Di kala EA dan DICE masih lagi tidak mahu berkongsikan info rasmi tentang Battlefield seterusnya, pelbagai khabar angin yang muncul.
Ura-ura terbaharu yang muncul kali ini adalah Battlefield seterusnya (belum ada judul rasmi) akan dimasukkan terus ke dalam Xbox Games Pass pada hari pertama pelancaran game tersebut.
Beberapa panel dalam XboxEra Podcast (via CharlieIntel), telah melaporkan yang terdapat satu game pihak ketiga, game AAA, first-person shooter yang berkemungkinan besar akan dilancarkan ke dalam Xbox Games Pass pada musim luruh ini (sekitar September-Disember).
Daripada ciri-ciri yang disebut, hanya ada dua game yang memenuhi ciri itu, iaitu Call of Duty dan Battlefield akan datang.
Siri Call of Duty boleh dikatakan hampir mustahil untuk dilancarkan ke Xbox Game Pass kerana Activision mempunyai beberapa perjanjian eksklusif bersama PlayStation.
Maka, kita boleh katakan yang berkemungkinan besar game first-person shooter AAA yang dilaporkan akan dimasukkan ke dalam Xbox Game Pass semasa hari pertama pelancaran itu adalah Battlefield.
Apatah lagi EA dan Microsoft sudahpun mempunyai perjanjian antara dua jenama servis langganan game mereka, yang mana semua game dalam EA Play boleh didapati dalam Xbox Games Pass.
Sekiranya laporan ini adalah sahih, korang janganlah terkeliru pula. ini hanyalah perjanjian mereka untuk memasukkan Battlefield seterusnya itu ke dalam langganan Xbox Game Pass. Game ini tetap akan dilancarkan ke platform-platform lain seperti PC, PlayStation dan Xbox (bagi yang tidak melanggan Game Pass).
Xbox Game Pass merupakan satu servis langganan game yang boleh diumpamakan seperti Netflix untuk video game. Langgan servis yang disediakan, dan pemain akan mendapat akses kepada sejumlah game. Model ini kemudian diikuti oleh EA (EA Play) dan Ubisoft (Ubisoft Plus).
Battlefield seterusnya ini dijadualkan dilancarkan pada hujung tahun ini, dan acara pendedahannya dijangka akan berlangsung sekitar Mei ini.
Comments
Loading…