Setelah sekian lama mendiamkan diri dan bermacam laporan yang hadir, EA dan DICE akhirnya secara rasmi mendedahkan sedikit apakah sebenarnya projek-projek Battlefield yang mereka sedang bangunkan.
Dalam satu kenyataan baharu di laman web rasmi EA, pengurus besar DICE, Oskar Gabrielson mendedahkan Battlefield baharu untuk PC dan konsol masih dalam perancangan untuk dilancarkan pada hujung tahun ini. Beliau turut berkata bahawa ini merupakan projek Battlefield terbesar yang pernah mereka usahakan, hasil kerjasama dengan Criterion, DICE LA dan Gothenburg.
Tidak banyak butiran khusus yang didedahkan dalam kenyataan kali ini, sebaliknya hanya menyatakan info umum seperti game itu nanti akan memiliki segala macam yang disukai tentang Battlefield, iaitu skala epik, peperangan ketenteraan sepenuhnya, detik-detik tidak dijangka, kemusnahan yang mengubah game, lebih ramai pemain — dengan kuasa konsol generasi terkini dan PC.
Pendedahan penuh akan diadakan ‘dalam masa terdekat’.
Kemudian, Gabrielson turut mengumumkan sesuatu yang agak mengejutkan. Battlefield versi mobile telah diumumkan.
Beliau menekankan di sini bahawa versi mobile dan versi PC/konsol adalah dua game yang berbeza. Game mobile ini dibangunkan dari dasarnya oleh iToys untuk memudahkan Battlefield dimainkan di mana-mana sahaja, untuk telefon pintar dan tablet.
Battlefield versi mobile dikatakan telah diprototaip sejak beberapa tahun dan ia akan dilancarkan pada tahun 2022.
Seperti juga versi PC/konsol, versi mobile ini juga masih belum ada judul rasmi yang diumumkan.
Sama-sama kita nantikan bilakah acara pendedahan penuh Battlefield baharu ini akan diadakan oleh DICE.
Comments
Loading…