Satu lagi kehilangan besar untuk siri Pro Evolution Soccer (PES).

Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tentang perlesenan yang ada dalam siri PES pada ketika ini. Selepas UEFA tidak mahu lagi menyambung kerjasama, kini Konami kehilangan satu lagi lesen dari kelab yang terkemuka.

Konami telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman web mereka, mengumumkan yang Borussia Dortmund secara mengejutnya telah menamatkan kontrak antara kedua-dua pihak itu sebelum tempoh kontrak yang ditetapkan. Perjanjian tersebut sepatutnya tamat pada Jun 2020.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan:

“Konami dan Borussia Dortmund telah mempunyai perjanjian secara terhormat untuk menggunakan logo, pemain, stadium dan lain-lain fungsi kepunyaan Borussia Dortmund dalam produk Konami sehingga Jun 2020. Walau bagaimanapun, perjanjian ini telah ditamatkan oleh Borussia Dortmund sebelum seperti yang dijanjikan. Konami tidak akan memasukkan logo, pemain, stadium dan lain-lain fungsi kepunyaan Borussia Dortmund dalam Pro Evolution Soccer 2019.”

Kata Konami lagi, Borussia Dortmund telah dimasukkan dalam beberapa promosi PES 2019 sebelum ini, tapi kelab yang popular dengan warna hitam kuning itu tidak akan dimasukkan ke dalam game nanti.

Mengakhiri kenyataan tersebut, Konami menyatakan yang mereka akan memastikan siri PES akan terus menyediakan cara lain untuk menikmati bola sepak melalui kerjasama dengan pelbagai kelab dan liga.

Apa yang menarik dan menjadi persoalan adalah Konami tidak mendedahkan sebab mengapa Borussia Dortmund melakukan sedemikian. Adakah kelab ini bakal menjadi fokus utama dalam FIFA 19 kelak?

Perang perlesenan antara PES dan FIFA tahun ini sememangnya semakin lama semakin panas. Apatah lagi apabila banyak khabar angin tentang lesen UEFA Champions League kuat mengatakan akan pergi ke EA Sports.

Dalam PES 2018, Borussia Dortmund menjadi antara fokus utama dalam promosi, selain FC Barcelona dan Liverpool FC. Ketiadaan kelab dari Jerman ini pasti sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada Konami dalam mempromosikan PES 2019.

PES 2019 akan dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One pada 30 Ogos ini. Manakala, FIFA 19 masih belum diumumkan secara rasmi oleh EA Sports.

JomBaca: PES 2019 Umumkan Sembilan Liga Berlesen Yang Akan Dibawakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.