EA Play akan kembali menggegar!
Electronic Arts telah mengeluarkan satu kenyataan baru, mendedahkan info lanjut tentang EA Play 2018. EA Play merupakan acara E3 untuk penerbit game itu. Seperti juga tahun lepas, tahun ini mereka juga akan mengadakan EA Play di lokasi berbeza serta sedikit lebih awal berbanding E3.
Namun, semua itu tidaklah terlalu penting kerana apa yang paling menarik adalah game Battlefield baru dan Anthem akan boleh dimainkan pada acara yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Jun itu nanti.
Selain dua game yang sangat dinantikan ini, seperti biasa EA akan menampilkan juga game-game sukan daripada EA Sports dan beberapa kejutan untuk The Sims 4.
Apa yang boleh kita dapati daripada pengumuman ini sebenarnya? Bermakna, judul dan mungkin info lanjut tentang Battlefield baru pastinya akan kita ketahui sebelum bulan Jun ini, memandangkan mereka akan memberikan pemain untuk mencubanya di EA Play.
Dan berkemungkinan besar, EA dan DICE akan mengadakan sebuah acara khas hanya untuk memperkenalkan Battlefield baru tersebut kepada para pemain – sama seperti yang mereka lakukan untuk Battlefield 1 pada Mei 2016 lalu.
Apa agaknya tema yang bakal dibawakan ke dalam Battlefield pada tahun ini? Semakin tidak sabar kita menantikannya!