ke E3, mereka akan memfokuskan kepada lebih ratusan acara sendiri yang lebih dekat kepada para peminat di seluruh dunia. Fokus mereka adalah untuk memastikan para peminat rasa sebahagian daripada sebuah keluarga PlayStation dan memiliki akses untuk bermain kandungan kegemaran mereka.
E3 2020 tahun ini akan diadakan pada 9 hingga 11 Jun di Los Angeles Convention Center, Amerika Syarikat.
Memandangkan PlayStation 5 telah disahkan akan dilancarkan pada hujung tahun 2020, dan tiada apa lagi butiran penuh yang didedahkan oleh Sony, pastinya mereka sedang merancang satu acara besar-besaran mereka sendiri. Sama ada ia akan diadakan sebelum atau selepas E3 2020, pastinya acara tersebut akan menarik sejumlah peminat yang cukup besar.
Sama-sama kita nantikan pengumuman seterusnya daripada Sony.
Comments
Loading…