Dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan tahun lalu, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada industri video game boleh dikatakan agak mengelirukan.

Pada ketika itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk esports namun, dana tersebut diberikan kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), bukan kepada Kementerian Belia & Sukan.

Walau bagaimanapun, situasinya berbeza pada tahun ini yang mana pembahagian peruntukan untuk industri ini kelihatan lebih teratur. Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam telah mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk esports yang diberikan kepada Kementerian Belia & Sukan dan RM20 juta untuk pembangunan digital yang diberikan kepada MDEC.

Di bawah ialah kenyataan yang dikeluarkan YB untuk kedua-dua peruntukan yang cukup besar ini.

RM20 juta untuk esports:

“Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf potensi tinggi esukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020. Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019.”

RM20 juta untuk pembangunan digital:

“Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi. Misalnya, pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-permainan, animasi dan seni digital.”

Nampaknya kerajaan kini sudah semakin cakna dalam memperuntuk dan membahagikan dana kepada saluran yang sepatutnya. Komen korang?

Terima kasih, Aksiz.

1 komen

JomKomen!