in , , , ,

Black Future ’88: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Masa depan sememangnya gelap pada tahun 1988. Tapi semua itu dapat diatasi dengan perjuangan yang tiada penghujungnya.

Black Future ’88 merupakan sebuah game aksi menembak 2D piksel yang menampilkan elemen seperti roguelike. Ia dibangunkan oleh SuperScarySnakes dan diterbitkan oleh Good Shepard Entertainment untuk platform PC dan Nintendo Switch.

Roguelike pula merupakan sebuah subgenre kepada RPG yang boleh dikenalpasti ciri-cirinya seperti pertempuran tanpa henti, permanent death, levels yang boleh diubahsuai secara automatik, penerokaan dan pegawalan sumber inventori.

Semua ciri-ciri yang disebut di atas merupakan aspek penting dalam membina game aksi roguelike. Jadi, bagaimana dengan Black Future ’88? Apakah kelainan yang dibawakan oleh game ini yang menjadikan ia berbeza daripada game roguelike yang lain?

Plot

Berlatarbelakangkan pada tahun 1988, pada musim panas, dunia menyaksikan bom nuklear yang dicipta oleh Duncan, seorang arkitek menara jatuh ke Bumi yang telah menyebabkan kehancuran besar. Menjelang bulan Disember, letupan nuklear tersebut mula menampakkan kesannya iaitu awan hitam yang menutup matahari dan hujan tanpa henti sehingga menyebabkan bandar-bandar di bawah tenggelam akibat banjir.

Pemain yang bermain sebagai seorang pemberontak atau survivor cuba untuk menceroboh masuk ke dalam menara Duncan untuk capai ke tingkat teratas dan menewaskan dia.

Bagi penulis, plot yang dipersembahkan menerusi opening cutscene sudah memberitahu tentang keseluruhan premis game ini akan bergerak ke mana. Tidak kompleks. Hanya biasa sahaja. Ini kerana untuk game seperti ini selalunya lebih memfokuskan kepada gameplay.

Gameplay

Sebelum memulakan permainan, pemain boleh memilih 5 karakter yang mempunyai kebolehan masing-masing seperti boleh menyimpan banyak peluru, pergerakan pantas, kapasiti nyawa lebih banyak dan lain-lain. Tapi persamaan untuk kelima-lima karakter ini adalah mereka boleh membawa dua senjata (salah satunya ada peluru tanpa had) dan kebolehan dash yang mana pemain boleh mengelak serangan musuh (pemain imun kepada serangan musuh semasa dash diaktifkan). Pemain boleh bermain solo atau co-op.

Setelah selesai memilih karakter, pemain akan bergerak menaiki kereta api dan menceroboh masuk ke dalam menara Duncan. Di sini pemain akan bertempur dengan musuh, apa yang unik (mencabar) tentang Black Future ’88 ini adalah pemain diberikan masa selama 18 minit untuk menyelesaikan level tersebut. Jika pemain gagal kerana terlebih masa, karakter pemain akan mengalami malfunction dan mati, mula dari awal balik.

Pemain akan bergerak dari satu scene ke satu scene untuk menyerang musuh. Selain kebolehan dash, pemain juga boleh lompat ke atas platform dan juga boleh lakukan double jump. Walaupun kadangkala fungsi double jump dalam game ini agak keliru kerana karakter tidak memberikan feedback kepada pemain sama ada kaki karakter sudah menyentuh platform atau tidak. Dan juga apabila karakter melakukan double jump sambil berjalan, pergerakan menjadi pantas sehingga menyebabkan karakter tergelincir jatuh dari platform. Ditambah pula dengan sesetengah platform yang agak pendek menyukarkan lagi keadaan.

Selain menyerang musuh, pemain juga boleh menukar senjata baru dan sesetengah musuh yang mati akan menjatuhkan pintu teleport di mana pemain boleh teleport ke tempat-tempat yang telah dilalui. Pemain juga akan bertembung dengan penjual yang menawarkan tiga jenis skill yang mana pemain boleh pilih satu sahaja. Skill yang disediakan adalah seperti imun terhadap api, penyembuhan nyawa, peluang tinggi untuk dapatkan critical hits dan banyak lagi.

Sepanjang permainan, pemain perlu menewaskan musuh dalam jumlah tertentu sehingga diberi lampu hijau untuk masuk ke scene seterusnya untuk berjumpa dengan bos. Kadangkala sebelum pemain dapat berjumpa dengan bos sebenar untuk level itu, pemain perlu bertembung dahulu dengan side bos.

Mati di tangan musuh atau mati kerana terlebih masa akan menyebabkan pemain hilang kesemua skill. Pemain akan dipaparkan statistik dan level experience points akan diberikan yang mana akan membuka skill-skill baru dan senjata baru kepada pemain. Semakin tinggi level pemain, musuh semakin susah untuk dikalahkan.

Setiap kali permainan baru dimulakan, susun atur level map tersebut berubah. Begitu juga dengan musuh, akan muncul musuh-musuh baru dalam setiap new game. Bergantung kepada setinggi mana level pemain.

Sniper, robot, dron dan banyak lagi adalah antara jenis musuh yang disediakan. Masing-masing mempunyai attack patterns berbeza sama ada menyerang secara pantas atau perlahan, menembak projektil banyak atau sedikit. Selain musuh, pemain juga perlu mengelak perangkap seperti laser.

Roguelike mencabar pemain supaya terus mencuba dan mencuba sehingga berjaya melepasi level tersebut, pendek kata elemen repetitif itu mesti ada. Namun, dalam Black Future ’88, elemen repetitif itu tidak dilaksanakan dengan baik, walaupun terdapat pelbagai jenis musuh dan pelbagai jenis senjata.

Tapi, jika musuhnya hanya terhad kepada serangan laju, perlahan, projektil banyak atau sedikit dan jenis-jenis senjata yang mempunyai tembakan yang hampir sama, keunikan dan ‘wow factor’ akan cepat pudar. Pemain akan cepat bosan. Game seperti Enter The Gungeon lebih bijak dan kreatif dalam melaksanakan elemen repetitif menjadi seronok.

Grafik

Black Future ’88 menggunakan grafik 2D piksel. Tekstur grafiknya mempunyai nilai estetika gabungan futuristik dan cyberpunk. Pergerakan animasi juga bergerak dengan baik dan lancar. Namun, efek cahaya yang digunakan dalam game ini terlalu berlebihan sehingga ia menyakitkan mata penulis.

Black Future ’88 juga suka menggunakan efek khas ‘double illusion’ atau ‘distortion’ yang ia bukan sahaja diaplikasikan dalam gameplay, malah pada teks juga yang menyebabkan tulisan pada menu berubah menjadi ilusi berkembar. Sekali lagi, ia menyakitkan mata penulis. Lebih teruk, efek khas itu tidak boleh dimatikan. Jadi bagi korang yang sensitif terhadap cahaya melampau tidak digalakkan untuk main game ini.

Untuk game yang tidak perlukan spesifikasi tinggi, game ini kadangkala boleh menjadi buggy dan frame rate akan jatuh pada masa tertentu. Pada bahagian kawalan, pemain tidak boleh mengubah suai kawalan pada keyboard, mouse dan juga gamepad.

Muzik dan efek bunyi

Muzik dalam Black Future ’88 lebih ke arah elektronik dan synth-punk yang sememangnya best. Apa yang bagusnya, pemain boleh menukar pilihan lagu pada bila-bila masa di bahagian menu. Dari segi efek bunyi, bunyi seperti letupan dan persekitaran lain seperti petir agak bagus bunyinya, keras dan jelas. Tapi bagi bunyi tembakan dari senjata kecil lemah, bunyinya tidak kuat dan agak mendatar.

Boleh Beli

+ Grafik 2D piksel yang cantik
+ Muzik synth-punk yang best
+ Bagi mereka yang minat roguelike

Boleh Blah

Repetitif dan boleh cepat bosan
Pilihan senjata dan jenis musuh yang biasa dan tidak kreatif
Efek cahaya dan efek khas ‘double illusion’ atau ‘distortion’ yang melampau

Written by Danial DaxZuher

Seorang penulis yang suka bermain game menembak, membaca novel aksi, mendengar lagu OST video games dan movies serta mencipta cerita pendek.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Lupakan FIFA Dan PES, Captain Tsubasa: Rise of New Champions Diumumkan Untuk PS4, Switch Dan PC

Lupakan FIFA Dan PES, Captain Tsubasa: Rise of New Champions Diumumkan Untuk PS4, Switch Dan PC

The Witcher Di Netflix Mula Ditayangkan 20 Disember, Saksikan Trailer Terbaru Penuh Aksi

Netflix Umumkan Filem Anime ‘The Witcher: Nightmare of the Wolf’, Berkait Dengan Siri TV