Dua game eksklusif masing-masing dari PS4 dan Xbox One nampaknya telah tertiris!
Amazon Itali memang cukup terkenal dengan pelbagai info-info game yang sering tertiris. Terbaru, ditemui oleh pengguna forum Resetera (via GameRant), Amazon Itali telah menaikkan laman jualan beberapa game yang masih belum diumumkan serta mendedahkan beberapa tarikh pelancaran untuk beberapa game lain.
Paling menarik perhatian adalah mereka menaikkan dua game sekuel eksklusif masing-masing dari Sony dan Microsoft, iaitu Bloodborne 2 dan Sunset Overdrive 2. Kedua-dua game ini mempunyai placeholder tarikh pelancaran yang diletakkan pada 31 Disember 2019, menandakan yang ia akan dilancarkan sekitar tahun 2019.
Laman jualan itu turut menaikkan sebuah game Splinter Cell baru. Game ini sememangnya mendapat khabar angin yang banyak sebelum ini, yang mana ia dikatakan akan diumumkan oleh Ubisoft semasa E3 lalu, namun semua jangkaan itu meleset. Kini, ia kembali hangat selepas dinaikkan di Amazon Itali.
Selain itu, laman itu juga kemungkinan telah mendedahkan tarikh pelancaran beberapa game. Antaranya game eksklusif PS4, Dreams, yang dibangunkan oleh pembangun yang sama membangunkan Little Big Planet, Media Molecule, akan dilancarkan pada 22 Februari 2019; serta tarikh pelancaran Dark Souls Remastered untuk Nintendo Switch pada 31 Ogos ini.
Kami musykil mengapa laman-laman yang berpangkalan di Itali sering mengeluarkan info-info yang tidak sepatutnya. Sebelum ini, PlayStation Itali telah mengumumkan PS4 bundle dengan Fortnite secara tidak sengaja.
Comments
Loading…