Saya tidak pernah gemar game first-person shooter (FPS) sehinggalah saya bermain Tales from the Borderlands. Apa pula kena mengena game berbentuk episodik dengan Borderlands 3 pula?

Saya baru menyedari Tales from the Borderlands adalah adaptasi untuk siri Borderlands iaitu game campuran FPS dan RPG. Oleh sebab saya tertarik dengan kisah Tales from the Borderlands, saya mula bermain sumber asal iaitu Borderlands 1 yang dikeluarkan pada 2009.

Daripada seorang yang anti kepada game FPS, saya jatuh cinta dengan siri ini kerana permainan tembak-menembak rancak, boleh bermain bersama rakan-rakan dalam mode co-op dan paling seronok sekali adalah lawak yang dipengaruhi oleh budaya pop (easter egg) serta perasaan gembira yang tidak digambarkan apabila menjumpai senjata legendary berwarna oren emas. Fuh, berdesup.

Jadi, adakah Borderlands 3 mengekalkan lawak tak kering gusi sambil menembak tanpa henti? Jom baca Borderlands 3: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Moze, Zane, FL4K dan Amara

BORDERLANDS 3 NI PASAL APA?

Borderlands 3 merupakan game terbaru daripada Gearbox Software yang menyambung kisah Borderlands 2 setelah menyepi selama 7 tahun. Untuk mengisi lompong masa yang sangat panjang, Gearbox sempat mengeluarkan satu downloadable content (DLC) khas berjudul Commander Lilith and The Fight For Sanctuary untuk Borderlands 2 bagi memberi sedikit pendedahan tentang apa telah terjadi dengan Crimson Raiders dan Pandora beberapa bulan sebelum pelancaran Borderlands 3.

Kali ini, pengembaraan Borderlands 3 akan jatuh ke tangan empat Vault Hunter baru dalam misi untuk memburu harta karun alien Vault tetapi harus berdepan dengan penjahat baru, sepasang kembar, Troy dan Tyreen Calypso. Dapatkah Borderlands 3 menjadi antara game Borderlands terbaik? Jom baca review penuh kami!

APA YANG SERONOK TENTANG BORDERLANDS 3?

Anda boleh memilih untuk bermain antara empat Vault Hunter dengan kebolehan mereka tersendiri. Mereka ialah FL4K, seorang Beastmaster yang mampu mengawal haiwan yang pernah muncul dalam siri Borderlands seperti Skag dan Spiderant serta haiwan terbaru, Jabber iaitu seekor monyet berekor panjang. Anda juga boleh main sebagai Moze, bekas askar Gunner yang mengendalikan robot Iron Bear ala D.va dalam Overwatch.

Selain dua Vault Hunter berkenaan, Zane ialah seorang Operative yang boleh hasilkan klon sendiri untuk serang hendap atau menembak tepat manakala Amara ialah Siren sama seperti Lilith dan Maya wujud dalam Borderlands 3 iaitu mampu memanipulasikan pelbagai kuasa elemen seperti membeku, membakar, menghakis, merenjat elektrik dan radiasi iaitu elemen terbaru dalam game ini yang menjangkiti musuh dan sebarkan kepada musuh lain dengan cara meletup.

Dalam Borderlands 3, saya bermain sebagai FL4K iaitu merupakan karakter padu untuk main secara solo kerana haiwan peliharaan anda akan membantu menyerang malah menghidupkan kita kembali sekiranya rebah dalam pertempuran. Kalau main FL4K dalam parti, haiwan anda boleh dijadikan sebagai satu pertahanan dan mengganggu musuh sekaligus mengelakkan nyawa pemain terjejas.

  • BERJALAN-JALAN MELIHAT ALAM SEMESTA
Berjalan-jalan melihat alam.

Buat pertama kali dalam sejarah Borderlands, anda berkesempatan untuk mengembara keluar dari planet padang jarak padang tekukur, Pandora dan menjelajahi planet-planet unik di seluruh galaksi. Gearbox menyegarkan lagi francais looter shooter ini dengan pengembaraan ke planet dengan keunikan tersendiri seakan Mass Effect dan Destiny.

Anda melawat planet dipenuhi dengan hidupan saurian, spesis seakan dinosaur yang tinggal di planet alam rimba, Eden-6. Selain itu, anda juga pergi ke Athena iaitu tempat tinggal sami-sami Siren hidup di biara-biara sebalik kawasan gunung-ganang. Kemudian, anda akan mendarat di Promethea iaitu sebuah bandar pesat yang mana menjadi pusat syarikat Atlas yang telah kembali menempa nama sebagai pembuat senjata utama setelah diambil alih oleh Rhys, protagonis utama Tales from the Borderlands.

  • GRAFIK CEL-SHADED YANG MEMUKAU
Ada sesiapa dapat bayangan organ dalam Beauty and the Beast?

Gaya animasi cel-shaded menjadi satu tarikan utama yang yang membezakan Borderlands antara game FPS lain. Walaupun stail ini tampak ringkas, Borderlands 3 memberikan fokus teliti terhadap bahan visual di sekeliling pemain dengan grafiti, mural, tampalan poster dan patung gergasi yang menyampaikan mesej tersendiri dalam persekitaran.

Raut wajah karakter, spesis aneh dan rekaan robot dalam dunia Borderlands turut diperincikan. Malahan, anda boleh memeriksa setiap komponen senjata dari muncung sehingga picu dilengkapi dengan penjelasan kekuatan senjata semasa membuka inventori.

  • PEMANDUAN GAYA MUTU KEUNGGULAN
Vroom vroom.

Siri Borderlands 3 tidak lengkap tanpa kenderaan untuk menuju ke misi destinasi. Untuk Borderlands 3, sebuah kenderaan diperkenalkan iaitu sebuah Cyclone yang mengikut gaya motorsikal seakan filem Akira.

Selain Cyclone, kini anda boleh mengubahsuai komponen kereta seperti turet, perisai dan roda dengan menggunakan alat-alat kereta yang telah terkumpul melalui cara rompakan kereta orang jahat dan pulangkan ke tempat parkir Catch-A-Ride ataupun dapat komponen melalui menyelesaikan misi utama. Sambil itu, anda boleh menukar penampilan kenderaan dari segi rekaan dan warna mengikut gaya mutu keunggulan anda tersendiri.

  • LOOT FIESTA
Mod co-op secara offline untuk konsol akan membahagikan skrin.

Borderlands 3 memperkenalkan permainan mode co-op yang rancak dengan dua mode berbeza iaitu cooperation dan coopetition. Cooperation ini sesuai untuk pemain pelbagai level berbeza untuk main bersama-sama kerana loot akan dibahagikan mengikut level setiap pemain dalam parti anda dan musuh akan disesuaikan menurut level pemain. Coopetition pula adalah permainan klasik Borderlands iaitu tiada pembahagian loot mengikut level dan musuh bergantung kepada level pemain yang jadi ketua parti.

Anda akan sentiasa dihujani senjata, perisai dan bom pelbagai jenis warna dari putih ke emas kekuningan terutamanya selepas mengalahkan bos-bos besar sepanjang Borderlands 3. Terdapat 9 jenis pengeluar senjata dalam game ini seperti Hyperion, Maliwan, Tediore, Torgue, Atlas, Vladof, Jakobs, Dahl dan paling terbaru, Children of Vault yang masing-masing mempunyai ciri tersendiri. Sebagai contoh, jika anda menggunakan Tediore, senjata mereka akan mengeluarkan satu lagi senapang dan pistol kecil atau bom melantun-lantun yang mengejar musuh (bergantung kepada jenis senjata) selepas anda reload senjata. Memang kelakar dan comel melihat senjata cilik untuk main kejar-kejar dengan musuh.

Senjata Children of Vault (COV) adalah edisi terbaru dalam Borderlands 3 iaitu mengambil nama kumpulan ikutan kembar Calypso. Apa yang menarik tentang senjata mereka adalah ia tidak memerlukan peluru tetapi ia akan jadi panas jika anda menggunakannya terlalu kerap dan berpotensi untuk rosak serta mengambil masa lama untuk reload.

Inilah SMG diinspirasikan oleh Flamethrower buatan Elon Musk.

Seperti biasa, kebanyakan easter egg Borderlands 3 juga diselitkan dengan pelbagai senjata seperti Flamethrower Elon Musk, assault rifle pek proton Ghostbusters, SMG Stranger Things, senjata yang memuntahkan senjata (!!) dan banyak lagi. Dalam paling banyak senjata di atas, saya sangat suka menggunakan pistol/assault rifle Jakobs kerana tembakan laju dan pantas untuk reload serta assault rifle/SMG Maliwan kerana serangan pelbagai elemen efektif mengikut ciri musuh seperti musuh Bandit/Fanatic senang dijilat api, musuh ada perisai boleh dilunturkan menggunakan serangan shock (elektrik) dan sebagainya.

APA YANG TAK MENARIK TENTANG BORDERLANDS 3?

Grafiti Troy dan Tyreen Calypso di tempat berkumpul pengikut COV.

Saya memohon minta maaf kepada mereka yang masih belum bermain Borderlands dan Borderlands 2 kerana saya akan beritahu SPOILER gergasi yang terjadi dalam Borderlands 2 selepas ayat ini.

  • CERITA LINTANG PUKANG
Tolong jangan cukur misai Rhys.

Selepas kematian Handsome Jack iaitu penjahat dalam Borderlands 2, Gearbox mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengisi lopong yang ditinggalkan oleh seorang antagonis paling berkarisma dalam sejarah video game. Sebagai seseorang yang mengikuti rapat jalan cerita siri Borderlands, saya mendapati cerita yang disajikan dalam Borderlands 3 ini sangat menghampakan.

Kehadiran Troy dan Tyreen Calypso tidak berupaya untuk meningkatkan kualiti cerita Borderlands 3 malah mereka berdua adalah karakter paling menjengkelkan dalam sejarah Borderlands. Kembar Calypso ini menggunakan saluran penyiaran langsung untuk menarik perhatian pengikut fanatik atau dengan bahasa mudah, mereka berdua menjadi streamer atau YouTuber yang mementaskan pembunuhan kejam yang disebarkan ke seluruh galaksi.

Tanpa aral melintang, cerita Borderlands 3 tiba-tiba sahaja begitu taksub dengan kelas Siren. Selain Lilith, Maya dan Vault Hunter sendiri, Amara, terdapat banyak karakter utama Borderlands 3 jadi Siren seperti kembar Calypso dan paling tak sangka sekali, Tannis. Karakter kegemaran ramai peminat seperti Tiny Tina (bukan Tiny lagi), Mordecai dan Brick kembali dalam game ini tetapi tidak dapat mengalahkan kehadiran karakter paling dibenci dalam sejarah Borderlands bernama Ava atas sebab-sebab tertentu. Hish, geram.

  • LAWAK BODOH TAK BERTEMPAT
Uhh…

Borderlands 3 juga hilang aura kelakar dengan jenaka-jenaka yang tidak kreatif sama sekali. Ini seolah-olah penulis untuk siri Borderlands lepas sudah meletak jawatan dan biarkan lawak-lawak basi ini masuk ke game penuh.

Saya faham Borderlands memang sentiasa penuh dengan lawak berunsur keterlaluan dan agak bodoh tetapi kali ini, lawak sebegini memang tidak kena tempat. Anda pergilah ke mana-mana sahaja dalam dunia Borderlands 3 dan anda akan terus ‘terhibur’ dengan lawak kentut dan tahi sepanjang masa.

  • MASALAH TEKNIKAL
Tulisan sari kata SANGAT kecil jika bermain secara co-op

Selain cerita lemah, Borderlands 3 dihampar dengan masalah loading yang sangat lama ketika masuk dalam game dan juga membuka inventori. Jika anda bermain beramai-ramai (maksimum 4 orang dalam mode co-op) dan mahu membuka inventori, bersedialah untuk membantutkan keghairahan bermain Borderlands 3 bersama rakan-rakan anda lain kerana pembukaan inventori akan jadi sangat, sangat perlahan.

Saya bermain menggunakan konsol PS4 dan masalah ini juga wujud dalam konsol PS4 Pro juga. Menurut pemerhatian saya, PC tidak lagi melanda masalah loading setelah beberapa patch dan boleh diubahsuai sendiri oleh pengguna. Bukan itu sahaja, anda juga tidak boleh menukar perspektif kamera bagi mereka yang bermain mode co-op secara couch play dari arah melintang ke menegak.

SECARA KESIMPULANNYA

Tepat di kepala.

Secara jujurnya, jangkaan saya terhadap Borderlands 3 meleset setelah menempuhi 40 jam untuk menghabiskan misi utama. Penceritaan Troy dan Tyreen Calypso menyebabkan saya mahu Handsome Jack bangkit semula dan membunuh mereka berdua. Malah, karakter robot lucu Claptrap tidak digunakan sebaik mungkin.

Namun, Borderlands 3 masih lagi mengukuhkan gameplay shooter yang menyeronokkan dengan kebolehan Vault Hunter berbeza antara satu sama lain dan kepelbagaian senjata yang membuatkan anda mahu mengumpul seperti kumpul Pokemon.

KEPUTUSAN – BOLEH BELI or BOLEH BLAH?!

BOLEH BELI  – Game ini sesuai kepada mereka suka main game bertemakan looter shooter seperti Destiny (malah anda akan jumpa easter egg Destiny dalam game ini kalau anda cari betul-betul). Peminat siri Borderlands boleh lihat peningkatan dari segi grafik dan gameplay yang rancak. Ia juga merupakan game yang dicipta untuk main beramai-ramai bersama kawan, kumpul loot dan membandingkan berapa banyak senjata legendary anda dapat.

BOLEH BLAH  – Game ini semestinya bukan untuk anda jika anda memang tidak minat game tembak-menembak, dengar lawak basi 24 jam dan cerita yang agak cringe.

+ Dunia game luas sampai ke luar Pandora
+ Gameplay menarik mengikut citarasa pemain
+ Anda boleh tepuk-tepuk dengan haiwan kesayangan
+ Banyak sangat senjata unik yang boleh membuatkan anda merenung inventori selama 5 jam

Lag nak mati
Ava
Lawak macam kentut
Pengakhiran pahit sebab karakter penting mengorbankan diri tanpa tujuan sambil lagu Girl on Fire oleh Alicia Keys berkumandang

Borderlands 3 kini dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One.

1 komen

JomKomen!