Battlefield V memiliki keistimewaannya yang tersendiri dalam letak duduknya dalam siri game Battlefield. 

Buat pertama kalinya sejak Battlefield yang pertama, Battlefield 1942 dilancarkan, DICE kembali ke latar belakang Perang Dunia Kedua (WW2) melalui Battlefield V.

Dalam sejarah panjang siri Battlefield, sudah ada Battlefield 2, Battlefield 3, Battlefield 4 dan Battlefield 1. Selain giliran nombor yang tidak mengikut urutan, ada satu lagi kekeliruan yang timbul, iaitu penggunaan sistem nombor roman dalam Battlefield V. Ramai yang tertanya, kenapa “Battlefield V”, dan bukan menggunakan nombor seperti biasa, iaitu “Battlefield 5”.

‘V’ tersebut menandakan simbol jari yang dipopularkan oleh Perdana Menteri Britain, Winston Churchill semasa Perang Dunia Kedua. Dalam satu kenyataan, DICE berkata, “Dua jari dinaikkan (seperti ‘peace’) mewakili ‘V for Victory’. Frasa dan tanda ini pernah dipopularkan oleh Winston Churchill dan banyak digunakan oleh sekutuya semasa Perang Dunia Kedua. Ia juga adalah kenapa kami memilih untuk menggunakan sistem nombor roman berbanding nombor 5 untuk judulnya.”

Itu serba sedikit tentang apakah signifikannya judul game Battlefield V ini, bagi korang yang masih tertanya. Untuk mengetahui apakah pembaharuan yang dibawakan mereka dalam sebuah lagi game WW2 ini, jom baca reviu ini sehingga habis!

Semangat Berpasukan Tinggi

Satu kelainan yang benar-benar memberikan nafas baru kepada siri Battlefield kali ini ialah bagaimana BFV membawakan semangat berpasukan dalam satu-satu skuad — atau dalam kata lain, penekanan terhadap “squad play”.

Elemen paling menonjol dalam BFV yang diketengahkan dalam squad play ini ialah semua pemain dalam satu-satu skuad kini boleh revive mana-mana pemain dalam skuad yang sama, tidak mengira sama ada korang sedang menggunakan kelas Medic ataupun bukan. Apa yang membezakan antara revive dari Medic dengan yang bukan ialah Medic akan mengambil masa yang lebih singkat untuk menghabiskan animasi revive tersebut berbanding yang bukan Medic.

Menambahkan rencah sempurna kepada permainan revive ini apabila satu lagi mekanisme baru yang ditambah iaitu pemain yang “down” (sudah mati ditembak musuh tapi masih boleh di-revive) boleh menekan butang sama ada untuk skip menunggu revive atau tunggu sedikit lama lagi untuk memberikan peluang pemain lain untuk revive dirinya. Dalam masa menunggu untuk di-revive ini, pemain tersebut boleh melihat kawasan sekeliling (walaupun terhad) bagi berkomunikasi dengan rakan-rakan lain tentang lokasi terkini musuh.

Mekanisme baru ini sebenarnya sekaligus telah membuatkan para pemain untuk lebih “stick together” dalam satu-satu skuad. Hal ini kerana tanpa mereka sedar, mereka tahu yang mereka sentiasa boleh revive skuad mereka, walaupun mereka tidak menggunakan Medic.

Hubungan yang erat dalam skuad ini semakin dirasai apabila DICE mengambil keputusan untuk mengurangkan kembali bilangan pemain dalam satu-satu skuad kepada hanya 4 pemain (bukan lagi 5 pemain dalam satu skuad seperti BF4 dan BF1) — kembali menggunakan formula yang kali terakhir digunakan dalam Battlefield 3. Bak kata orang, lebih kecil kumpulan rakan, kita lebih mengenali antara satu sama lain, ya tak?

Walaupun penulis faham mengapa DICE mengambil keputusan untuk mengecilkan bilangan pemain dalam skuad, penulis secara peribadi kurang gemar dengan tindakan ini. Sebagai seorang yang mempunyai rakan yang ramai bermain siri Battlefield, penulis merasakan maksimum 5 pemain dalam satu skuad adalah satu bilangan yang lebih sesuai. Biarlah pemain sendiri putuskan sama ada untuk mempunyai 4 atau 5 pemain dalam skuad mereka.

Suasana WW2 Yang Cukup Mantap

Seperti kebiasaan, DICE sentiasa membawakan satu pengalaman peperangan yang cukup mengasyikkan. Begitu juga dalam BFV, suasana WW2 telah diadun dengan sangat mantap — menggabungkan segala aspek yang ada seperti lagu latar, destructions, rekaan mode dan map serta grafik yang memukau.

Salah satu elemen yang dipertingkatkan dengan amat baik berbanding siri-siri Battlefield sebelum ini ialah destructions yang dibawakan kelihatan lebih bebas dan fleksibel. Rekaan dan animasi yang dipaparkan semasa kemusnahan bangunan-bangunan dalam BFV mewujudkan satu suasana realistik yang sungguh padu. Kemusnahannya terasa lebih teliti, dan lebih mengagumkan apabila serpihan-serpihan runtuhan turut boleh membunuh pemain lain.

Rekaan mode dan map yang ditampilkan kali ini juga diperkemas dengan baik, sesuai dengan tema WW2. Bagi merasai pengalaman, kehuru-haraan, detik-detik cemas dan taktikal semasa WW2, semestinya mode Grand Operations menjadi pilihan yang terbaik. Mempunyai sedikit naratif yang menceritakan apakah yang terjadi semasa WW2 sebenar, serta rekaan gameplay menyerang dan bertahan yang direka khas berbanding mode-mode lain, Grand Operations sememangnya satu mode yang memiliki segala butiran WW2 yang lengkap untuk para pemain rasai.

Kereta Kebal Terlalu Underpowered?

Perkara ini sebenarnya satu isu yang sering menghantui DICE. Apabila sesuatu yang menjadi overpowered, kemudian mereka akan “membaikinya” menjadi sesuatu yang terlalu underpowered pula. Bukan semua, tetapi adalah beberapa kes yang sering terjadi.

Salah satu daripadanya ialah isu gameplay kereta kebal. Dalam BF1, semua sudah mengetahui bagaimana overpowered-nya sesebuah kereta kebal itu. Di sebalik teknologi yang sangat terhad semasa Perang Dunia Pertama, kekuatan kereta kebal yang ada dalam BF1 membuatkan ia tidak masuk akal. Disebabkan itu, DICE ingin mengurangkan kekuatan kereta kebal dalam BFV, dan seperti dijangka, ia kini menjadi terlalu underpowered pula.

Pandangan ini pastinya sesuatu yang relatif, berdasarkan tahap “kebencian/kesukaan” para pemain kepada kereta kebal. Makna kata, sekiranya korang seorang yang tidak suka membawa kereta kebal, pastinya kekuatan yang dikurangkan dalam BFV ini membuatkan korang tersenyum, dan di pihak sebelah pula, bagi korang yang gemar memandu kereta kebal, nerf ini pastinya sesuatu yang mendukacitakan.

Pada pandangan penulis secara peribadi, ya, kereta kebal dalam BF1 sememangnya terlalu overpowered. Tetapi, mengurangkannya seperti apa yang ada dalam BFV kini adalah sesuatu yang menidakkan hakikat sebenar sesebuah kereta kebal itu sendiri. Kereta kebal sepatutnya menjadi sebuah jentera fizikal yang digeruni, ditakuti, tetapi suasana dalam BFV pada waktu ini tidaklah seperti itu.

Pemain dengan bersenang-lenangnya boleh lalu sahaja di hadapan kereta kebal tanpa merisaukannya kerana mekanisme kereta kebal itu yang mempunyai pusingan turret yang lembab dan pergerakan keseluruhan kenderaan yang juga lambat — membuatkan kereta kebal dipandang hanya seperti “kenderaan yang ada senjata” sahaja.

Time-To-Kill Yang Sempurna

Bagi korang yang tidak mengetahui apakah itu mekanisme time-to-kill (TTK), ia sebenarnya adalah waktu yang diambil oleh seseorang pemain untuk mendapatkan “kill” apabila melepaskan tembakan ke arah musuh. Setiap senjata mempunyai statistik TTK-nya yang tersendiri.

Dalam BFV, ia telah dikurangkan berbanding siri-siri Battlefield sebelum ini. Maksudnya, para pemain akan mengambil masa yang amat singkat/sedikit peluru untuk mendapatkan kill — dan secara logiknya, musuh juga boleh kill korang dengan pantas juga.

Komuniti Battlefield berbelah-bahagi dalam perbincangan ini. Ada yang mahukan TTK kembali seperti Battlefield sebelum ini, dan satu pihak lagi mengatakan yang ia sudah cukup baik. Bagi penulis, TTK dalam BFV pada waktu ini adalah di tahap yang terbaik. Janganlah diubah lagi kerana kalau terasa cepat sangat mati disebabkan TTK yang amat rendah ini, git gud sajalah guys.

Minggu Pelancaran Yang Lancar

Siri Battlefield cukup terkenal dengan minggu pelancaran yang menimbulkan “malapetaka”. Dari Battlefield 3, Battlefield 4, hinggalah ke Battlefield 1, beberapa minggu pertama pasti akan dipenuhi dengan bug dan glitches yang menjengkelkan seperti kesukaran masuk ke dalam server, sering disconnect dengan server dan macam-macam lagilah.

Untuk BFV pula, ia amat melegakan apabila minggu pelancarannya boleh dikatakan agak stabil dan baik, sekurang-kurangnya apa yang dialami oleh penulis sendiri. Bukanlah nak kata ia satu pelancaran yang tanpa bug dan glitches kerana game yang baru dikeluarkan pasti tidak akan dapat lari daripadanya, tetapi, masalah yang penulis temui adalah sangat minima jika dibandingkan dengan waktu pelancaran dalam siri-siri Battlefield sebelum ini.

Lebih membuatkan para pemain di Asia Tenggara ini umpama menerima satu rahmat adalah apabila DICE buat pertama kalinya dalam sejarah francais Battlefield menyediakan server Singapura. Semestinya, setiap kali perlawanan Battlefield V sekarang terasa sangat lancar kerana ping yang sentiasa berada di bawah 20. Terima kasih, DICE.

War Stories… Meh

Sama ada korang suka ataupun tidak, BFV sememangnya mempromosikan War Stories, bahagian single-player story, dengan agak rancak. Selepas memberikan satu pengalaman penceritaan perang yang boleh dikatakan menarik dalam Battlefield 1, penulis meletakkan harapan yang agak tinggi untuk War Stories dalam BFV kali ini.

Walau bagaimanapun, harapan yang tinggi ini nampaknya telah dikecewakan. 3 War Stories yang disajikan ini terasa seperti sebuah kerja yang disiapkan dengan tergesa-gesa, tidak mempunyai aura yang cukup mendalam untuk memberikan kesan kepada penulis. Dengan senangnya penulis boleh katakan yang War Stories dalam BF1 jauh lebih baik berbanding apa yang ditampilkan dalam BFV.

Bukan jalan ceritanya sahaja, malah War Stories turut dipenuhi dengan bug dan glitches. Ada satu bahagian di mana penulis termasuk ke bawah dasar map. Apa yang lebih menyakitkan hati apabila telah reload last checkpoint beberapa kali, isu ini masih lagi berlaku. Penulis perlu menunggu sehingga keesokan harinya untuk menyambungnya tanpa gangguan ini.

Penulis sebenarnya masih lagi musykil mengapa EA dan DICE masih mahu mengeluarkan story single-player untuk Battlefield — sebuah francais game yang pada asalnya memang sentiasa fokus kepada online multiplayer. Segala tenaga, masa dan perbelanjaan yang ditaburkan untuk membangunkan War Stories, bagi pendapat penulis, sebenarnya boleh difokuskan lagi untuk memantapkan lagi online multiplayer.

Segala aset yang dikerahkan untuk War Stories ini mungkin boleh digunakan untuk menambah lagi map dan mode dalam multiplayer, atau mungkin juga boleh digunakan untuk mempercepatkan lagi pelancaran mode co-op Combined Arms dan battle royale, Firestorm.

Rugi, DICE, sangat rugi.

Tiada Lagi Premium Pass

Tidak sah berbicara tentang BFV tanpa memuji strategi bisnes EA yang (akhirnya) telah membuang model Premium Pass atau DLC berbayar. Setelah menempuh satu zaman yang perlu membayar wang yang mahal untuk merasa kandungan tambahan, dari Battlefield 3, Battlefield 4 hinggalah ke Battlefield 1 — akhirnya mereka belajar dari kesilapan dan sedar bahawa memecahkan jumlah pemain dengan DLC berbayar adalah satu taktik yang sangat tidak bagus.

Mereka sebelum ini telah mendedahkan apakah perancangan dan kandungan yang akan ditambah ke dalam BFV untuk beberapa bulan mendatang — dan yang paling penting semuanya adalah percuma untuk semua pemain. Bulan Disember telahpun ditambah dengan Practice Range, map Panzerstorm dan War Stories baru. Pelbagai kandungan bakal ditambah secara berkala, mengikut jadual yang telah didedahkan, antaranya ialah kosmetik untuk kenderaan, Grand Operations baru, mode Rush, mode Squad Conquest, mode co-op Combined Arms dan banyak lagi.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Walaupun penulis sendiri mahukan DICE kembali menggunakan latar belakang moden selepas Battlefield 1, namun apa yang disajikan dalam Battlefield V sebenarnya satu “comeback” ke era WW2 yang amat bermakna kepada siri Battlefield. Dengan suasana peperangan yang secukup rasa dengan serba serbi lengkapnya, TTK yang baik, pelancaran yang stabil, kehadiran server Singapura, gameplay yang menghiburkan, kosmetik karakter yang cantik serta segala kandungan tambahan percuma — ia semestinya sebuah game yang BOLEH BELI untuk para peminat tegar siri Battlefield.

Walau bagaimanapun, korang yang mahukan tema peperangan moden dan segala gajet, kenderaan serta senjata serba canggih, BFV bukanlah game yang sesuai untuk korang. Ditambah pula sekiranya korang mencari sebuah game yang mempunyai story yang baik, game ini BOLEH BLAH untuk korang.

+ Memfokuskan “squad play”
+ Sistem revive baru yang menyegarkan
+ Suasana WW2 yang padu
+ Destructions lebih fleksibel
+ Gameplay Grand Operations sangat menarik
+ TTK yang baik
+ Pelancaran yang stabil
+ Kehadiran server Singapura
+ Tiada lagi Premium Pass/DLC berbayar
+ Kosmetik karakter yang cantik

Mengecilkan 4 pemain satu skuad
Kereta kebal underpowered
War Stories seperti tak siap

JomKomen!