Bercakap ketika DICE Summit 2020, CEO dan pengasas Epic Games, Tim Sweeney telah menyentuh tentang satu isu ini yang sedang melanda industri gaming sejak beberapa tahun belakangan ini, iaitu loot box.
Sweeney mahu industri ini meninggalkan penjualan loot box kepada para pemain dan menyatakan bahawa pengguna berhak untuk mengetahui apakah item yang mereke beli.
“Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui apa yang mereka sedang beli dan kita harus melaraskan produk kita untuk melakukan itu,” kata Sweeney. “Sesetengah orang merasa sungguh kecewa [apabila mereka melihat loot box dalam game]. Mereka mahu membeli sesuatu itu, jadi mereka membelanjakan sebanyak yang mahu untuk membeli loot box bagi mendapatkannya dan mereka tidak dapat. Mereka pun bertambah kecewa, dan membangkitkan satu hubungan yang sangat tidak sihat dengan game yang mereka belanja secara berlebihan dan akhirnya terus hampa. Kamu tahu, saya fikir, kita harus bertanyakan kepada diri sendiri sebagai industri, apa yang kita mahu jadi apabila kita dewasa?”
Di acara itu, beliau turut berkongsikan tentang pengambilalihan Epic Games terhadap Psyonix, pembangun yang membangunkan Rocket League. Beliau menceritakan bagaimana pada asalnya Rocket League mengamalkan loot box, namun setelah dibeli oleh Epic Games, mereka menukar model tersebut. Kini, katanya, para pemain semakin bertambah gembira dengan model pembelian item yang diamalkan dalam Rocket League.
“Adakah kita mahu jadi seperti ini?” tegas Sweeney. “Adakah kita mahu jadi seperti Las Vegas [pusat judi], atau kita mahu jadi dikenali di seluruh dunia sebagai pencipta produk hiburan dihormati yang pengguna boleh percayai?”
Bagi yang tidak tahu, loot box adalah sistem di mana pemain membeli sesuatu kotak dalam game itu dengan wang sebenar, kemudian kotak itu akan memberikan item dalam game secara rawak. Senang kata, melalui wang yang kita belanja itu, kita tidak tahu apa yang kita beli. Ramai pun sudah menyifatkan model ini sebagai satu bentuk perjudian.
Comments
Loading…