Apabila bercakap tentang konsol gaming, tidak boleh tidak kita menyebutkan tiga jenama paling besar, iaitu PlayStation, Nintendo dan Xbox.

Saban tahun, Sony dan Microsoft menjadi seteru utama dalam membawakan konsol yang terbaik untuk para pemain. Perseteruan bertambah hangat pada tahun ini apabila masing-masing sedang bersedia untuk melancarkan PlayStation 5 dan Xbox Series X.

Tapi untuk konsol generasi akan datang itu, bos Xbox ada pandangan yang agak berlainan. Bercakap kepada Protocol, Phil Spencer beranggapan bahawa Sony dan Nintendo bukan lagi pesaing utama Microsoft, sebaliknya kini perhatian lebih tertumpu kepada Amazon dan Google.

Spencer berkeyakinan sebegitu kerana kedua-dua syarikat Jepun itu, Sony dan Nintendo, tidak memiliki infrastruktur awanan global berprestasi tinggi (top-end global cloud infrastructure) seperti yang dimiliki oleh Microsoft menerusi platform Azure. Salah satu fungsi utama yang dipromosikan untuk Xbox Series X ialah integrasi dengan teknologi xCloud mereka, yang mana ia akan membenarkan satu-satu game yang sama dimainkan di konsol, PC atau peranti mobile.

“Apabila berbicara tentang Nintendo dan Sony, kami mempunyai hormat yang tinggi kepada mereka, tapi kami melihat Amazon dan Google sebagai pesaing utama untuk bergerak ke depan,” kata Spencer. “Bukanlah untuk merendahkan Nintendo dan Sony, tapi syarikat gaming tradisional seolah-olah telah lari daripada posisinya. Saya rasakan mereka boleh cuba untuk mencipta semula Azure, tapi kami telah melaburkan berpuluh billion dolar untuk cloud sejak beberapa tahun ini.”

Spencer menegaskan Microsoft bersedia untuk bekerjasama dengan Nintendo dan Sony dalam inisiatif seperti membenarkan gamer daripada sistem berbeza untuk main dan berlawan bersama. Beliau menambah:

“Saya tak mahu berada dalam pertarungan terhadap perang format dengan mereka [Nintendo dan Sony] sementara Amazon dan Google sedang fokus terhadap bagaimana untuk memberikan gaming kepada 7 billion orang di seluruh dunia. Keseluruhannya, itulah matlamatnya.”

Dalam kata lain, nampaknya beliau lebih memandang Google Stadia sebagai pesaing utama kepada Xbox Series X berbanding PS5.

Apa pula pandangan korang? Setuju dengan keyakinan Phil Spencer ini?

PlayStation 5 dan Xbox Series X akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, namun tiada tarikh pelancaran diumumkan setakat ini.

JomKomen!