Brawlout merupakan sebuah game fighting yang dibangunkan oleh Angry Mob Games.

Game ini pertama kalinya dilancarkan di platform Nintendo Switch pada 19 Disember 2017. Kemudian, pada 21 Ogos 2018, ia telah dilancarkan ke platform PC, PS4 dan Xbox One.

Kami telahpun mencuba Brawlout di PS4. Kalau korang nak tahu game ini Boleh Beli or Boleh Blah!?, korang kena baca reviu ini sampai habis!

Game Ini Macam Mana?

Kalau korang tanyakan “game Brawlout ini macam game apa?”, pastinya jawapan yang paling mudah ialah game ini mempunyai aura yang sama seperti siri Super Smash Bros. Ataupun kalau korang pernah bermain game percuma Brawlhalla, ia juga boleh dibandingkan.

Ia adalah sebuah game fighting yang boleh dimainkan antara 2 hingga 4 pemain, dalam persekitaran yang mempunyai pelbagai platform yang berbeza bagi setiap arena. Game ini menawarkan 24 karakter yang boleh dimainkan, termasuklah beberapa karakter dari Hyper Light Drifter, Guacamelee!, Yooka-Laylee dan Dead Cells.

Game Yang Mudah

Brawlout menyajikan sebuah gameplay yang sangat mudah untuk difahami. Setiap karakter hanya memiliki normal attack dan special attack. Membezakan antara satu attack dengan attack yang lain adalah dengan arah yang ditekankan semasa melakukan attack — iaitu sama ada atas, bawah, belakang ataupun depan.

Selain attack ini, butang-butang yang perlu korang mahirkan ialah gerakan melompat dan mengelak (dodge). Itu sahaja butang-butang asas yang perlu korang masukkan ke dalam kepala.

Jika pergi lebih mendalam sedikit tentang mechanics game ini, korang perlu memahirkan setiap karakter yang ada, yang mana setiap karakter mempunyai abiliti yang berbeza. Korang perlu tahu apakah kekuatan karakter ini, sama ada kental dan berat atau licik dan ringan.

Kemudian korang perlu mengetahui jarak serangan (damage range) yang dimiliki oleh setiap karakter kerana dalam mana-mana game fighting sekalipun, damage range ini adalah sangat penting untuk diketahui.

Objektif dalam game ini sangat senang, iaitu hanya perlu mengeluarkan pihak lawan daripada gelanggang. Tiada nyawa ditolak setiap kali berjaya melakukan serangan, tetapi pemain akan mempunyai meter yang lebih tinggi peratusannya, lebih mudah pemain itu akan ditendang keluar daripada gelanggang.

Dipendekkan cerita, game ini memang sebuah game yang ringkas, dengan mechanics yang sangat mudah untuk difahami.

Game Mode Yang Ada

Walaupun Brawlout merupakan game yang berharga USD20 (~RM82), penulis merasakan yang mereka harus menambah lebih banyak game mode.

Untuk single-player, ia mempunyai Arcade. Kemudian untuk multiplayer, ia mempunyai Team (2v2, 3v1) dan Free For All, yang boleh dimainkan secara online ataupun couch multiplayer (local). Itu sahaja mode yang ditawarkan dalam game, dan penulis rasakan ia terlalu sedikit.

Kita ambil contoh Brawlhalla sebagai perbandingan. Brawlhalla merupakan game percuma, tetapi ia boleh menawarkan beberapa lagi game mode lain yang bukan sahaja fokus kepada fighting sahaja, tetapi ada juga mode lain — seperti perlawanan seakan-akan ragbi dan bola keranjang.

Penulis faham bahawa Brawlout merupakan game fighting dan penambahan game mode lain mungkin tidak perlu bagi sesetengah pemain. Tetapi bagi penulis, apa salahnya? Ia boleh memberikan pilihan yang lebih kepada pemain.

Grafik Dan Rekaan Karakter

Brawlout menampilkan satu art direction, rekaan karakter dan grafik yang bagi penulis agak menarik. Setiap karakter mempunyai rekaan yang unik dan mampu menarik perhatian pelbagai lapisan umur.

Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Brawlout menyajikan pertempuran 1v1 yang lebih bersifat peribadi antara dua pemain. Ia sememangnya satu gameplay yang menghiburkan. Namun, selepas bermain lebih daripada 10 game, penulis merasakan yang game ini sudah mula bosan. Tiada tarikan yang membuatkan penulis untuk bermain dengan lebih lama.

Sekiranya korang inginkan game fighting yang mudah untuk difahami, grafik yang menarik, Brawlout adalah game BOLEH BELI untuk korang.

Namun, kalau korang mahukan game yang mempunyai keseronokan yang berpanjangan dengan mode-mode yang pelbagai, game ini adalah BOLEH BLAH untuk korang.

+ Pertempuran yang menghiburkan
+ Gameplay mudah difahami
+ Grafik dan rekaan karakter yang menarik
+ Ada couch multiplayer (local)

Tiada tarikan untuk kekal bermain lama
Kekurangan game mode

JomKomen!