in , , , , ,

Boleh Jatuh Hukum Makruh Atau Haram Bermain PUBG, Kata Pejabat Mufti WP

Dalam satu post terbaharu yang dinaikkan Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mereka telah mengingatkan tentang hukum bermain PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dari sudut pandang syarak.

Post ini memetik pandangan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di laman web rasmi bertajuk “BAYAN LINNAS SIRI KE-220: PUBG: PANDANGAN DARI SUDUT SYARAK” yang diterbitkan pada 15 Januari 2020.

Dalam perbahasan panjang di laman web tersebut, ia telah berkata bahawa bermain PUBG hukumnya ialah makruh.

“Penilitian terhadap dalil-dalil yang di atas, terdapat persamaan pemainan PUBG dengan permainan catur yang memerlukan kemahiran berfikir serta strategi,” menurut artikel tersebut.

“Dan kami lebih cenderung dengan memakruhkannya seperti pandangan di dalam mazhab Syafi’eyah, Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَ اللَّهْوِ إِلاَّ ثَلاَثٌ ‏:‏ تَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ وَمُلاَعَبَتُهُ أَهْلَهُ وَرَمْيُهُ بِقَوْسِهِ وَنَبْلِهِ

Maksudnya: Tidak termasuk perkara yang sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur dan anak panahnya. (Hadis riwayat Abi Daud, 2513)”

Walau bagaimanapun, meluangkan masa bermain game battle royale ini, menurut Pejabat Mufti WP, boleh bertukar hukumnya menjadi haram sekiranya:

  • Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling
  • Gangguan emosi akibat kekalahan
  • Faktor ketagihan yang melampau
  • Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan
  • Mendatangkan kemudharatan terhadap tubuh badan dan kesihatan
  • Menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim
  • Sekiranya ia terbukti oleh pihak berkuasa bahawa ia menjadi punca kepada tindakan ganas serta perlakuan jenayah

Artikel perbahasan ini turut mengingatkan tentang penetapan hukum dalam hiburan secara amnya. Di dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji, pengarang telah menggariskan:

  • Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia ini kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
  • Haram, sekiranya membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syara’
  • Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.

Di akhir artikel ini, Pejabat Mufti WP mengakhiri pandangan dengan menyatakan:

“Oleh itu, kami cenderung memakruhkan permainan PUBG ini kerana terdapat unsur-unsur yang membuang masa, namun PUBG ini menjadi haram sekiranya pemain itu melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak serta meninggalkan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Kami sarankan pemilihan permainan yang boleh memberi manfaat serta menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak melalaikan.”

PUBG merupakan sebuah game bergenre battle royale yang dibangunkan oleh PUBG Corporation yang berpangkalan di Korea Selatan. Secara dasarnya, 100 pemain akan dicampakkan ke sebuah pulau dengan ‘sehelai sepinggang’. Pemain perlu mencari senjata serta alatan-alatan yang sesuai untuk terus hidup dan menumpaskan pihak lawan. Pemain terakhir yang hidup akan dinobatkan sebagai pemenang.

Game ini pertama kali dilancarkan di platform PC pada tahun 2017. Kini, ia boleh didapati secara meluas di PC, konsol dan mobile.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

The Mandalorian Dan Grogu Mungkin Akan Dibawa Masuk Ke Fortnite

Video Ini Akan Buat Kita Semua Sedih Untuk Tinggalkan PS4