Elden Ring dan game-game yang dibangunkan Naughty Dog seperti siri Uncharted dan The Last of Us mempunyai cara penceritaan yang cukup berbeza.
Game-game Naughty senantiasa menampilkan penyampaian cerita yang penuh sinematik, manakala Elden Ring pula, yang memenangi begitu banyak anugerah pada tahun 2022, membawakan penceritaan melalui pembinaan dunia di sekeliling yang lebih halus.
Namun, kita mungkin akan melihat pada masa akan datang di mana Naughty Dog akan mula menggunakan pendekatan yang sama dengan Elden Ring. Mungkin.
Dalam satu temuramah bersama The Washington Post, Presiden-Bersama Naughty Dog, Neil Druckmann telah menyatakan minatnya terhadap penceritaan dalam Elden Ring.
“Baru-baru ini saya lebih tertarik dengan perkara seperti Elden Ring dan Inside yang tidak bergantung terlalu banyak dengan naratif tradisional untuk menyampaikan ceritanya,” kata Druckmann.
“Sesetengah penceritaan terbaik dalam The Last of us ada dalam sinematik, tapi lebih banyak dalam gameplay, dan ketika bergerak dalam ruangannya, dan memahami sejarah ruang dengan hanya memandang dan menyelidiknya.”
“Bagi saya, ketika ini, itu adalah hiburan terbaik yang saya dapat dari game-game yang mempercayai pemain untuk memahaminya sendiri. Game-game yang tidak mengikat anda, itu apa yang saya tertarik untuk lakukan pada masa akan datang.”
“Bukanlah bermakna kita takkan buat dialog, atau cutscene, saya fikir itu adalah peralatan dalam di dalam kotak peralatan… Dan saya rasa ada satu cara untuk menggerakkan perkara itu ke hadapan, sekurang-kurangnya jenis-jenis game yang kami bikin di Naughty Dog. Saya amat tertarik, sekali lagi, jangan terlalu berhati-hati dan mencuba sesuatu yang sedikit baharu, sedikit berbeza, yang tak semua orang akan suka, tapi itu okey. Dan benda-benda yang kami sedang usahakan sekarang, saya boleh katakan pasukan kami sangat teruja dengan pelbagai projek yang kami ada di Naughty Dog.”
Apakah Naughty Dog benar-benar akan lari daripada penceritaan sinematik dan beralih ke arah penceritaan seumpama Elden Ring? Hanya masa yang akan menentukan.
Comments
Loading…